Wednesday, July 30, 2008

AKTIVITI LUAR DARJAH UNTUK GURU j-QAF

Oleh Akhi Mizi

TUNTASNYA ramai berfikir kerja guru adalah mudah. Masuk 7 setengah balik 1 setengah. Cuti pula banyak. Boleh jalan-jalan hujung tahun bawak anak-anak.

Namun, benarkah begitu?

Jika benar begitu, saya hairan sangat-sangat.

Sebelum ini saya ada menulis tentang RUTIN GURU j-QAF. Itu kebanyakannya adalah tugas-tugas rutin di sekolah sahaja yang biasanya pada masa persekolahan dan P&P. Mungkin ada sedikit sebanyak telah menyentuh tugas-tugas luar.

Hari ini saya ingin pula berkongsi kerja luar.

KEM BESTARI SOLAT
Pada dasarnya Kem Bestari Solat perlu dilaksanakan sebanyak empat siri untuk setiap murid. Pelaksanaan pula pada waktu bukan P&P persekolahan. Justeru biasanya dilaksanakan pada setiap Sabtu. 4 Siri untuk 1 tahun, bagi kami di sekolah saya bertugas sudah ada murid j-QAF hingga tahun 4. Bayangkan sampai tahun 6. Fasilitator dilaktik untuk mengendalikannya dari kalangan Guru j-QAF, GPI dll. Mesti direkodkan dan dianalisa kemudian didokumentasikan dalam bentuk buku bergambar.

KELAS TASMIK
Kelas Tasmik berjalan sepanjang tahun. Jadual murid dan guru diatur pada awal sesi persekolahan. Biar sama rata. Waktu pelaksanaan kelas ini pada selepas waktu P&P. Untuk murid sesi pagi pada selepas sekolah. Untuk murid sesi petang pada sebelum sekolah bermula. Mesti direkodkan bacaan setiap murid. Untuk 6 Bulan Pertama murid baca pada tahap masing-masing. Pada 6 Bulan Kedua, murid mesti mengikut silibus khatam al-Quran dan kemudian boleh baca pada tahap masing-masing. Analisa disediakan dan disokumentasikan.

MAJLIS KHATAM AL-QURAN (Peringkat Sekolah/Daerah/Negeri)
Majlis ini adalah pemantapan program j-QAF. MKQ adalah singkatan yang digunakan untuk majlis ini. Saya telah terlibat untuk semua peringkat sejak tahun 2006 lagi. Antara pertandingan yang dipertandingkan ialah: Ujian Tilawah (L/P), Kuiz j-QAF, Kalam Jamaie (Bahasa Arab) dan Dikir Barat (Bahasa Arab). Guru-guru j-QAF akan membentuk jawatankuasa pelaksana di peringkat sekolah kemudian guru yang sama juga bimbing latihan murid. Murid yang berpotensi di peringkat sekolah akan mewakili sekolah ke peringkat Daerah. Antara kerja-kerja organisasi yang perlu diberi perhatian ialah menguruskan latihan, surat-menyurat, surat kebenaran waris, pengangkutan, dan sebagainya. Murid-murid yang menang di peringkat daerah akan mewakili daerah ke peringkat Negeri. Begitulah lazimnya.

KEM LITERASI AL-QURAN
Kem ini untuk membimbing murid-murid yang lambat menguasai Iqra'. Tumpuan kepada murid yang benar-benar lambat dan masih membaca Iqra' 1-3. Dilaksanakan juga di luar waktu P&P. Kertas kerja KELAQ ini boleh rujuk dan download di
E-JAZIRAH Online.

KEM CELIK JAWI
Kem ini untuk membimbing murid-murid yang lambat menguasai JAWI selepas menjalani pemulihan. Tumpuan kepada murid yang benar-benar lambat. Dilaksanakan juga di luar waktu P&P. Berdasarkan keperluan.

KEM BAHASA ARAB
Kem ini adalah pendedahan untuk penguasaan Bahasa Arab, memberi motivasi dan membangunkan minat mereka untuk mempelajari dan bertutur dalam bahasa arab.

KEM BINA JUARA
Belum diarah untuk pelaksanaan.

KELAB JAWI DAN KHAT
Belum ada panduan.

PERSATUAN BAHASA ARAB
Belum ada panduan.

Ada sebarang komentar?

Salam j-QAF.
Baitul Izzah.

Tuesday, July 29, 2008

GAMBAR BILIK j-QAF

Salam j-QAF,

Beberapa view Baitul Izzah. Masih banyak yang perlu dilakukan supaya ia menjadi Bilik Darjah Kondusif. Komen anda?


Meja Guru yang dilengkapi dengan Buku Rekod Penggunaan Bilik j-QAF, Buku Pelawat, Buku Rekod Penggunaan Peralatan dan BBM, Buku Rekod Kehadiran Guru (mesyuarat), Buku Rekod Stok, Buku Fokus j-QAF SKPM 2008, Peraturan Bilik j-QAF, dan alat tulis.


Ruang Belajar Baitul Izzah dilengkapi 1 set meja guru, 3 meja bulat dan 8 meja jepun tanpa kerusi, Papan tulis, Papan gulung, Whiteboard, Rak al-Quran dan Fail, Dulab stok, Printer, TV dan DVD Player, Radio dan BBM. Tak lupa bunga-bunga yang diinfak oleh Pn. Mazidah.

Lauhah Bahasa Arab yang sangat ringkas. Ditemani kereta api dinding dan pinggan bertulis bilangan.


Rak al-Quran dan Fail-Fail dan Sudut Al-Quran.


Ruang Belajar Pemulihan Jawi dan Tasmik.
Sekian, syukran.

Monday, July 28, 2008

RUTIN GURU j-QAF

Salam j-QAF,

SEHARI SEBELUM HARI INI, saya mendapat tahu calon-calon yang memohon KPLI j-QAF yang terpilih telah menerima surat tawaran temuduga masing-masing. Mendapat surat panggilan temuduga adalah petanda yang baik untuk kemungkinan melangkah ke alam pendidikan khususnya untuk menjadi seorang guru j-QAF.

Apa yang perlu diingatkan, niat perlu soheh. Jangan ada yang melangkah ke alam pendidikan semata-mata kerana sudah tidak ada kerja lain. Biarlah kita betul-betul minat hendak menjadi guru. Dengan minat yang mendalam ditambah dengan ilmu di dada, kesediaan belajar, mampu mengawal emosi, berperwatakan yang menarik akan mempercepatkan anda untuk menjadi guru yang baik.

Dulu semasa saya menjadi GSTT saya membina minat tersebut. Saya tak nafikan, memang mula-mula saya tak minat hendak menjadi guru sekolah. Tetapi setelah terjun ke dunia tersebut, ia datang bagai tidak diundang. Saya rasa bukan saya saja. Ramai lagi yang seperti saya. Jika setelah pernah menjadi guru ganti pun masih tak minat, lebih baik jangan mohon untuk jadi guru.

Kerana kita akan berkhidmat sehingga kita pencen kalau ajal tak datang awal. Kalau kita lepas tangan, generasi akan rosak. Justeru, sebelum apa-apa, pesan saya kepada calon guru yang hendak menghadiri temuduga nanti jangan hipokrit. Jadilah diri sebenar kalau pun memang hendak menjadi pendidik, didiklah diri dari sekarang.

BEBERAPA RUTIN GURU j-QAF:

P&P (am)
1. Menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dalam buku Rekod Pengajaran dan Pembelajaran (RPP) serta menulis refleksi. Buku ini perlu dihantar untuk semakan GB atau PK setiap minggu dan jika diminta untuk semakan khas.
2. Membuat persediaan mengajar (perbincangan dengan GPI, membuat nota, merujuk buku tambahan dll)
3. Menyelenggara ABM, BBM dan Bahan Media serta peralatan seperti Laptop dan LCD, dll.
4. Menyediakan Lembaran nota, Lembaran kerja dan latihan untuk Pemulihan, Pengukuhan dan Pengayaan.
5. Merancang dan mempelbagaikan aktiviti P&P yang menarik dengan kepelbagaian pendekatan, strategi, kaedah dan gaya pengajaran mengikut aras yang berlainan
6. Melaksanakan P&P mengikut jadual dan menilai dalam bentuk penilaian berterusan.
7. Menyediakan rekod prestasi dan melaporkan hasil kepada Ketua Panitia dan GB
8. Menyediakan rekod pencapaian murid dalam ujian mengikut kelas.

P&P Model j-QAF
1. Memahami cara pelaksanaan model Pemulihan Jawi dan melaksanakan Pemulihan
2. Menggunakan Bahan-bahan ABM yang telah dibekalkan oleh KPM
3. Menyediakan rekod prestasi murid, menilai dan melapor
4. Menyediakan rekod folio peribadi murid pemulihan jawi
5. Memulihkan murid yang lambat sehingga berjaya menguasai jawi
6. Membimbing murid Khatam Al-Quran 6 bulan pertama dalam kelas 6 bulan ke dua waktu tasmik sehingga khatam al-quran.
7. Merekod bacaan murid dalam buku rekod bacaan
8. Memberikan bimbingan tambahan kepada murid lambat yang belum menguasai dalam bentuk Literasi dan Inovasi Iqra'.
9. Membantu GPI melaksanakan P&P Pendidikan Islam j-QAF di kelas
10. Menyemak dan merekodkan latihan dan buku kerja murid
11. Menguruskan dan melaksana Kelas Tasmik (selepas waktu persekolahan)
12. Merekodkan bacaan Tasmik
13. Mengenal pasti kelemahan dan mengatasinya.
14. Menyediakan laporan dan dokumentasi
15. Melaksanakan bimbingan sampingan luar jadual
16. Melaksanakan P&P Bahasa Arab (guru Bahasa Arab) dan menyediakan rekod PKSR, menilai dan melapor.
17. Merancang, menyediakan keperluan, mengorganisasi mesyuarat dan taklimat, menyelaras dan melaksanakan Kem Bestari Solat di luar jadual persekolahan
18. Menyediakan laporan dan Dokumentasi KBS

Organisasi Unit j-QAF
1. Mengadakan mesyuarat pengorganisasian unit j-QAF (ini biasanya dilaksanakan awal-awal tahun)
2. Menyediakan Fokus dan Tumpuan Unit j-QAF tahun semasa
3. Menguruskan, mengendali dan menghadiri mesyuarat Penitia, Unit j-QAF dan mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan.
4. Mengurus portfolio peribadi
5. Menyediakan borang-borang dan dokumen berkaitan untuk rekod-rekod j-QAF
6. Menguruskan Fail-fail unit j-QAF
7. Menyediakan laporan bulan Mac, Jun, Ogos dan Oktober untuk setiap model j-QAF
8. Menyediakan E-Laporan 6 Bulan
9. Mengurus surat-menyurat unit
10. Menguruskan organisasi unit

Am (Sekolah)
1. Membantu pengurusan dan pelaksanaan aktiviti Kurikulum, HEM dan Ko-kurikulum di sekolah.
2. Menjalankan tugas-tugas khas yang dilantik oleh pentadbiran
3. Bersedia untuk sebarang tugas berdasarkan arahan GB atau PK
4. Bersedia untuk Pencerapan dan Pemantauan pada bila-bila masa
5. Menjalankan tugas-tugas Unit j-QAF, Panitia, Sekolah, PPD, JPN dan KPM.


Ada sebarang tambahan? Setakat yang saya lalui semua ini adalah rutin seorang guru j-QAF. Yang kecik-kecik tak terkandung dalam ayat tetapi terkandung dalam kefahaman. Renung-rununglah kembali guru-guru j-QAF dan calon guru j-QAF. Banyak kerja kita bukan? Tapi tak apa... kalau minat semua akan jadi mudah. InsyaAllah.

Sekian, syukran.

Akhi Mizi
BAITUL IZZAH

ADA APA DENGAN ILMU PENDIDIKAN?

Oleh Akhi Mizi
SAYA merumuskan begini: “Ilmu pendidikan adalah ilmu untuk menjadi guru.”- Akhi Mizi.

Barangkali rumusan saya ini betul. Barangkali juga salah jika menurut pandangan orang lain walaupun saya merasakan ianya betul. Namun, perdebatan bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Saya tidak mahu berdebat tentang apa itu ilmu pendidikan.

Empat tahun belajar dalam Fakulti Syariah wal-Qanun di Al-Azhar, Mesir saya sedikit pun tidak pernah tertarik untuk menjejaki buku tentang ilmu pendidikan apatah lagi hendak membaca dan mengkajinya sebagaimana yang saya lakukan pada kebanyakan kitab-kitab Usul Fiqh, Fiqh Muqarin, Fiqh Mazhab dan Qadhaya Fiqhiyah Muasarah serta Majmu’ah Fatawa yang tentunya lebih mesra kepada pelajar syariah. Kadang-kadang teruja juga menelaah Tafsir wal Mufassirun, Akidah, Lughah dan Hadis. Ironisnya, buku tentang ilmu tarbiyah tidak pernah saya teliti pun sepanjang empat tahun lebih di sana.

Seingat saya, cuma sebuah buku tentang ilmu psikologi berbahasa Arab yang saya beli di salah sebuah maktabah yang sangat banyak di Bumi Kinanah. Itu pun saya tidak menghabiskan bacaan cuma menyelak beberapa halaman sebelum ia terus saja terisi di rak kitab. Lihatlah, betapa saya malas hendak keluar bidang pada masa itu. Bahkan semasa saya menjadi GSTT pun saya masih dibayangi persoalan kenapa seseorang yang hendak menjadi guru mesti menerima latihan perguruan sedangkan mereka telah pun mempunyai ijazah?

Persepsi saya itu salah. Mengapa pada waktu itu saya berpendirian tidak penting latihan perguruan lebih-lebih lagi ilmu berkaitan pendidikan? Saya sendiri tidak mempunyai jawapan.

Setelah itu, apabila saya menerima tawaran untuk mengikuti KPLI beberapa tahun dahulu saya amat teruja dengan Ilmu Pendidikan.

Ilmu Pendidikan literalnya adalah satu ilmu baru kepada saya. Saya mula mengenali istilah Psikologi Pendidikan, Pedagogi Profesionalisme Keguruan hanya setelah berada di maktab yang pasti sekiranya saya tidak memilih untuk menjadi guru saya tidak akan mengetahuinya. Bahkah samalah halnya seperti empat tahun saya berada di Mesir, untuk bertahun-tahun berada di Malaysia pun saya tidak akan menjejaki buku-buku tentang ilmu pendidikan ini jika Tuhan tidak mentakdirkan saya terjun ke dunia pendidikan.

Ilmu pendidikan di maktab (sekarang dipanggil Institut Pendidikan Guru atau IPG) dijadikan sebagai subjek wajib. Maka, guru-guru yang sudah lepas maktab atau IPG ini jangan berkata bahawa mereka tidak tahu apa-apa tentang ilmu pendidikan ini sedangkan mereka telah mengikuti kelas pengajian dan menyediakan tugasan dalam tempoh berkursus.

Saya melahirkan rasa bertuah kerana mendapat bimbingan daripada pensyarah yang menjadi sebab kepada saya untuk meminati ilmu ini, maka saya berusaha untuk menjadi sebab kepada murid-murid saya meminati pelajaran yang saya ajarkan kepada mereka.

Biarpun saya tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir subjek Ilmu Pendidikan, tapi saya yakin saya boleh menjadikan ilmu ini sebagai panduan dan seni untuk menjadi guru yang cemerlang. Dalam kata lain, saya ada sedikit bekal untuk berjuang di lapangan pendidikan.

Benar. Ilmu Pendidikan itu, sama ada diajarkan atau dipelajari di maktab hanya sekadar teori semata-mata. Hakikat sebenar adalah apabila kita telah berada di lapangan pendidikan. Sebab itu setiap calon guru didedahkan tentang psikologi pendidikan supaya mereka tahu setiap murid tidak mempunyai perkembangan yang sama. Justeru, murid mempunyai personaliti yang berbeza, tahap kecerdasan akal dan sikap yang tidak sama kerana mereka datang daripadang pelbagai latar belakang keluarga.

Guru pula perlu mempunyai kemahiran mengurus bilik darjah supaya ia kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan wujudnya suasana kondusif barulah suasana belajar dapat dicetuskan lantas memungkinkan interaksi dan komunikasi yang berkesan sepanjang tenpoh pengajaran dan pembelajaran. Biarpun ini semua hanyalah aspek teknikal yang dilihat berada diluar P&P sebenar namun, jika diabaikan akan menurunkan potensi murid untuk belajar sekaligus P&P menjadi tidak cemerlang.

Padahal ”guru sebenar” selalunya memikirkan bagaimana untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang dan berkesan. Mereka selalu menyandarkan kepada strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang diguna pakai sedangkan mereka mengajar dalam kelas yang tidak kondusif kepada murid yang tidak bersedia untuk belajar. Guru cemerlang tidak lahir dalam sehari.
Bagaimana hendak cemerlang dan berkesan jika bilik darjah dalam keadaan tunggang langgang, sampah sarap berselerak, dan fizikal kelas yang sememangnya tidak ceria, murid-murid pula tidak ada mood belajar? Jauh untuk kondusif bukan.

Inilah yang selalunya saya alami. Saya akui saya masih lemah untuk menjadi seperti guru-guru yang telah berjaya. Justeru, perkara pertama yang saya lakukan bila masuk ke kelas adalah sekurang-kurangnya memastikan kelas bersih daripada sampah. Itupun kadang kala terlupa. Dan akhirnya saya memohon daripadaNya supaya Dia menguatkan saya, memantapkan niat saya dan menjadikan saya seorang guru yang baik sebagaimana guru-guru lain yang telah menjadi baik.

Seterusnya bila diteliti lagi, Ilmu Pendidikan bukan sahaja mengajar guru bagaimana untuk mengajar tetapi juga bagaimana untuk belajar. Maksudnya guru belajar apabila guru mendapat maklumbalas daripada murid-muridnya tentang apa yang diajarnya. Justeru, perlunya ada bimbingan, pemulihan dan pengayaan di samping penyediaan rekod dan analisa terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan mereka seperti rekod prestasi dan ujian secara berkala.

Bila sebut tentang ujian saya teringat tentang Jadual Penentuan Ujian (JPU) yang dibina berasaskan kepada kemahiran pengukuran penilaian seperti mana yang diajarkan di maktab supaya sesuatu set soalan ujian itu adalah diiktiraf sah. Jika soalan itu terlalu susah atau terlalu senang ia mungkin tidak sah untuk pengukuran dan penilaian kerana tidak dapat dinilai dengan secara tepat. Oleh itu, saya patut jadikan ini sebagai panduan menyediakan soalan.

Dan hal paling utama setelah memahami tentang psikologi pendidikan dan pedagogi adalah hal yang berkaitan dengan profesionalisme keguruan.

Seseorang guru yang tidak memahami (bukan menghafal) tuntutan pendidikan sebagaimana termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam pastinya akan melalui jalan yang sukar biarpun dia mengimpikan untuk menjadi guru yang cemerlang. Lantaran kita tidak boleh memimpin orang ke arah cahaya jika kita pun berada dalam kegelapan.
Justeru, melalui profesionalisme keguruan akan terbuktilah ciri guru yang sebenar. Guru yang bukan sahaja memiliki ilmu, tetapi juga memiliki kompetensi sebagai seorang murabbi. Murabbi yang mempunyai akhlak dan disiplin yang baik ini hanya akan beroleh keberkatan bila ia mengikatnya dengan niat yang soheh.
Banyak sebenarnya jika kita sama-sama nak bermuhasabah tentang hal ini. Saya sendiri memilih untuk memperingatkan diri dengan menulis hal ini. Bukan dengan niat hendak mengajar orang lain yang jauh lebih baik berbanding saya.
Apapun, seorang pegawai di JPN pernah menyatakan bahawa peluang untuk menjadi guru cemerlang terbuka luas. Justeru, apakah tidak wajar jika saya menjadi salah seorang yang berusaha untuk cemerlang jika pun tidak berjaya ditabal sebagai guru cemerlang.
Impian yang menggunung ini, bukan usaha hari ini. Bukan usaha esok. Tetapi usaha yang sudah bermula dan akan terus berkesinambungan. Siapa mahu bimbing saya menjadi cemerlang?
Angkat tangan! Dan berikan tunjuk ajar. Saya guru baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.

Sekian, ma'as salamah.

*** Murid-murid sedang menjalani ujian minggu ini. Saya pun mulalah duk berangan. Haha

BAITUL IZZAH.

Thursday, July 24, 2008

KELEBIHAN AKHIRAT

Salam Ukhwah,

Marilah sama-sama kita hayati Hadis ini:

Abu Hurairah r.a. berkata Nabi s.a.w pernah bersabda "Apabila ummatku melebihkan urusan dunia maka akan hilang kebesaran akhirat, apabila ummatku meninggalkan usaha dakwah maka akan hilang keberkatan wahyu (Al-Quran) & apabila ummatku caci mencaci satu dengan yang lain maka mereka tidak dipandang oleh Allah s.w.t." HR Bukhari.

Baitul Izzah.

Wednesday, July 23, 2008

P&P BERKESAN? Antara Idealisme Maktab dan Realiti Sekolah

Oleh Akhi Mizi

SAYA tertarik dengan tulisan/catatan Ustaz Musa Jayyid di dalam blognya http://musajayyid.blogspot.com/ tentang Proses P&P Cemerlang (klik untuk baca). Daripada apa yang dicatatkan beliau, saya mengakui hakikat bahawa guru mampu melaksanakan P&P cemerlang itu jika guru itu hakikatnya mahukan P&P yang dilaksanakannya cemerlang.

P&P yang cemerlang bermula dari bagaimana seseorang itu merancang. Perancangan yang baik dan teliti adalah mahar yang amat berharga untuk sesuatu tindakan.

Saya ingin menitipkan satu analogi di sini supaya kita sama-sama dapat berfikir.

Analoginya begini: Seorang lelaki yang mengimpikan untuk memiliki seorang isteri idaman tentulah tidak hanya boleh buat sambil lewa dalam setiap tindakan pemilihannya. Dia mestilah merancang untuk mencari calon dengan teliti. Calon pula mestilah ditapis berkali-kali. Contohnya, jika dia mahukan isteri yang cantik menawan maka kecantikan yang bagaimana dikehendakinya mestilah dijadikan panduan pemilihan. Jika dia mahukan isteri yang kaya raya, kaya yang setahap mana dimahukan? Jika mahukan yang berketurunan pula keturunan yang berpangkat apa pula? atau jika dia mahu isteri yang solehah beriman, diperhatikan pula dari aspek itu pada tahap yang mana satu. Pada aspek berpakaiankah? aspek penampilankah? Aspek kelakuankah? Ilmukah? atau apa lagi? Begitu juga halnya dengan orang perempuan. Mereka pun mahukan suami idaman? Jika lelaki mahukan perempuan terbaik. Perempuan pun mahu lelaki terbaik juga.

Analogi ini mengaitkan betapa pentingnya perancangan. Langkah pertama untuk sesuatu tindakan. Langkah ini jika diabaikan akan mengakibatkan tidak mungkin apa yang diharapkan dapat dicapai. Bahkan Nabi Muhammad SAW memesan hal ini dalam hadis baginda supaya setiap lelaki yang hendak menikah memilih dengan pilihan yang tepat. Dan Nabi menyatakan pilih agama adalah yang paling tepat.

Dalam hal P&P pula, sedikit berbeza. Saya bersetuju bahawa perancangan adalah hal paling muhim. Tetapi hal yang lebih aham adalah apa yang ada dalam diri guru itu sendiri. Persepsinya terhadap kerjayanya. Sikapnya terhadap anak didiknya. Jika guru itu yang ada dalam hatinya adalah sifat ala-kadar maka hasilnya nanti pun ala-kadar sahajalah. Hasil yang ala-kadar ini selalunya dikenali sebagai "situasi selamat" dan berada dalam "zon selesa". Apa tidaknya, tidak cemerlang dan tidak pula gagal. Hanya di tengah-tengah dan mungkin maqbul sahaja bukan jayyid atau mumtaz dan tidak juga rosib. Maka, tidak akan berlakulah pemantauan daripada PPD atau JPN di sekolah tersebut. Ini kerana guru-guru sedia maklum, JPN atau PPD selalunya akan melakukan pemantauan di sekolah yang gagal sangat atau amat cemerlang. Di sekolah-sekolah sederhana selalunya "zon selesa".

Situasi selamat dalam zon selesa ini sebenarnya hanya selamat untuk jangka masa terdekat. Ia tidak selamat untuk jangka masa panjang. Saya amat percaya bahawa pegawai-pegawai di PPD dan JPN amat maklum akan hal ini. Cuba kita fikirkan sendiri, kita adalah guru yang mampu untuk "terbang" semasa mengajar, mengapa kita cuma memilih untuk "merangkak" sahaja? Jika kita sendiri yang membuat pilihan itu, maka jangan nanti salahkan orang lain jika anak murid kita tidak setanding anak murid orang lain. Maksud saya guru lain.

Tetapi, kadang kala idealisme saja tidak cukup. Misalnya semasa di maktab perguruan guru-guru didedahkan dengan pelbagai kaedah pengajaran, pedagogi itu dan ini, teori itu dan teori ini, pendekatan itu pendekatan ini sebaliknya bila guru-guru itu kembali ke medan sebenar mereka tidak dapat melaksanakan sebagaimana mereka belajar dahulu. Saya sendiri mengakuinya tidak dapat melaksanakan di kelas.

Barangkali... apa yang dipelajari di maktab perguruan itu perlu diteliti semula. Banyak yang sudah kabur. Lupa.

Bagaimana kita merancang untuk melaksanakan P&P. Dari sudut pemilihan kandungan pelajaran yang hendak diajarkan kepada murid sehinggalah kepada aspek teknikal seperti penyediaan bahan bantu mengajar, membuat rujukan, membuat andaian pelaksanaan, kesediaan mental, cara penyediaan rancangan harian sehinggalah pelaksanaannya di kelas dan membuat refleksi. Tentulah ia memerlukan perancangan yang teliti. Jika berlaku kekurangan, eloklah dikaji mana yang kurang. Aspek mana. Aspek objektifkah? Langkah dalam aktiviti kah? Masa kah? Atau Bahan Bantu Mengajar kah? Atau mungkin juga set induksinya yang tidak menyediakan murid untuk belajar.

Banyak aspek perlu diperhatikan semula selepas mengadakan P&P. Mungkin kadang-kala guru yang hebat, P&P yang hebat tetapi murid langsung tak faham. Contohnya guru Bahasa Arab lah. P&P seratus peratus diarahkan Berbahasa Arab, bukankah ini hebat? Tetapi persoalannya berapa peratus pula murid faham? Saya sendiri tidak dapat melaksanakan P&P yang hebat itu. Maksud saya 100% berbahasa Arab. Belum lagi pengurusan kelas dan kawalan murid.

Apapun saya sangat bersetuju dengan tips yang diberikan oleh Ustaz Musa Jayyid Mohamad, Pegawai j-QAF JPN Kedah. Cuma persoalannya, adakah P&P yang seperti itu dapat dilaksanakan oleh guru-guru? Terutama guru j-QAF. Dan jika dilaksanakan pun adakah dilaksanakan hari-hari? Atau cuma bila Pegawai di JPN atau PPD hendak pergi memantau atau semasa GB hendak membuat pencerapan.

Kita kan guru! Sama-sama kita bermuhasabah. Sendiri mau jawab.

Baitul Izzah.

Monday, July 21, 2008

PENULISAN SEPUTAR DUNIA PENDIDIKAN

Salam juang mustamir,

LITERALNYA bukan baru saya mengenali dunia blog. Sejak Jun 2002 saya telah terjebak menulis secara online di internet. Pada masa itu saya masih lagi belajar di Universiti Al-Azhar As-Syarif Cawangan Tanta, Mesir pada tahun ke-3.

Tetapi penulisan yang mengaitkan saya dengan dunia pendidikan hanya bermula sejak saya pulang ke Malaysia. Itu pun setelah terjun ke dunia pendidikan. Pada peringkat awal penglibatan saya dalam dunia pendidikan saya mempunyai persepsi yang agak nadir. Apa tidaknya, semasa kecil sehingga zaman menengah dan di universiti pun tidak pernah saya impikan untuk mengajar di sekolah rendah. Lebih-lebih lagi mengajar sebagai seorang guru sandaran yang tidak pernah menerima latihan perguruan.

Saya telah menulis tentang ini di laman blog penulisan saya berjudul MASRAWI Online di http://akhimasrawi.blogdrive.com/. Selain itu saya juga pernah menulis di Jurnal Jalan Hidup di PUJANGGA Online di http://akhimasrawi.cjb.net/. Macam-macam pandangan daripada para pembaca yang saya dapati. Rata-rata memberikan saya kekuatan untuk terus menjadi guru.

Kemudian saya memohon KPLI. Alhamdulillah, Tuhan mentakdirkan saya memang untuk menjadi seorang guru. Saya pun mulai melalui dunia belajar di Maktab Perguruan (pada masa itu masih maktab) pada awal 2005 sehingga Jun 2006. Persepsi saya terhadap alam pendidikan mulai berubah. Sokongan keluarga amat kuat.

Saya masih ingat pada kata-kata emak. Saya juga masih ingat pada nasihat ayah. Akhirnya saya menolak tawaran-tawaran kerja lain dan terus thabat dengan dunia pendidikan. Sehinggalah saya menulis catatan ini.

Tetapi persoalannya mengapa masih membuka BLOG AKHIMIZI ini? Bukankah saya boleh sahaja menulis di mana-mana blog lain? Atau terus saja fokus kepada kerja mengajar di kelas. Tidak perlu sibuk-sibuk untuk berkongsi pengalaman dan pandangan di dunia BLOG. Saya memilih untuk menulis.

Ini persoalan identiti. Identiti saya adalah seorang penulis.

Jika saya mahu saya boleh teruskan. Tetapi saya memilih untuk membuka BLOG AKHIMIZI di http://akhimizi.blogspot.com/ sebagai sokongan kepada kawan-kawan lain yang juga guru. Guru yang kadang kala mengalami hal yang sama dalam dunia yang sama. Guru yang mengharungi jalan yang sama ini akan terasa lega kerana ada orang lain juga yang sama sepertinya.

Kini saya berbangga dengan kerjaya saya ini. Kesyukuran kepada Allah SWT kerana saya dipilih untuk meneruskan jalan-jalan para Nabi, Sahabat, Tabiein dan Para Imam Mujtahidin yang menyebarkan ilmu. Jalan ke syurga.

Setiap cita-cita yang murni mestilah dikaitkan dengan niat yang ikhlas. Saya berharap saya beroleh apa yang saya cita-citakan itu. Sehingga menanti saat itu saya berdoa Tuhan akan menguatkan hati saya, menjernihkan akal saya dan memberikan tenaga kudrat kepada saya untuk terus berkhidmat tentunya sebagai seorang guru. Jika boleh lebih dari itu, barangkali sebagai seorang penulis.

Salam juang,

AKHI MIZI
Baitul Izzah

SALAM UKHUWAH

Assalamualaikum,

Proses melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang berkesan sentiasa menjadi inspirasi saya selaku seorang guru. Namun, ada kalanya saya tidak berjaya mencapai apa yang saya rancang. Saya optimis, jika tidak hari ini mungkin pada hari lain P&P berkesan itu akan dapat dilaksanakan juga.

Saya ingin berkongsi apa yang saya lalui hari-hari dalam kehidupan saya sebagai seorang guru. Saya rasa sejak 2005 terlibat dengan dunia pendidikan secara rasmi (2004 hanya GSTT) masih banyak yang belum saya pelajari. Masih jauh untuk mengajar orang lain kerana pengalaman diri masih cetek dibandingkan dengan rakan-rakan guru-guru lama yang telah mengajar berbelas dan berpuluh tahun.

Oleh itu saya mengambil keputusan untuk menulis blog ini. Saya harapkan komentar membina daripada para pelayar yang singgah ke blog ini. Setiap pandangan dan teguran yang diberikan ucapan terima kasih saya rakamkan.

Sekian, jumpa lagi.

Wassalam.

Akhi Mizi