Thursday, September 25, 2008

SALAM AIDILFITRI BUAT SEMUA

Salam ukhuwah,
Pada kesempatan ini saya, isteri dan anak kami Ahmad Naufal Alwafi mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri. Mohon maaf zahir dan batin.






Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

APA PATUT ADA DALAM SESUATU CATATAN BLOG?

Oleh Akhi Mizi

BERDASARKAN apa yang saya faham, blog adalah medium penulisan internet. Ia kadang kala juga dianggap sebagai 'lidah rasmi' individu atau organisasi tertentu. Bagi saya adalah lebih baik jika blog terus dianggap sebagai penulisan internet yang sifatnya tidak rasmi.

Blog bukanlah penerbitan seumpama akhbar, tabloid atau majalah. Ia juga bukan buku sekalipun kandungannya memiripi itu semua. Blog hanyalah sekadar suatu cara untuk menerbitkan hasil tulisan atau memaparkan dalam bentuk visual, atau video atau didengar dalam bentuk audio. Masing-masing khalayak blogger mempunyai persepsi masing-masing.

Jauh sebelum itu, pada sekitar awal mellinium saya telah menemui web-web peribadi yang lebih kepada catatan kehidupan penulis. Pada masa itu istilah blog belum dipopularkan. Seingat saya, istilah yang paling akrab untuk penulis siber tentang catatan kehidupan ini adalah jurnal peribadi. Istilah jurnal kemudian melahirkan geng jernel yang merupakan komuniti paling awal ahli-ahli penulis jurnal peribadi yang kini lebih dikenali dengan nama blogger.

Pada masa itu istilah Blog jarang amat digunakan. Saya bukanlah generasi awal penulis jurnal peribadi ini. Ketika saya mula-mula berjinak-jinak menulis secara online telah ada hampir 200 ahli yang berdaftar dengan komuniti penulis online yang dinamakan geng jernel ini. Saya mungkin adalah antara orang paling awal di kalangan penuntut Al Azhar (azhari) yang terjun ke dunia ini. Selain saya ada beberapa nama pena lain seperti enmiya (Nazmi Yaakub), alluanna (Wan Zuhairi) dan Qahafi (Mohd Syuhairi).

Pada masa itu memang sukar ditemui Azhari yang sanggup mengetepikan tanggapan negatif sesetengah pelajar Al Azhar yang menganggap internet adalah sesuatu yang lagho (sia-sia) kecuali sedikit. Dan ternyata saya memilih medah tersebut.

Kemudian lahir pula istilah weblog dan penulisnya dinamakan penulis weblog. Pada masa ini saya telah menglihkan penulisan saya daripada cara catatan kehidupan kepada komentar sosial. Namun, saya tidak pula menyangka bahawa beberapa tahun kemudian masyarakat Malaysia amat celik dengan perkembangan blog. Dan istilah yang dipopularkan adalah Penulis Blog atau Blogger.

Saya memang antara generasi awal blogger jika diukur kepada jutaan blog yang baru hidup antara tiga tahun kebelakangan ini. Saya telah menulis secara online sejak Jun 2002. Pelbagai catatan telah saya tulis. Mungkin ada yang bernilai dan mungkin ada juga yang tiada nilai. Mungkin ada yang memuji ada yang menyakiti. Sekiranya ada penulisan saya yang lama-lama itu kurang disenangi saya memohon maaf.

Sehingga kini saya terus berblog. Entahlah sampai bila. Pada saya, biarlah apa jua pendapat orang tentang saya asalkan saya sedar apa yang patut dan apa yang tidak patut saya lakukan. Saya tahu dan yakin tidak semua orang mempunyai pandangan yang sama. Jika saya mengatakan blog besar manfaatnya, ada orang mungkin yang sebaliknya. Bahkan ada yang sehingga sampai sanggup untuk mengatakan mereka yang berblog barangkali meninggalkan kerja hakiki mereka. Apakah kita tahu hal yang sebenar?

Namun, dunia blog bukan dunia saya untuk mencari galmour. Ini kerana saya bukan siapa-siapa. Saya hanya seorang blogger kerdil. Saya berkerja dan melakukan arahan dengan hati yang bersungguh-sungguh kerana saya selalu mementingkan kesempurnaan pada tahapnya.

Saya yakin pada usaha murni saya ini. Saya berterima kasih kepada Tn. Hj. Mohd Rushdan Azizan kerana banyak memberikan saya inspirasi bagi memperkembangkan kerjaya saya sebagai seorang guru. Mungkin ramai yang tidak tahu, idea ilhamnya yang saya realisasikan banyak memberikan manfaat kepada warga pendidikan khususnya guru j-QAF di Kedah. Laman Portal SPPIM Kedah di http://sppimked.bravehost.com kemudian lahir pula E-Jazirah Online di http://e-jazirah.bravehost.com/ adalah inspirasi beliau.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada:

Tn. Hj. Mohd Rushdan Azizan
Tn. Hj. Musa Jayyid Bin Mohamad
Ustaz Mohd Isa Arob (SK Hosba)
Ustaz Nazri Hashim (SK Siputeh)
Ustaz Mohd Rokhaimi Zakaria (SK Kedawang)
Ustazah Althoharoh Binti Ali (SK Kuala Teriang)

Di atas segala sekongan dan dorongan kalian selama ini yang memungkinkan saya terus menyumbang sebagai seorang webmaster.

Dan setelah difikirkan kembali hanya 1 sahaja idea saya yang saya sudah perkenalkan kepada Tn. Hj. Mohd Rushdan Azizan dan Tn. Hj. Musa Jayyid Mohamad iaitu ”berblog”. Hasilnya mereka sekarang telah mantap dengan blog masing-masing. Link blog ada di sebelah.

Tahniah kepada mereka. Semoga terus berjaya.
http://akhimizi.blogspot.com/

Monday, September 22, 2008

APAKAH MAKSUD PKSR BAHASA ARAB YANG SEBENAR?

Oleh Akhi Mizi
(Artikel saya pada kali ini mungkin akan sedikit 'pedas' dan akan mengusik pihak-pihak tertentu. Justeru, eloklah terusik supaya kalau boleh ada tindakan yang sepatutnya.)
BARANGKALI saya hanya keseorangan apabila mengatakan bahawa Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR) bagi mata pelajaran Bahasa Arab telah mengalami perubahan mengejut pada tahun 2008. Tetapi saya yakin, apa yang saya fahami daripada maksud pelaksanaan PKSR Bahasa Arab itu adalah betul dan sebagaimana yang dimaksudkan.
Bermula 2005, mata pelajaran Bahasa Arab dikepilkan dengan pentaksiran PKSR agar ia nampak peningkatan dalam penguasaan murid. Tujuan ini murni tetapi, cuba kita fikirkan semula pada masa itu guru-guru Bahasa Arab atau pun Guru j-QAF Pendidikan Islam yang diarah mengajar Bahasa Arab yang masih berstatus GDL perlu melaksanakan PKSR Bahasa Arab tanpa sebarang pendedahan tentang cara pelaksanaannya. Saya sendiri pada waktu itu kabur dan terpaksa mempelajarinya sendiri.
Sehinggalah pada tahun 2006 semasa kohot kami yang mengikuti KPLI-SR LPBS j-QAF Ambilan 2005 sedang mengikuti sesi akhir kursus di IPG kemudian peperiksaan Akhir, KISSM dan Kursus Kenegaraan BTN sebelum dipostingkan semula ke sekolah dikejutkan dengan arahan 'orang atas' agar PKSR Bahasa Arab mesti dilaksanakan mengikut instrumen yang telah ditetapkan di dalam buku Panduan Pelaksanaan Model-model j-QAF. Buku Panduan tersebut di sekolah saya cuma ada 1 naskah untuk setiap tahun, maklumlah Pulau Langkawi. Di tempat lain ada yang sehingga 3 Naskah untuk setiap tahun pelaksanaan.
GDL yang masih mentah seperti kami merintis jalan untuk menyediakannya. Meskipun sukar namun, hati cekal untuk menyediakan borang-borang dan soalan-soalan PKSR BA tersebut sebagaimana diarahkan. Saya sendiri mengakui memang tidak sempurna. Tetapi sekali-kali untuk tidak buat adalah pilihan yang tidak kena. Walaupun ada yang memilihnya.
Saya masih ingat, pada masa itu seorang guru Bahasa Arab j-QAF di sebuah sekolah di daerah ini telah merangka borang pemarkahan sebagaimana yang dikehendaki oleh Buku Panduan Model j-QAF tersebut dengan menggunakan format Microsoft Excel. Usahanya itu disambung tahun demi tahun sehinggalah ke tahun ketiga pelaksanaan j-QAF iaitu 2007. Saya memiliki kesemua koleksi format borang PKSR dan instrumen penilaian setiap tajuk secara formatif sebagaimana konsep PKSR yang sebenar.
Kemudian itu, yang terpahat dalam minda saya adalah PKSR Bahasa Arab adalah laluan yang bertindak sebagai pengayaan, pengukuhan dan pemulihan mengajar Bahasa Arab (Bahasa Arab Komunikasi) kepada guru. Murid pula nanti akan meminati Bahasa Arab. Apakah benar? Jika benar pula persoalannya apakah sempat? Dua waktu diperuntukkan untuk Bahasa Arab untuk 1 minggu. Maksudnya 60 minit seminggu dengan silibus yang agak banyak, Buku Latihan Aktiviti (BLA), Buku Teks dan perlu pula melakukan PKSR dalam masa sama.
Guru seperti saya pun mulalah mencipta jadual sendiri. Ada yang mengkhususkan dalam sebulan 1 tajuk perlu dihabiskan termasuk melibatkan empat kemahiran Bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Ianya akan melibatkan aktivit P&P seperti mendengar rakaman atau bacaan guru, mengajuk bacaan, membaca secara beramai-ramai, berkumpulan dan individu, baca di hadapan kelas, baca teks, menyanyi, bersyair, latihan bertulis dalam BLA dan banyak lagi ditambah pula ujian PKSR pada setiap hujung tajuk. Cuba kita sama-sama bayangkan dengan waktu 60 minit kalau dalam sebuah kelas ada 40 orang murid adakah akan benar-benar diuji kesemua murid tersebut pada setiap kemahiran? Jawablah sendiri. Saya yakin Guru Bahasa Arab mempunyai pandangan masing-masing.
Sudahlah begitu sulit dan sukar hendak menyediakannya tetapi guru-guru ini masih mahu untuk menyediakannya kerana dua faktor. Pertama keikhlasan dalam kerja. Kedua kerana melibatkan pemantauan. Saya sendiri tidak faham. Bagaimana seorang Fasilitator boleh bersyarah tentang PKSR di dalam kursus-kursus Kurikulum ini menyediakan PKSR mereka sendiri. Justeru, pelbagai kekangan, realitinya dihadapi. Saya sendiri pun tidak sempurna (ulang kali kedua).
Itulah realitinya sehinggalah tahun 2008 apabila dikejutkan pula dengan PKSR Bahasa Arab Tahun 4 secara dua edisi. 1 edisi Mei 2008 dan lagi 1 edisi Oktober 2008. Edisi Mei telah dilaksanakan dan hasilnya kemerosotan yang amat ketara. Saya sendiri terkejut dengan soalan, murid-murid lebih lagi. Mungkin murid-murid di sekolah dalam bandar akan menganggapnya mudah tetapi bagi murid-murid saya, minat mereka untuk mempelajari Bahasa Arab jatuh. Dengan markah yang semakin mengecil berbanding markah-markah tahun sebelunya. Mereka berada dalam darjah empat dan umur mereka baru hendak masuk 10 tahun, minat sudah berkurangan. Selaku guru, saya memotivasikan semula. Belum ditambah faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kemerosotan minat pelajar.
Edisi Oktober pula tiba pada Rabu lepas 17 Oktober 2008 yang menghendaki PKSR dilaksanakan pada 16 - 29 September 2008. Mulanya saya menyangka mungkin tarikh PKSR itu silap kerana ia edisi Oktober, mengapa pelaksanaannya pada September? Tetapi setelah menghubungi beberapa rakan mereka juga menerima arahan yang serupa. Mustahil silap.
Kemudian saya pun menghantar kertas soalan PKSR Bahasa Arab itu untuk dicetak oleh PA sekolah. Sepanjang minggu ini saya memilih melaksanakan PKSR Bahasa Arab tahun 4 untuk kertas 1 dan kertas 2 terpaksa dilewatkan daripada tarikh arahan. Untuk Kertas 1 formatnya memerlukan guru pengawas ujian PKSR ini membacakan arahan dan soalan untuk dijawab oleh murid. Saya sekali lagi terkejut melihat soalan. Murid-murid saya lagilah. Konklusinya soalan susah. Tidak mungkin untuk mereka jawab betul semua soalan. Meskipun kelas pertama tahun 4 yang muridnya sangat-sangat bijak.
Formula PKSR agaknya sudah berubah. Seorang guru menyatakan kepada saya bahawa soalanya seperti pada tahap sekolah menengah. Entah bagaimana rupanya soalan itu nanti semasa mereka sudah di tahun 6.
Saya tidak hairan dengan perubahan format PKSR ini. Pada saya apa yang baik eloklah diteruskan tetapi persoalannya apakah wajar saban tahun peratus Bahasa Arab menjunam. Sedangkan pada suatu ketika dahulu kami guru-guru Bahasa Arab pernah ditegaskan bahawa maksud pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di sekolah rendah adalah untuk menimbulkan minat murid kepada Bahasa Arab seterusnya mampu menguasai asasnya dan berkomunikasi dengan cara yang mudah. Apakah mereka ini patut diukur dengan soalan yang susah. Ada imlak dan ada jawab secara kefahaman. Biar betul.
Saya rasa pada tahun ini pencapaian murid-murid yang saya ajar akan menjunam jatuh. Saya akan terharu kerana mereka sebenarnya pandai. Disebabkan soalan yang terlalu hebat maka mereka dinafikan sebagai seorang murid yang hebat.
Saya sedar, saya cuma seorang guru. Namun, guru yang seperti saya inilah yang melaksanakan segala idealisme 'orang atas'. Jika tidak bagaimana rupa realitinya. Sama-samalah berfikir dan merenung siatuasi sebenar. Jika perlukan perubahan eloklah dilakukan segera.
Ingat pada PPSMI? Jangan nanti j-QAF terutamanya Bahasa Arab pun akan menerima nasib serupa. Atau lebih teruk daripada itu. Kita, kalau boleh mahu semua murid Islam meminati Bahasa Arab dan belajar Bahasa Arab. Soal markah, tolak ke tepi. Apa yang mustahak adalah semakin mereka mempelajari Bahasa Arab semakin mereka akan dekat dengan Al-Quran. Semakin dekat dengan Al-Quran semakin mereka mencintai Islam.
Bukankah ini niat yang murni?
Bersambung...?
Sila baca artikel PKSR Mengejut oleh Nazri Samsuddin di blognya di http://mendidik.blogspot.com/
Komentar peribadi sila hantar ke e-mel: myakhimizi@yahoo.com

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Thursday, September 18, 2008

LULUSAN PENGAJIAN ISLAM LAYAKKAH MENGGELAR DIRI ULAMAK?

Oleh Akhi Mizi

PERNAH suatu ketika dahulu sebelum saya diterima masuk berkhidmat sebagai seorang guru, ada seorang yang saya kenali menyimpulkan pendapatnya dengan mengatakan "dunia hari ini, ustaz dan ustazah pun tidak mempunyai kelayakan sebagai tok guru (ulamak). Akhlak dan perangai pun tak macam orang belajar agama. Ilmu pun tak ada, mengajar di masjid pun tak mampu. Orang tanya masalah hukum sikit pun dah tak reti nak jawab."

Tambahnya lagi " Kalau jadi ustaz pun cuma ustaz sekolah, ajar budak-budak boleh la. Cuba bagi kitab suruh baca di masjid... tolak jadi imam, suruh baca khutbah, buat tahlil, jadi khalifah Yasin, urus jenazah, mesti tolak kepada orang lain. Alasannya muda, ada orang lain lebih tua. Lebih tua lebih afdhal."

Saya cuma mendengar pendapatnya sahaja dengan jiwa yang pelbagai rasa. Saya hormat pendapat peribadinya kerana dia seorang yang lebih tua daripada saya. Akan tetapi dalam hati saya lain. Ada pro ada kontra. Sebenarnya saya sendiri mempunyai persepsi peribadi terhadap persoalan tersebut. Bahkan mungkin juga persepsi saya tidak akan sama dengan persepsi anda. Namun, percayalah kita mengharungi realiti hidup yang tidak sama tentulah akan wujudnya ikhtilaf.

Saya percaya insan-insan yang sama seperti saya dari lulusan Sarjana Muda Pengajian Islam majoritinya tidak berani mengakui diri mereka berstatus ulamak. Atau dalam maksud yang mudah, tidak layak menggelar diri sebagai ulamak. Baik mereka yang khirrij daripada Syariah Islamiah, Usuluddin mahupun selebihnya pun tidak akan mengakui mereka berstatus ulamak.

Jika begitu siapakah sebenarnya ulamak? Jika mereka yang mempelajari Ilmu-ilmu Pengajian Islam ini pun tidak melabelkan diri mereka ulamak. Siapa yang patut melabelkan diri mereka ulamak?

Dalam situasi begini, sebenarnya saya berpandangan bukanlah kelulusan menjadi pengukur utama status sesesorang tetapi yang menjadi pengukur utama adalah sejauh mana ilmu di dadanya dan sejauh mana ilmu itu diamalkan.

Ramai yang mempelajari dalam bidang Pengajian Islam tetapi mereka tidak mempunyai ilmu. Jika ada pun ilmu mereka cuma berada di dalam buku-buku yang menghiasi rak mereka sahaja, bila timbul persoalan barulah mereka merujuknya untuk sekadar menjadi penyampai jika ditanya. Maksudnya ilmu mereka tidak ada kualiti. Dari sudut yang lain kita harus melihat bagaimana mereka mengamalkan ilmu-ilmu yang mereka pelajari itu pula bukan sekadar tahu bercakap sahaja. Nanti orang kata, orang mengaji agama ni cakap saja pandai! Buat tak tahu.

Dunia hari ini, orang tahu halal haram ramai, tetapi ramai juga yang masih terlibat dengannya. Fikir-fikirlah jika yang halal dan haram itu bersatu adakah akan turunnya berkat? Atau kita tidak kisah pun soal keberkatan ini.

Pada saya, pelbagai faktor barangkali menjadi penyumbang mengapa semua ini berlaku. Tetapi wajarkah kita menyalahkan keadaan tanpa bermuhasabah diri? Pada saya, ilmu yang dipelajari semasa belajar di peringkat universiti dahulu adalah sekadar muqaddimah ilmu sahaja belum pun sampai kepada tahap tahqiq. Atau barangkali mereka yang menyudahkan PHD pun masih belum mencapai tahap tahqiq ini.

Tetapi sayang sekali, ada kalangan orang-orang lulusan agama ini yang terjun dalam kerjaya perguruan berlagak umpama ulamak sedangkan ilmu dan amalan sendiri masih celaru. Mereka dengan berani memberikan pendapat peribadi tentang persoalan-persoalan berkaitan agama. Mengulas tentang hadis itu dan hadis ini menggunakan kefahaman sendiri, meriwayat itu ini dengan tanpa merujuk kepada asasnya. Tindakan mereka ini tidak ubah seperti apa yang Nabi nyatakan dalam sebuah hadis, "Man kazaba 'alaiya muta'ammidan fal yatabawwa' maq'adahu minan nar." tentang golongan yang mendustai Nabi dan ajarannya maka persiaplah diri mereka untuk diazab di neraka.

Saya takut. Sepatutnya golongan belajar agama ini menjadi pengikut yang baik, bukan golongan yang merosakkan agama Islam itu sendiri.

Hakikatnya lulusan pengajian Islam sendiri ada pelbagai tahap. Ada mereka yang benar-benar berkualiti ilmunya. Mereka ini bersedia berkerja untuk Islam, bertugas menyampaikan Ilmu dengan cara yang jujur. Menginsafi diri daripada melakukan perbuatan yang tidak sesuai dilakukan seorang golongan agama. Mereka ini memperbaiki amalan mereka. Bertutr dengan benar dan ikhlas. Golongan ini pula kadangkali terbahagi kepada beberapa kumpulan. Ada kumpulan yang keterlaluan dan ada pula yang sederhana dan mengikuti perkembangan.

Golongan kedua belajar agama sekadar untuk mendapatkan ijazah kerana ijazah itu akan digunakan untuk mencari kerja. Golongan ini pun terbahagi kepada beberapa golongan. Ada yang mengimpikan kerjaya seorang pensyarah maka dilumatinya kitab kuliah agar dapat menghadam segala yang termaktub dalam isi muqarrar agar dapat menjawab dengan sempurna dalam imtihan dan lulus dengan cemerlang untuk menjadi tiket melanjutkan pengajian sarjana lanjutan. Mungkin mereka ikhlas mungkin juga tidak. Tetapi siapa kita untuk menilai keikhlasan orang lain? Ada juga golongan yang hanya sekadar cukup-cukup makan. Kata mereka berkerja nanti gaji sama saja. Apa guna bertungkus lumus masa belajar kalau nanti dapat imbuhan yang serupa sahaja. Ada juga golongan yang lebih teruk daripada itu, mereka ini semasa belajar pun sudah tidak jujur dan akhirnya bila ijazah sudah di tangan ilmu langsung tak ada kerana meniru semasa belajar. Tetapi kadang kala mereka ini juga lantang dalam menyampaikan Islam, walhal mereka sendiri pun tidak datang dari sumur yang bersih. Bagaimana mungkin kayu yang bengkok dapat meluruskan bayang-bayang.
Golongan ketiga adalah golongan yang terpaksa belajar agama. Mungkin terpaksa kerana dipaksa. Tetapi setelah tamat pengajian mereka lebih suka memilih untuk keluar bidang agama. Mereka tidak mahu dilabel sebagai orang agama kerana orang agama kena jaga banyak benda sedangkan orang awam biasa kalau buat salah sikit-sikit orang tak akan nampak. Tetapi, bukankah Allah Maha mengetahui?

Maka wujudlah beberapa golongan ini yang mempunyai latar belakang pendidikan agama. Kadang kala mereka yang lulus pengajian Bahasa Arab pun dilabel sebagai orang agama. Wajarkah? Wajar atau tidak itu persoalan lain. Pernahkah kita terfikir, adakah masyarakat akan bertanya dahulu apa kelulusan kita bila mereka bertanyakan persoalan agama? Misalnya dalam bab hukum hakam, graduan Syariah biasanya lebih menguasai. Tetapi jika persoalan Tauhid barangkali mereka yang lulus Usuluddin lebih berupaya. Tetapi hakikatnya siapa yang belajar agama dan Bahasa Arab tetap dilihat sebagai seorang lulusan agama.
Saya ditanya apa kelulusan saya, kemudian saya menjawab yang saya adalah lulusan Syariah Islamiah. Ditanya lagi kenapa tidak menjadi Qadhi? Saya pun menjawab bahawa saya lebih minat untuk menjadi guru.

Lihatlah dengan mata hati betapa kerdilnya kerjaya guru, biarpun kerjaya ini yang paling menguja diri saya. Memang benar, kalau sekadar ada ijazah dan boleh berceramah belum tentu boleh dipanggil ulamak. Tetapi perasan atau tidak sebenarnya kita mesti meneruskan kerja-kerja Nabi walau melalui apa kaedah sekalipun. Maka janganlah kita menyempitkan fikiran.

Jujurnya, tidak layak mengaku atau menggelar diri ulamak bukanlah tiket untuk menjadi orang awam. Sama ada lulusan pengajian Islam bersedia atau tidak bersedia untuk menjalankan tugas-tugas ulamak mereka tetap menjadi sebahagian daripada aset Islam. Aset ini tidak akan memberikan sebarang makna jika toriq yang telah dirintis oleh Al-Ghazali, An-Nawawi, Ibnu Taimiyah, As-Suyuti dan ramai lagi tidak dijadikan panduan. Biar siapapun kita, kita tetap mempunyai tanggungjawab.

Menggelar diri sebagai ustaz atau ustazah kerana kita mengajar adanya perasaan menghormati dalam jiwa anak didik. Bukan supaya kita dipandang sebagai seorang ulamak. Alasan saya mudah sahaja andai kita yakin ilmu yang kita miliki itu sudah terlalu banyak maka ukurlah dengan ayat Allah, apakah kita sebenarnya sudah benar-benar memahaminya?

Mustahil bukan? kerana itu... ulamak pun berikhtilaf. Justeru, terimalah diri sebagai seorang yang biasa. Jangan terlalu mengharap orang akan mengalu-alukan kita hanya kerana kita ini belajar ilmu-ilmu Islam.

TAMAT

Sebarang komentar sila emelkan ke emel peribadi saya:

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Sunday, September 14, 2008

PERSEPSI GURU TERHADAP SIKAP MURID BELAJAR BAHASA ARAB

Oleh Akhi Mizi

SAYA tidak pasti sejauh mana sebenarnya saya kenal murid-murid (pelajar) saya. Sejak 2005 saya ditempatkan di sekolah ini saya masih lagi tercari-cari cara terbaik untuk mengenali pelajar saya, tetapi saya kurang berjaya.

Saya sedar kegagalan saya mengenali murid-murid saya akan mengundang padah kepada saya. Tetapi saya sendiri tidak dapat berbuat lebih dari yang mampu. Sebagai Cikgu Bahasa Arab yang mengajar cuma 60 Minit untuk satu kelas dalam seminggu, apakah mampu untuk kenal mereka sebaik seorang guru kelas yang lebih banyak masa dalam kelas. Guru kelas barangkali menghabiskan antara 180 minit ke 300 minit bersama pelajar sedangkan seorang guru Bahasa Arab cuma ada 60 minit dalam masa seminggu atau dua waktu mengajar.

Oleh sebab itu, persepsi saya terhadap murid-murid saya kadang kala tersasar. Saya bermuhasabah... membuat kajian ringkas terhadap murid dan penguasaan mereka terhadap Bahasa Arab yang dipelajari.

Seseorang guru yang baik seharusnya tidak menyalahkan muridnya andai mereka tidak dapat menguasai pelajaran yang diajarkan. Ini adalah persepsi saya. Murid-murid saya yang mampu menguasai pelajaran yang diajar memberikan saya kepuasan mengajar, tetapi setelah berlalu tajuk itu dan masuk tajuk baru mereka lupa semula apa yang pernah mereka faham dan belajar. Saya terasa terhimpit dengan situasi ini.

Sudahlah sukar hendak memahamkan mereka ditambah pula mudahnya mereka melupakan apa yang pernah mereka pelajari. Apakah sebenarnya mereka ini cuma belajar main-main? Atau main-main sambil belajar?

Sebagai seorang guru, saya mahu patuh untuk menghabiskan silibus yang ditetapkan. Pun begitu isi pelajaran yang banyak menyebabkan silibus amat sukar untuk dihabiskan. Tetapi saya tidak sangat memikirkan soal ini. Apa yang mengusutkan fikiran saya adalah, bagaimana untuk mengisi dada mereka dengan Bahasa Arab ini. Paling tidak pun mereka mampu membawanya ke sekolah menengah nanti. Jika tidak, saya akan jadi punca kegagalan mereka.

Namun, untuk pertama kali saya memujuk diri. Mengapa harus menyalahkan diri seratus peratus? Sedangkan pendidikan bukan hanya berkaitan antara guru dan pelajar. Pendidikan adalah sebuah institusi yang sepatutnya berjalan seiring dan sekata. Barulah aspirasi pendidikan boleh diterjemahkan dengan berkesan.

Mengapa silibus terlalu banyak sedangkan pelaksanaan kelas Bahasa Arab cuma 2 waktu seminggu atau 60 minit? Sedangkan subjek Bahasa lain yang diajarkan lebih dari itu pun masih lagi belum berjaya sepenuhnya.

Saya rasa sedikit lega. Namun, tindakan segera 'orang atas' terhadap masa depan Bahasa Arab perlu diambil. Saya tidak mahu nanti Bahasa Arab tidak boleh ke mana.

Justeru, pelajar-pelajar saya adalah mereka yang masih dalam usia mumayyiz. Apakah mereka perlu disalahkan kerana mereka tidak dapat menguasai Bahasa Arab? Atau saya yang sepatutnya disalahkan selaku guru. Atau... pihak mana lagi? Senarionya lebih rumit. Sebelum ia benar-benar rumit... tindakan segera perlu diambil sama ada mengurangkan silibus Bahasa Arab di SK atau menambah waktu mengajar-belajar.

Fikir-fikirkanlah.




Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

CERPEN: CINTA DAN RONA KINANAH

Oleh Akhi Mizi
Salam mesra,
Saya menitipkan semula cerpen Cinta dan Rona Kinanah yang saya hasilkan pada 2004 setelah tamat Sarjana Muda di Universiti Al Azhar, Mesir dan sedang berkhidmat sebagai seorang GSTT di sebuah sekolah di Langkawi. Hadiah daripada saya untuk tatapan dan bacaan pelayar BLOG AKHIMIZI.
Cerpen ini pernah diterbitkan oleh Majalah i edisi Disember 2004. Turut dipilih untuk Antologi Cinta dan Rona Kinanah yang diterbitkan di Mesir di bawah seliaan Amiza Khusyri dan Mohd Zaki M Noor sebagai sebuah mabdak penulisan Pada Penulis ADABUNA.
**************
CINTA DAN RONA KINANAH

OLEH AKHI MASRAWI


PERTAMA adalah cinta dan diikuti dengan sejalur rona di Ardil Kinanah.

Cairo. Di sini cinta bermula. Tuhan Maha Adil. Kata-kata ini adalah azimat paling ampuh untuk memujuk kalbu. Tentulah Dia yang mempertemukan kita dan Dialah jua yang Maha Berkuasa untuk memisahkan kita.

Namun aku tetap bersyukur kerana Tuhan telah memberikan aku kesempatan untuk mengenalimu. Lama juga kita berkawan sehingga mentunaskan cinta. Dan paling tidak mungkin aku lupakan cinta itu berputik di sebuah Kota bernama Cairo.

Walaupun kini kita telah lama tidak berhubung, terpisah, membawa haluan masing-masing dan mungkin juga kau telah melupakanku tapi aku tidak mampu padamkan garis-garis hayat dan bilah-bilah waktu yang pernah kita lukiskan bersama.

Aku masih ingat kala kau datang ke rumahku dan memujukku supaya tidak meneruskan niatku untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa meskipun minatku sangat mendalam, surat tawaran sudah digenggam, periuk kenduri telah tertunggang dan khabar telah bertebaran. Kau mahu aku menemanimu ke Ardil Kinanah Mesir menelaah Syariah di universiti tertua itu.

Mulanya keluargaku menentang aku ke Alazhar. Mujur ada Abang Man yang memberikan aku harapan dengan memujuk ayah dan ibu. Akhirnya mereka mengalah dan kita sama-sama duduki Sijil Tinggi Agama kemudian bersiap untuk terbang ke Cairo.

Katamu di Alazhar ilmu lebih berkat. Profesornya hebat-hebat. Alazhar persis kiblat. Sehingga akhirnya kau menyeretku ke lembah kontang itu tidak kurasa seperti aku telah berhijrah persis hijrahnya seorang lelaki untuk Ummul Qais. Kau sering menjadikan aku sebagai tempat bertanya dan aku pula menganggapmu sebagai pendengar. Setelah tiga tahun bersama menghadapi kitab-kitab tebal aku dirasuk satu perasaan lain terhadapmu. Perasaan itu muncul tanpa kusedari. Mungkin ia hadir lantaran kita semakin jarang dan sukar untuk bersua-muka. Begitulah zuruf kehidupan selaku azhari mentarbiah. Timbul di hatiku untuk meluahkan tetapi tiba-tiba dia hadir bersama sejalur rona berbeza.

"Saya juga intim dengan salafi." Pengakuanmu menerusi telefon membuatkan aku tenggelam dalam persoalan. Ujarmu lagi, " Saya katakan intim kerana saya punya sahabat yang berfahaman demikian. Insan itu saya kenali sejak tahun satu adalah antara peribadi yang menjadikan kehidupan saya di lembah ini bercahaya." Timbul tanda tanya dan cemburu di hatiku. Siapakah insan itu.

"Ya... mungkin salafi golongan mengundang rasa jengkel. Saya tidak nafikan itu. Cuma saya ingin bercerita, persepsi saya, cara saya, dan berdiskusi tentang golongan yang dianggap mutasyaddidun ini."

Aku terkedu. Tak mampu menyusun kata. Akhirnya aku memilih medan maya untuk berinteraksi denganmu setelah mengumpulkan kekuatan. Kemudian kita ber-YM bersama. Masih ingatkah kau?

Semasa ber-YM kau riwayatkan lagi. Katamu "Alhamdulillah, saya mengenalinya terlebih dahulu sebelum mengetahui itu fahamannya. Allah bukakan hati saya untuk melihat yang indah dan muluk sebelum yang lain. Sejak awal persahabatan, optimis saya padanya melebar sehingga menutup yang capik, langsung negativisme saya padanya menipis. Justeru dalam apa jua pertemuan, saya mudah melupakan ketaksuban yang membumi di hatinya."

"Kami pernah bermujadalah apabila dia mengatakan niqob itu wajib, taswir itu haram, melihat lelaki ajnabi atau gambar mereka adalah haram, menggunakan alat muzik selain duff adalah haram, safar mar'ah tanpa mahram itu hadzru dan sebagainya. Begitu juga dalam soal amalan-amalan yang orang kita ambil daripada kitab-kitab tua tulisan ulama nusantara yang baginya tidak warid dari al-Quran dan as-Sunnah seperti amalan membaca yasin tiga kali pada malam nisfu syaban, bertahlil, mengadakan kenduri arwah dan sebagainya."

Terdetik di hatiku mujurlah kau dipertemukan Allah untuk mengenali wanita salafi seperti Hajar, jika tidak mungkin kau akan menjadi manusia yang akan paling membenci golongan itu. Aku tidak punya niat jahat bila menuturkan begini kerana aku bukan pembenci golongan itu. Aku juga menghormati cara mereka mengamalkan syariat, cuma...

Tidak terlintas di hatiku qasad untuk menghalang kalian bersahabat. Apa lagi berukhuwah itu satu anjuran Islam. Cuma apa yang ingin aku sarankan teruskanlah usaha kau untuk mengenali salafi dengan skop yang lebih luas bukan hanya tertumpu pada peribadi wanita bernama Hajar itu, keluarganya atau sahabat-sahabat salafinya semata-mata.

Jangan kerana kita hanya memandang satu sudut jidar, maka kita nafikan kewujudan yang lain. Lebih-lebih lagi apabila satu sudut yang kita lihat itu cantik, berhias dan dibina kukuh lantas kita menafikan kesempurnaan itu pada sisi-sisi lain padahal mungkin realitinya lebih baik dari apa yang kita sangkakan.

Kau... aku tidak pernah melabelkan mereka yang mengamalkan agama secara i'tikadi, punya dalil dan hujah yang soheh sebagai golongan mutasyaddidun. Padaku, mutasyaddidun selayaknya digelar pada golongan yang buta agama, tidak faham tuntutan dan beramal tanpa hujah dan dalil. Apabila tergantung hujah dan dalil pada amalan mereka, maka mereka inilah mustalzimun.

Aku barangkali telah dibesarkan dalam hawa keluarga yang tidak kuat beragama lantaran itu aku tidak dapat merasai bagaimana para mustalzimun mentatbikkan kehidupan beragama mereka. Namun, gambaran kehidupan mereka mampu aku selami. Kehidupan mereka cemerlang. Tetapi tidak semua mereka cemerlang. Ada yang lebih sudu dari kuah berbanding golongan pertengahan bilamana mereka sanggup melabelkan golongan yang tidak hidup seperti mereka sebagai golongan yang hina dan tidak faham Islam. Ini yang aku tidak berkenan.

Agak-agak kau lah... Kalau kita persoalkan kepada mereka isi pengajian Fakulti kita kepada mereka apakah yang akan berlaku? Profesor-profesor kita? Adakah mereka akan menolak atau menerima? Atau mereka bertempik mengatakan ini tidak memadai. Islam itu luas? Tetapi sedarkah kita, pada pandangan aku mereka jugalah yang telah menjadikan Islam itu kelihatan sempit.

Aku mohon tangguh perbincangan kita. Aku perlu membuat pemerhatian semula kerana aku tidak mahu melambakkan hujah dangkal yang tidak punya asas. Perbincangan kita berhenti di situ. Aku mulai merasai kelemahan diri. Meski setelah tiga tahun menjadi khadam ilmu jamiah tertua ini, namun masih lemah mendepani realiti.

Aku mula menyelak lembaran kitab, bertanya kepada para profesorku, bermuzakarah dengan para sahabat seangkatan dan akhirnya dengan secangkir kelemahan aku tampil semula menghadapi kau di medan maya itu sekali lagi. Kita ber-YM untuk kesekian kalinya.

Kau dengan ghairah menyatakan, "Sewaktu bertandang ke rumah Hajar di daerah ElMaadi, emak saudaranya pernah syarah panjang pada saya apabila saya katakan hasrat untuk menziarahi maqam para anbia' dan aulia'. Teruk juga saya kena... haram... syirik... bahkan saya nak ke Masjid Sayidina Hussin pun dia tak izinkan." Aku mengurut dada.

Ujar kau lagi, "namun saya banyak mengalah. Pada neneknya yang sudah bongkok tiga tapi masih iltizam berniqab itu saya banyak angguk dan senyum saja. Hajar sendiri, saya lebih cenderung untuk menjaga ukhuwah. Jaga ukhuwah juga wajib. Lagipun bukankah awal-awal lagi kita sudah tahu, sifat dan perangai mereka! Biarlah... menyerah tak bererti kalah dan mengalah itu tak bererti salah."

"Sebetulnya dia mengajar saya banyak perkara meskipun tak terlepas daripada fahaman ini. Saya meraikan dia dan saya sangat menghargai niat baiknya. Walaupun dia begitu, bukankah itu kerana dia hanya mahu yang baik-baik untuk saya."

Aku pula bersuara, Kau belum kenali salafi secara total. Kerana kau kenal Hajar, salafi kau nilai pada apa yang Hajar amal. Jika tidak! Entahlah. Usah menilai pembawa dan menghukum pada apa yang mereka bawa, sebaliknya kau mesti kenal apa yang mereka pegang untuk mengenal siapa peribadi pemegang. Apakah aku tidak wajar mengatakan aku juga mengkagumi golongan salafi dari kalangan pemuda-pemuda mereka yang sering dilihat berjubah, menyimpan janggut dan jambang, serta bersikap wara'? Malah wanita-wanita mereka yang menjaga aurat dan berhijab, tetapi jika itu pembaris pengukurnya... ceteklah Islam yang sangat dalam. Tetapi kenapa kaedah meletakkan kita mesti mengenali islam dahulu sebelum mengenali penganutnya? Justeru aspek zahir adalah aspek pelengkap kerana seseorang yang berbalut jubah tidak menghalangnya melakukan maksiat!

Kau marah. Aku tidak kata kau juga sudah menjadi salafi. Tapi kau rasa aku sudah menganggap kau sedemikian. Aku serba salah. Kau merajuk. Kemudian itu kau yang kukenali tidak berniqob mula memakainya.

Kalau mereka boleh menolak ulamak-ulamak kita, mengapakah kita masih menerima ulamak mereka? Inilah beza antara kita dengan mereka. Kita tidak seperti mereka. Kita tidak seperti mereka bukan kerana agama kita bukan Islam, tetapi kerana toriq yang kita lalui ini kita tiru toriq ulamak-ulamak silam. Dan kita percaya toriq ini selamat. Toriq ini mengajar kita menghormati dan berlapang dada dengan pandangan para ulamak terdahulu. Barangkali pandangan mereka yang kita anggap betul itu terkandung juga silapnya dan pandangan yang dikatakan silap itu terkandung juga betulnya. Islam itu fleksibel sifatnya. Oleh sebab itu perselisihan atau ikhtilaf pendapat pada persoalan cabang adalah wajar. Dan kita tidak akui perselisihan usul.

Betul kata kau, mereka golongan yang mendakwa mahukan ketulenan beragama. Mereka hanya mahukan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sandaran. Tetapi mereka tidak sedar yang al-Quran dan As-Sunnah itu perlukan kepada takwil dan istinbat yang soheh. Kalaulah mereka katakan orang yang mentakwil ini salah satu persoalan yang mahu aku soalkan, siapa yang paling layak untuk menerangkan hukum? Sedang aku, kau dan dia bukanlah mujtahid!

Berpegang saja pada zahir. Itu saja yang terpacul dari bibir mereka.

Siapa mereka untuk lebih hebat daripada Imam al-Ghazali dan Imam An-Nawawi sedangkan kedua-dua imam itu juga bermazhab Shafie. Siapa pula salafi untuk berpegang dengan zahir nas dan menolak qaul imam serta mengkesampingkan mazhab? Kita masih berharap pada qaul mujtahid. Jangan kita berijtihad ke atas ijtihad mujtahid jika kita bukan di martabat itu.

Memang tidak salah untuk berpegang dengan zahir nas, tetapi apakah kita benar-benar tahu hitam yang dikehendaki oleh Allah dan putih yang dimahukan oleh Nabi itu sepertimana hitam dan putih yang kita faham dan amalkan? Bukankah Allah telah menyatakan bahawa tidak dikurniakan ilmu kepada hamba-hambaNya kecuali sedikit?

Islam itu unik. Apa tidaknya Sahabat-sahabat Rasulullah pernah berselisih. Bila diceritakan kepada Rasulullah perselisihan Sahabat itu, Baginda membenarkan kedua-dua golongan. Para mujtahid berselisih, membentuk fiqh dan usul masing-masing... sehingga ada pandangan yang mudah untuk diamalkan, bersesuaian dengan syariat itu sendiri. Kita ini celik tetapi kadang-kadang buta atau rabun dari melihat rahmat perselisihan itu. Lihatlah dan ambillah yang positif. Tidak semestinya yang dinamakan rukhsah itu melambangkan pengamalan agama yang lemah, dan mengamalkan azimah itu hebat.

Terhenti di situ. Kehangatan perbincangan akhirnya terlerai begitu sahaja. Baki pengajian lagi setahun masing-masing kita membawa haluan sendiri. Aku menyudahkan pengajian tahun akhir dan kau sangkaku ralit dengan Hajar. Aku dengar semakin kerap pula kau mengunjungi ElMaadi. Aku tiada kuasa menghalang. Apa lagi bila nasihatku bagai buih-buih yang memukul pantai.

Akhirnya aku berhenti menghubungi kau. Entah apalah persepsi kau terhadap aku waktu itu. Sejak kecil lagi kita telah bersama. Bersekolah dari bangku rendah sehingga ke menara gading. Keintiman persahabatan kita ini mengusik kalbu. Aku terpaksa undur diri bila dengar khabar dari tanahair keluarga kau berhijrah dan khabarnya ada orang sudah merisik tanya.

Takdir Allah, kita sama-sama najah. Aku cemburu. Bukan kerana kau tidak bersungguh, tetapi bagaimanalah kau isti'dat untuk imtihan. Namun, kita bakal semakin jauh. Setelah majlis konvokesyen di Dewan Haflah Kubra aku terbang kembali ke tanahair meninggalkan kau yang khabarnya akan meneruskan pengajian sarjana.

Aku keliru dengan sikap kau. Sehingga saat aku telah berada di pintu masuk Mator Jadid Cairo, bayang kau tidak juga kelihatan. Mungkinkah cinta berkubur meski tanda dan nisannya tidak pernah aku tempa.

Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa. Jika ada jodoh kita pasti bertemu semula. Itu sahaja doaku semasa safar lebih 12 jam itu. Dalam perut pesawat memori menerba membasuh sejuta harapan.

Kini aku bertugas sebagai seorang pendidik dan semalam ibu memberitahu cuti sekolah ini mereka akan membawaku menziarahi keluarga tunangku. Khabarnya anak mereka telah pulang dari luar negara. Aku pasrah pada pilihan keluarga.

Tetapi alangkah terkejutnya aku bila turun dari kereta, rupa-rupanya tunang aku itu adalah kau. Seperti perselisihan yang mencabang pada soal ranting tetapi bersatu di perdu usul. Ya, pertama adalah cinta dan selamanya ia mekar. Mungkin inilah yang dinamakan takdir.


TAMAT
Langkawi
09 Jun 2004


GLOSARI:

Ardil Kinanah: gelaran Bumi Mesir
zuruf: Situasi
mutasyaddidun: Ekstremis
ber-YM: Bersembang di Yahoo Mesengger
niqob: purdah
taswir: bergambar
ajnabi: asing/bukan mahram.
duff: sejenis gendang
safar mar'ah: permusafiran wanita
hadzru: tegahan
warid: bersandar
qasad: niat
mujadalah: berbahas/berjidal
jidar: dinding
i'tikadi: pegangan
mustalzimun: membiasakan/mengiltizami
syarah: bahas
takwil: menerangkan
mujtahid: ulamak pakar/ seorang ulamak yang mencapai satu tingkat tertinggi
qaul: pendapat
nas: ayat Al-Quran atau hadis
rukhsah: keringanan
azimah: keazaman/asal
isti'dat: persediaan
Mator Jadid: lapangan terbang baru
safar: musafir
usul: perdu/utama


* Glosari perkataan yang disediakan adalah untuk menjelaskan maksud teks bukan makna perkataan.

Tuesday, September 2, 2008

KOMEN TERPILIH

Assalamualaikum,
Salam j-QAF...
Berikut adalah KOMENTAR PERIBADI Ustaz Mohd Isa Arob (Guru Bahasa Arab j-QAF SK Hosba, Kedah) yang dihantar ke e-mel saya: myakhimizi@yahoo.com. Saya tidak melalukan sebarang suntingan terhadap Komenter tersebut. Terima kasih kepada beliau kerana sudi mengirim komentar terhadap artikel saya yang berjudul INTERNET: ANTARA IDEA UNTUK BERBLOG DAN BERBLOG UNTUK IDEA yang saya tulis di BLOG AKHIMIZI :: Persepsi & Realiti :: ini bertarikh: 13 Ogos 2008 Klik tajuk artikel untuk baca.

*******
KOMEN TERHADAP ARTIKEL AKHIMIZI
Oleh Mohd Isa Arob

Jam di laptop menunjukkan pukul 1.36 am 14/08/08 (Khamis). Saya sebenarnya sedang offline ketika ini. Saya mengikuti Perkhemahan Unit Beruniform SK Hosba 2008 di Gua Kelam 2. Ketika semua sedang asyik melelapkan mata kecuali guru bertugas di Unit Kawalan Keselamatan, saya terpanggil untuk memberi respon mengenai nukilan Akhimizi berkaitan isu berblog. Mungkin saya terpanggil untuk menulis kerana Akhimizi ada menyebut hal-hal yang berkaitan dengan diri saya. Saya selaku ‘admin’ (ketika ini) http://www.jqafkedah.forumotion.com/ , tidak pernah terlintas di hati untuk mendapat sebarang anugerah di atas segala hasil usaha berkaitan ICT demi j-QAF negeri Kedah tercinta. Apa yang saya lakukan adalah ikhlas dan minat semata-mata. Pernah saya terlalu asyik mengenai forum, menyebabkan saya terlupa untuk membaca paper online, membuka e-mel dan sebagainya. Bila saya klik saja ‘Toolbar’ Favourite (http://www.jqafkedah.forumotion.com/), saya ‘hilang’ di dalamnya. Namun, seperti kata Akhimizi, walau sebaik dan secanggih manapun perkhidmatan yang disediakan, tidak akan bermakna jika kita tidak menggunakannya.
Forum pernah ‘havoc’ pada suatu ketika. Riuh rendah walaupun hanya beberapa user saja yang meriuhkannya. Namun, forum sekarang semakin sepi. Ntah di mana silapnya. Walaupun dah dipromosikan di beberapa kursus pemantapan j-QAF, respon yang diterima amatlah kurang memberangsangkan. Ayuh kawan-kawan! Apa salahnya kita berforum. Asalkan kena niat dan caranya, pasti memberi faedah dan inspirasi kepada kita. Apa salahnya jadikan forum sebagai satu medan untuk percambahan minda? Forum j-QAF Kedah tercipta apabila Ustaz Nazri JLU j-QAF Kebangsaan menelefon dan memberitahu saya yang Ust Rushdan JPN berhasrat supaya j-QAF Negeri Kedah ada forum komunitinya sendiri. Ini untuk memudahkan segala persoalan berkaitan j-QAF. Kata Ust Nazri, Ust Rusydan berhasrat untuk menyuruh saya membina forum tersebut. Respon kepada informasi yang diberikan oleh Ust Nazri, saya mengambil sikap proaktif lalu terciptalah forum dengan serba kekurangan. Dengan bantuan rakan-rakan seperti Akhimizi & Ust Rokhaimi (team ICT Langkwi), forum tersebut bertukar wajah seperti yang anda lihat pada hari ini.
Namun, forum pada hari ini telah hilang meriahnya. Akhimizi pun dah lama tak menghantar posting. Sibukkah? Bosankah? Merajukkah? Andainya saya bukanlah Admin yang baik, maafkanlah saya. Gelaran Admin rela saya lepaskan kepada sesiapa yang lebih layak dan berhak. Biarlah saya hanya menjadi user biasa sebagai ‘jqaf.skhosba’ sahaja. Andainya kata-kata ‘jqaf.skhosba’ juga menimbulkan kegelisahan dan kebencian pada diri anda, sekali lagi saya pinta, maafkanlah saya. Andainya semuanya benar-benar berlaku, saya bertanggungjawab di atas segala-galanya dan izinkanlah saya mengundurkan diri dari arena berforum ini. Saya tak pinta di puji, namun janganlah saya dicaci, kerana apa yang saya lakukan adalah ikhlas seikhlas-ikhlasnya..Tidak ada yang tidak ikhlas melainkan ikhlas semata-mata.
*****
Saya sendiri secara peribadi mengakui sudah tidak aktif terlibat dengan Forum j-QAF JPN Kedah. Apapun sekalung tahniah kepada Ustaz Mohd Isa Arob di atas kerja keras beliau selama ini untuk mewujudkan forum itu kemudian mendatangkan trafik dan user berdaftar ke situ. Bukan kerja mudah, tahniah.
Sebarang komentar peribadi sila emel kepada saya. Jika mahu disiarkan sila maklumkan.


Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

RAMADHAN OH RAMADHAN

Oleh Akhi Mizi
SEBENARNYA saya tidak bercadang hendak menulis catatan dalam blog ini. Namun, setelah melayari beberapa blog lain, kebanyakan catatan berkaitan dengan Ramadhan dari sudut tazkirah Ramadhan. Ia bagaikan menarik jiwa saya untuk mengingati Bumi Kinanah yang pernah saya jejaki suatu ketika dahulu.
Tetapi saya menulis dengan sedikit berbeza. Penulisan saya menjurus kepada bagaimana saya pernah menempuhi Ramadhan di sana.
Ramadhan di Mesir adalah nostalgia yang sukar dilupakan. Saya sering teringatkan biah yang berbeza dengan Ramadhan di Malaysia. Kadang kala hati berbisik mahu ke sana.
Oleh itu saya titipkan catatan lama Nostalgia Ramadhan di Mesir yang pernah tersiar di PUJANGGA Online suatu ketika dahulu.
CATATAN LAMA:
Nostalgia: Nostalgia di bulan Ramadhan 3

Oleh: Akhi Masrawi*

Sambutan Ramadhan di Mesir
Di Mesir makanan arab yang hanya ada di bulan Ramadhan bolehlah dianggap spesial bagi masyarakat tempatan. Saya masih ingat sewaktu detik-detik akhir saya di tanahair (1999) apabila kawan saya mengajak untuk makan malam di sebuah restoran yang menyediakan menu roti arab. Roti itu kami pesan bersama kuah sardin. Makan roti arab di restoran itu (Malaysia) tidak sama dengan makan roti arab di tanah arab (Mesir).
Di Mesir roti dipelbagaikan dengan beberapa nama. Antaranya 'ish (sejenis roti yang diperbuat daripada gandum jenis murah) juga disebut khubz dalam bahasa arab fushah. Fino (roti panjang) dan sebagainya. Khubz atau 'ish ini amat terkenal dengan harganya yang murah dan menjadi makanan asasi kepada masyarakat arab Mesir. Untuk makan 'ish boleh dicicah dengan kuah kacang yang dipanggil ful atau berintikan sejenis masakan tempatan berbentuk 'cucur' yang disebut sebagai to'miah.
Masa saya mula datang ke mesir dulu saya ingat to'miah itu adalah 'naget' kerana bentuknya hampir serupa bentuk 'naget' di KFC. Saya tertipu. To'miah diperbuat daripada adunan tepung, bahan-bahan yang tersendiri dan sebagainya yang saya sendiri tidak pasti. Bentuknya apabila digoreng seperti 'masalodeh' (sejenis makanan kaum India di Malaysia).
Berlainan halnya dengan bulan Ramadhan di sini. Masyarakat arab lebih sukakan 'hagah' yang dianggap spesial tadi. Antaranya ialah qutaiyyaf (tepung yang dimasak di atas kuali tanpa minyak berbentuk bulat dengan rasa tawar tanpa gula), kunafah (sejenis makanan seperti bihun tetapi berasaskan tepung dengan rasa tawar). Yang mengeronokkan ialah kunafah diperbuat dengan menggunakan kuali khas berserta mesinnya yang tersendiri. Mesin itu bergerak membentuk bulatan dan cairan tepung dituangkan bersejat membentuk garis panjang yang membulat dan akhirnya membentuk kunafah yang seperti bihun itu. Tetapi kunafah bukan bihun yang boleh dimakan bersama sup atau digoreng... kunafah disesuaikan dengan cairan air gula, kismis dan kelapa parut di dalam loyang. Memakannya dengan memotong mengikut kesesuaian dan dijadikan 'halwa' (makanan manis) selepas iftar (berbuka).
Kedai-kedai yang menjual kedua-dua makanan tersebut pula mengunakan sistem timbang. Ini bermakna kita membeli dengan menyuruh si penjual menimbang banyak kadar yang dikehendaki. Tahun ini saya belum membeli kunafah mahupun qutaiyyaf. Tetapi harganya murah dan berpatutan. Meskipun banyak premis yang dibuka untuk menawarkan kedua-dua jenis makanan tradisi Mesir ini namun permintaan dari penduduk tempatan juga amat tinggi sehingga menyebabkan ada yang sanggup beratur untuk mendapatkan makanan tersebut.
Berlainan halnya dengan di Malaysia. Mungkin orang akan sanggup beratur untuk mendapatkan bubur lambuk di masjid-masjid yang menawarkannya. Sebagaimana bubur lambuk akrab dengan suasana puasa di tanahair begitulah juga qutaiyyaf dan kunafah akrab dengan suasana puasa di Mesir. Selain dua makanan tersebut yang menjadi tradisi istimewa di Mesir, rakyat Mesir juga apabila masuknya Ramadhan menyambutnya dengan pelbagai situasi. Anatara yang istimewa ialah: fanus (sejenis lampu yang dirumahkan dengan rumah yang pelbagai bentuk digantuang di antara bangunan dengan bangunan atau di balkoni rumah). Bentuknya ada mirip seperti 'tanglong' masyarakat Cina di tanahair. Akan tetapi fanus di Mesir telah diislamikkan dengan bentuk-bentuk masjid antaranya dan pelbagai bentuk lain. Diperbuat dengan pelbagai saiz dan rupa yang menarik.
Selain itu, ajwa' Ramadhan (merupakan kertas-kertas yang diukir dan digantung di antara gantungan fanus di bangunan-bangunan) memeriahkan lagi suasana Ramadhan di Mesir. Tetapi kertas-kertas itu setelah habisnya Ramadhan akan menjadi sampah pula bersepah di antara jalan dan bangunan. Berbuka puasa di Mesir tidak merunsingkan. Ini kerana banyak masjid yang menawarkan 'maidah rahman' jamuan (iftar) berbuka puasa. Kebiasaan makanan yang disajikan ialah makanan tradisi masyarakat Arab.
Saya pernah menghadiri majlis berbuka bersama orang-orang Arab di sini banyak kali. Antara menu yang disajikan ialah firakh mashwi (ayam panggang) di makan dengan 'ish (roti), atau aruz (nasi) berserta salatoh, tohainah, turshi dan halawa (manisan) sebagai pencuci mulut. Selain itu ada juga yang menyediakan hawashi (roti berintikan daging kibash mirim murtabak di Malaysia), daging masak bersama kentang, dan beberapa menu lain lagi. Sebelum saya terlupa, satu lagi tradisi masyarakat sini yang saya terkejut ialah tradisi kejut sahur. Ini dinamakan 'musahharati'. Biasanya musahharati akan bertugas mengejutkan sahur (memaksak sahur) dengan mengetuk-ngetuk kompang atau tin dengan ketukan yang boleh mengganggu tidur. Ketukan akan bermula sekitar jam 1.30-2.00 pagi kebiasaannya. Saya masih ingat bagaimana saya tertipu dengan kejutan musahharati itu dengan menyangka sudah lewat pada tahun 1 dahulu, rupa-rupanya malam masih terlalu awal.
Pelbagai peristiwa sebenarnya berlaku di Mesir sepanjang permukiman saya di sini. Bermula dengan tidak tahu apa-apa sehinggalah sekarang saya seperti sedih antai suasana yang pernah saya rasa di sini hanya akan menjadi nostalgia hidup saya suatu masa nanti. Saya terkenangkan sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud: "Dua kegembiraan bagi orang yang perbuasa iaitu apabila sewaktu hendak berbuka dan kedua apabila bertemu dengan Allah SWT. Banyak lagi peristiwa yang sepatutnya saya tulis tentang Ramadhan di Mesir. Kalau di Mesir ada hagah helwa (benda istimewa) tentu di Malaysia juga begitu bukan? Lain tempat lain halnya.
Jauh mengembara luas pandangan. Luas pandangan tambah pengalaman. Banyak pengalaman menambah kematangan. Semoga andai Ramadhan tahun depan saya masih boleh berada di Mesir saya mahu baca semula tulisan saya ini. Kalaupun sepuluh tahun akan datang tulisan ini masih kekal saya harap kenangan saya akan berulit semula dan nostalgia Ramadhan di Mesir bermain di ruang mata.
Pulau Langkawi