Sunday, October 26, 2008

KEPENTINGAN PAKAR

Oleh Akhi Mizi

SEPANJANG penglibatan saya berkhidmat sebagai seorang guru, perkara yang paling saya teruja adalah menjadi guru pakar. Kepakaran sebagai seorang guru bukan sekadar mendapat lantikan sebagai guru pakar, tetapi pakar dalam bidang pendidikan itu sendiri.

Kepakaran ini, biarpun bukan perkara fardhu ain tetapi tetap menjadi kefardhuan. Justeru istilah Fardhu Kifayah kerapkali disalah ertikan oleh kita sendiri.

Pendidikan pun begitu. Semakin lama dalam bidang pendidikan semakin banyak pengalaman mendidik. Semakin banyak pengalaman semakin matang cara dan bentuk pemikiran. Namun, adakah ukuran masa ini (lama berkhidmat) merupakan ukuran paling tepat untuk menggambarkan kematangan mendidik?

Saya sendiri tidak mengerti. Bahkan saya merasa malu jika ada di kalangan guru-guru mengiakannya. Keberadaan yang lama dalam dunia pendidikan ini adalah satu kelebihan untuk seseorang guru menambah pengalaman. Justeru, tidak semestinya dia adalah seorang yang pakar.

Lantaran itu, adalah tidak wajar guru tidak faham kod etika profesion keguruan. Sedangkan inilah perkara asas membina profesinalisme dalam kerjaya mulia ini. Persoalannya adakah wajar seseorang yang menyembunyikan identiti sebenar dirinya membuat 'kesimpulan' terhadap orang lain?

Kita sememangnya tiada seorang pun dilahirkan sebagai seorang pakar. Apatah lagi untuk mengkritik siapa-siapa, kerana pakar sebenar dia tidak mengkritik tetapi dia memimpin ke arah yang betul, mengemukan cadangan dan alternatif yang dilihatnya sesuai dan memberikan ruang kepada orang lain membetulkan kesilapan.

Saya masih ingat, Hj. Rushdan pernah menggesa setiap Jurulatih Utama (JLU) Negeri Kedah supaya menjadi pakar dalam bidang-bidang tertentu. Contohnya beliau mahukan Nazri menjadi Pakar Bestari Solat, Akmal pakar HSP, Azizi Pakar Sukatan, Rokhaimi Pakar multimedia, Md Isa Pakar ICT dan Nasir pakar segala pakar. Jika difikirkan, betullah kita kena menjadi pakar tetapi dalam masa yang sama kita harus menerima keuzuran orang lain.

Tuhan tidak melahirkan kita ini semua PAKAR belaka. Ada yang hebat ada yang kurang. Justeru, terimalah kelemahan orang lain seadanya. Jika perlu bantulah untuk memperbetulkan mana yang salah, memperbaiki mana yang kurang, memperelokkan mana yang kurang molek. Bukankah ini yang lebih baik? Daripada terus mengkritik elok sahaja kita yang mengambil bahagian untuk berkerja dan menjadikan aspirasi kita satu kenyataan.

Jika namanya pakar, tentulah kemampuannya hebat. Justeru, ingatlah... pakar-pakar internet tentu boleh menjejaki jejak pelayar siber yang sengaja "baling batu, sembunyi tangan ini." Jika perlu, ubahlah sikap tidak bermoral ini segera kerana Allah pun tahu apa yang orang lain tidak tahu.



Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Tuesday, October 21, 2008

TAWARAN DARIPADA TUHAN

Salam juang mustamir,
Marilah sama-sama kita tadabbur dan menghayati ayat-ayat pesanan daripada Allah. Ingatlah, tawaran Tuhan adalah yang terbaik.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

1. Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

5. Dan (Ingatlah) ketika Musa Berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, Mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahwa Sesungguhnya Aku adalah utusan Allah kepadamu?" Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

6. Dan (Ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: "Hai Bani Israil, Sesungguhnya Aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan Kitab sebelumku, yaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)." Maka tatkala Rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: "Ini adalah sihir yang nyata."

7. Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

8. Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya".

9. Dialah yang mengutus rasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.

10. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

11. (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui.

12. Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

13. Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

14. Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam Telah Berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; Maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.
[ Surah As-Soff: 1-14)
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Monday, October 20, 2008

PUISI PERTAMA KETIKA DI MESIR

Puisi 1

Bicara

Terungkit kembali
sebuah memori
di hujung senja
antara epilog dan prolog
yang bungkam
pada membicarakan
tentang hakikat
sebuah perjuangan


Akhi Masrawi
Cairo, Egypt.
2002


Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

APAKAH MAKSUD MENDIDIK MENURUT FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM?

Teks Falsafah Pendidikan Islam di Malaysia:

"Pendidikan Islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat."



Oleh Akhi Mizi

1. SERINGKALI kita cepat jemu apabila kita melakukan sesuatu yang kita tidak faham. Atau dalam lain perkataan hilang kualitinya. Jika dalam ibadat Solat, khusyuk adalah martabat yang paling utama. Tetapi tanpa khusyuk pun seseorang yang melakukan Solat tetap tidak akan dinilai sebagai tidak melakukannya kerana dia masih juga melaksanakan kewajipan tersebut walaupun dengan tanpa kualiti.

2. Saya agak berbeza. Saya lebih suka jika saya faham sesuatu sebelum melakukannya. Jika tidak mungkin saya melakukannya dengan terpaksa. Kesannya nanti tiada kualiti perkerjaan saya itu. Mungkin ada orang yang berbeza. Biarlah. Perbezaan memang akan selamanya wujud. Apa yang penting bukan bagaimana kita menghapuskan perbezaan tetapi bagaimana kita mengurus perbezaan tersebut.

3. Dalam dunia pendidikan pun begitu. Sekiranya seseorang guru tidak memahami apakah maksud mendidik atau fungsinya sebagai pendidik tentulah guru itu juga bakal gagal. Gagal memahami akan menjadi punca gagal dalam melaksana. Namun, kadang-kadang kita akan berjumpa dengan orang yang mengakui dia faham dan laksana dengan betul sesuatu pekerjaan, tetapi malangnya penilaian orang lain terhadap dirinya menemui jawapan bahawa dia sebenarnya tidak faham dan tidak melaksanakannya dengan betul.

4. Menurut Falsafah Pendidikan Islam, aspek mendidik mencakupi tugas menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam. Tentulah bukan semata-mata untuk mencipta pelajar yang bijak dan pandai menjawab peperiksaan semata-mata, tetapi juga berkemahiran dalam melaksanakan perintah Allah SWT yang diajarkan dalam bentuk amali dan dalam masa yang sama meninggalkan larangan Allah SWT. Pelajar juga dibentuk untuk menghayati Islam sebagai agama yang memelihara dirinya daripada terjerumus kepada perkara yang tidak baik.

5. Rujukan utama Pendidik Islam adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), Buku Teks, Modul, Bahan Bantu, RPH dll adalah sampingan sahaja. Sebabnya guru perlu mendidik murid untuk mencapai kesan langsung pendidikan. Bukannya untuk tujuan pandai semata-mata.

6. Kesan langsung Pendidikan Islam sedia tertulis dalam Falsafah Pendidikan Islam iaitu, "...bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat." Cumanya sebagai guru apakah kita faham maksud mendidik di sini?

7. Maksud mendidik yang mesti difahami menurut Falsafah Pendidikan Islam adalah guru bukan hanya seorang muallim (pengajar) yang cuma menyampaikan ilmu dari buku, tetapi bertindak sebagai murabbi dan muaddib yang akan bertindak untuk mendidik para pelajar memahami dirinya sebagai seorang hamba Allah dan dalam masa yang sama membentuk sikap dan tingkah lakunya supaya beradab dan berakhlak.

8. Lantaran pendidikan itu adalah asalnya daripada Allah SWT yang diperintahkan kepada kita menerusi lidah NabiNya. Jika guru gagal memahami maksud mendidik ini, maka bagaimana untuk melahirkan insan yang sejahtera di dunia dan di akhirat?

9. Jawapannya mudah. Katakan ya... dan terus belajar lagi.

10. Kecuali kalau guru berkata "saya sudah malas" maka masa depan akan hancur.

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.
Akhi Mizi

Sunday, October 19, 2008

TERINGAT KAWAN-KAWAN LAMA

Oleh Akhi Mizi

SELEPAS 1999, saya kembali menjengok sekolah menengah saya semula pada 2004. Empat tahun lebih tidak ke sana. Biarpun sebelumnya 7 tahun memukimkan hati sebagai pelajar. Banyak yang berubah. Kemudian, boleh dikira dengan jari berapa kali sahaja saya ke sana. Yang masih ingat ketika bulan 12 tahun lepas dengan memandu Honda City 1.5 vtec bertamu menziarah.

Meninggalkan zaman persekolahan menengah ke pengajian universiti selanjutnya di Al Azhar As Syarif di Bumi Kinanah, Mesir. Empat tahun lebih lamanya di sana. Selepas najah dalam imtihan akhir tahun 4 dan lulus dengan pangkat Jayyid Syariah Islamiah, kembali ke Malaysia dengan harapan dapat sambung belajar lagi sampai ke Master (sarjana lanjutan) atau hingga PHD.

Namun, impian dan harapan tidak kesampaian. Hati tidak kecewa. Masa belum sampai.

Tuhan itu Maha Adil. Diberinya sesuatu diambilnya sesuatu.

Ketika bertemu cinta, kawan-kawan semakin hilang entah ke mana. Seorang demi seorang hilang begitu sahaja. Sehinggalah yang datang berganti mengisi kekosongan persahabatan.

Kawan yang lama-lama bersama-sama dalam asrama dulu sudah semakin hilang. Yang lama-lama masa sama-sama rasa suka duka menempuh zaman belajar di Al Azhar pun semakin menyirna. Yang ada sekarang ini pun yang sama-sama terjun ke dunia kerja yang sama-sama lalui kursus di maktab perguruan. Yang itu dan sebahagian yang lama-lama itu nombor handphone untuk dihubungi masih ada dalam handset. Tetapi tak terhubung juga.

Sedangkan kawan-kawanlah punca segala kekuatan belajar dulu. Kawan-kawanlah punca persaingan menimba ilmu. Kawan-kawanlah punca siapa kahwin dulu siapa kahwin kemudian. Yang kahwin dulu good bye, yang kahwin kemudian wassalam.

Saya tetap mahu tahu khabar-khabar kawan-kawan lama. Kawan-kawan yang baru 5, 6 tahun kenal ni masih terus berhubung. Kawan-kawan lama yang tak terhubung.

Teringin nak tahu apa mereka dah jadi. Apa mereka dah lalui dalam hidup. Berapa sudah anak-anak mereka.

Kawan-kawan lama sezaman saya ramai yang sudah tidak berhubung khabar berita. Yang rapat-rapat dulu sekarang sudah semakin renggang. Yang akrab pun kadang-kadang kena cari sebab untuk sms atau call. Kenapa ya? Saya sendiri tidak ada jawapan. Apa lagi kawan-kawan yang tidak sezaman. Kawan-kawan yang tidak sezaman, hilang seorang demi seorang dari ingatan. Sementelah nombor telefon mereka untuk dihubungi pun tiada.
Tetapi saya tahu, kebanyakan kawan-kawan saya sudah berjaya. Sudah menjawat jawatan dalam kerajaan. Sudah menjadi anggota masyarakat yang memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ternyata kebanyakan kawan-kawan yang saya kenali sudah terjun ke dunia yang sama dengan saya. Iaitu perguruan. Boleh dikatakan ramai.
Semasa di Mesir, ramai juga kawan-kawan semasa di Al Azhar. Seluruh Malaysia ada. Baik semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak. Kawan-kawan yang masih ingat saya konteklah saya. Tetapi janganlah bila perlu sahaja. Saya paling tidak suka orang menghubungi saya kerana perlukan bantuan saya semata-mata. Masa senang mereka tidak ingat pun. Masa susah mula mencari kawan. Ini tidak betul.

Apa pula ceritanya dengan yang lain-lain. Tergerak hati untuk menelefon kawan-kawan yang ada nombor mereka pada saya. Yang tiada nombor pada saya, maaflah. Kalau jumpa blog ini hubungilah saya: 0195785596 atau 0125453571

Kadang-kadang kita terpaksa berusaha lebih untuk berkawan dengan kawan yang pernah kita berkawan dulu dan lebih payah daripada memulakan hubungan dengan seorang kawan baru.

Jika begitu, benarlah.

ENTRI ini diedit semula kali kedua.

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Monday, October 13, 2008

PUISI: MENCARI ILAHI

Kulihat sepotong cahaya
berwarna putih di dada langit
memancar kilauan berpinar
mengusik sebak hati nan insaf
dan lara yang menghantuk benak

bebola api hadir di celahan gunung-ganang
membawa sinar cerah ke dada alam
Nabi Ibrahim pernah terpana menyaksikan
cahaya mentari itu dalam sangkanya
yang menguji selirat akidah

Bebilah cahaya yang menerjah
melakarkan selingkar fatamorgana
dalam mencari ketenangan jiwa
sambil terpukau dirasuk rasa ronta
keindahan alam ciptaan maha Esa

Kala itu terungkai keonaran diri
dalam sujud mencari sinar Ilahi
dari ketulan-ketulan akidah hakiki
yang menggunung di hirisan ubudiyah
meyeret ikhlas terhadap keagungan Ilahi


AKHI MASRAWI
Kumpulan Puisi Diari Pejuang

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Thursday, October 9, 2008

ARTIKEL BAHASA: NADA DALAM WACANA

Oleh Akhi Masrawi

NADA selalunya dikaitkan dengan suara iaitu bagaimana suara dilantunkan mengikut nada yang pelbagai. Dalam bahasa, nada sering berkait rapat dengan intonasi. Nada dan intonasi menjadikan pertuturan terdengar tepat.

Dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Arab, aspek nada dan intonasi turut diajarkan. Para pelajar akan dapat menyebut sesuatu kalimah dengan nada yang betul seterusnya membaca ibarat atau teks dengan intonasi yang betul. Guru tentunya perlu menguasai aspek ini terlebih dahulu sebelum dapat diajarkan kepada para pelajar.

Nada dan Intonasi bukan sekadar untuk diajarkan menerusi P&P sahaja di kelas untuk tujuan penguasaan bahasa tertentu. Nada dan intonasi perlu diajarkan untuk membentuk potensi nilai diri iaitu akhlak. Ia akan membina sikap untuk berkomunikasi dan penyampaikan wacana baik dalam bentuk pengucapan mahupun penulisan. Justeru, nada dan intonasi juga perlu difahami dalam konteks komunikasi dan wacana supaya seni kehidupan akan membentuk kehidupan yang berkualiti.

Bagaimana kalimah, ayat atau wacana (sama ada pengucapan atau penulisan) disampaikan adalah tetap berhubung dengan cara dan pemilihan nada penyampaian. Namun, saya lebih akrab untuk mengungguli nada yang dicontohkan oleh Al-Quran. Nada yang didapati daripada anjuran Islam adalah nada baik, sopan dan lemah lembut. Bahkan beberapa contoh tentang bagaimana Al-Quran mengajarkan kita untuk berkomunikasi adalah jelas bernada baik, sopan dan lemah lembut. Antaranya:

Pertama: Mafhum Firman Allah dalam surah Ali Imran: 159 “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah Lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu (urusan peperangan dan duniawi). Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

Allah mengingatkan Nabi Muhammad SAW supaya berlaku lemah lembut dan tidak berkeras agar dakwah berkesan. Sebenarnya Allah hendak kita selaku umat Nabi Muhammad SAW melihat contoh bagaimana sesuatu teguran dan nasihat disampaikan. Jika diikutkan logik, Allah Maha Berkuasa, Maha Mulia, Maha Tinggi dan boleh menegur dengan apa cara sekalipun terhadap Nabi Muhammad SAW tetapi Dia tetap memilih nada dan gaya bahasa yang sopan, lemah lembut dan baik. Berbeza dengan manusia, biasa semakin tinggi semakin sombong bila menegur.

Kedua: Mafhum Firman Allah dalam Surah Taha: 44 “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut".

Allah mengingatkan Musa A.S dan Harun A.S agar berbicara dengan lemah lembut terhadap Firaun. Ini kerana kekerasan tidak akan dapat melembutkan kekerasan.

Ketiga: Mafhum Firman Allah dalam Surah Al-Isra’: “Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, Maka Katakanlah kepada mereka Ucapan yang makruf (baik).”

Pemilihan kata yang baik dan menyenangkan adalah sebahagian daripada perintah Allah dalam komunikasi. Oleh itu, adalah menjadi satu tanggungjawab kita agar mematuhi perintah Allah SWT

Dalam kehidupan manusia jarang berlaku sebagaimana yang diajarkan. Meskipun Allah SWT mengajarkan kepada kekasihnya agar berlembut walaupun terhadap musuh namun dalam kehidupan realiti kita lebih suka menggunakan kuasa untuk menegur sewenang-wenangnya. Maka, terjadi orang berilmu menggunakan kuasa ilmu mengherdik orang yang tidak berilmu sedangkan ilmunya itupun daripada Allah SWT. Apatah lagi perkara lain yang lebih rendah martabatnya daripada Ilmu, seperti harta, keturunan dan pangkat pengaruh.

Contoh-contoh daripada dalil Al-Quran yang dibawa biarpun lebih mirip kepada cara berkomunikasi adalah juga boleh diterima sebagai peraturan atau cara dalam penulisan. Lantaran wacana itu sifatnya pelbagai. Justeru, seseorang penulis sekiranya dia benar-benar faham apa yang dikehendaki oleh ajaran Islam yang mementingkan keharmonian, pasti penulisannya akan menjadi senjata yang bermakna. Penulisan terbaik adalah yang disampaikan dengan cara yang paling lembut tetapi tetap tegas dan tajam pada isi kandungannya. Ironisnya, ketegasan bukanlah pada pemilihan kata atau kalimah yang keras dan kasar dalam menyampaikan sesuatu wacana.

Pemilihan kalimah dan kata yang terbaik, sopan dan lemah lembut menggambarkan nada yang hendak disampaikan. Jika ditinjau dalam Al-Quran kita tidak akan menemui caci maki. Jika adapun cuma beberapa herdikan yang masih dalam bentuk yang sopan meskipun herdikan itu kepada orang-orang yang memusuhi Islam. Kita akan menemui lebih banyak nasihat dan teguran yang baik. Contoh dan gambaran terdahulu sebagai penanda ukur. Bentuk ayat pula lebih kepada memujuk, mendidik dan mengajar. Namun, walaupun cara ini adalah cara terbaik tidak ramai daripada kita yang memahaminya. Jika faham pun tidak cuba untuk mengamalkannya.

Nada akan berubah mengikut kalimah yang diucapkan atau dituliskan. Misalnya kita memilih untuk menggunakan perkataan “bengap” sedangkan kita boleh menggunakan perkataan “lambat” yang mirip maknanya. Kita lebih gemar mengatakan “bodoh” sedangkan kita boleh menggunakan perkataan “kurang pandai”. Banyak lagi contoh-contoh lain yang tidak perlulah dinyatakan.

Selain itu, nada wacana turut dipengaruhi oleh perasaan penyampai. Jika penyampai pada ketika itu dibelenggu rasa muak, bosan dan tidak suka tentulah pemilihan nada penyampaiannya juga akan terpengaruh dengan mood tersebut.

Sebagai penulis, kita harus sentiasa cuba sedaya upaya mampu untuk menjaga perasaan diri supaya wacana penulisan yang dihasilkan tidak dipengaruhi mood diri. Jika tidak ia barangkali tidak akan menjadi wacana yang terasuh sebagaimana ajaran Islam. Wacana terasuh sekali lagi ditekankan ialah wacana yang menggunakan nada yang lemah lembut dan sopan. Pemilihan kata adalah dari kata yang baik dan tidak dipengaruhi unsur-unsur selain yang baik-baik.

Justeru, penulis tidak boleh menulis kerana terpaksa. Penulis mesti menulis kerana amanah dakwah. Penulis yang menulis kerana terpaksa akan dipengaruhi emosi yang tidak stabil. Hasilnya nanti penulisannya dipengaruhi elemen kurang baik. Penulis yang baik akan menghasilkan penulisan yang baik. Penulisan yang baik tidak akan lahir tanpa latihan berterusan. Penulis yang baik adalah penyampai wacana yang berkesan. Terdapat pada hasil tulisannya nilai ketelusan, kejujuran dan keikhlasan. Ini kerana apa yang disampaikan itu baik si pengucap atau penulis tetap ia wacana yang lahirnya dari hati dan akan melekat dalam hati.

Ada orang boleh menulis tetapi tidak pandai berucap. Ada orang pandai berucap tetapi tidak pandai menulis. Ada orang pandai menulis dan pandai berucap sekaligus dan ada pula orang yang tidak pandai kedua-duanya. Justeru, mengapa kita menyempitkan ruang yang luas. Kalaulah benar kita tidak pandai menulis, bukankah lebih elok kalau kita belajar untuk menulis dengan baik dan lebih baik?

Fikir-fikirkanlah, ajaran Islam tidak pernah meletakkan had tertentu dalam menuntut Ilmu. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab diri untuk memperbaiki diri dan menambah ilmu. Ilmu adalah kemuliaan yang tidak akan memuliakan manusia yang menganggap dirinya mulia kerana ilmu. Ilmu akan memuliakan manusia yang belajar dan menyampaikannya kerana Allah SWT. Justeru, nada dalam wacana adalah sesuatu yang penting untuk difahami agar penyampaian ilmu dan wacana akan lebih berkesan. Bukankah kalimah yang baik itu adalah sedekah (ibadah) yang dijanjikan ganjaran?


Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
SMS - 0195785596

Tuesday, October 7, 2008

CERPEN KOLEKSI SYAWAL

Dapat YM daripada Zaid Akhtar ucap tahniah sebab cerpen saya terbit dalam Mingguan Malaysia, dua minit kemudian Ummu Hani Abu Hassan (Lara Rindu Mahsuri) pula YM ucap tahniah juga. Saya sendiri tak tahu, semak online Utusan tapi belum dipublishkan. Apapun terima Kasih kepada editor yang menerbitkannya. Ia adalah percubaan sulung dan cerpen sulung saya di akhbar perdana. Sebelum ini cuma majalah sahaja.

Disebabkan belum tersiar di online, saya siarkan di sini untuk khalayak pembaca.


CERPEN: KEPULANGAN SYAWAL

Oleh Akhi Masrawi


SATU

“SYAWAL pasti pulang mak. Syawal rindu mak. Syawal Rindu ayah. Syawal rindu Along, Angah dan Ucu. Syawal rindu ketupat, lemang dan rendang. Sudah lama Syawal teringin nak makan. Teringin sangat yang mak buat.”

DUA

Dalam hatiku hanya diisi harapan mahu menyambut Aidilfitri pada tahun ini di Malaysia. Aku mahu beraya di kampungku. Bergabung gembira bersama emak, ayah, Along, Angah dan Ucu. Kalian tunggulah. Aku pasti. Kalian pun pasti akan teruja dengan kepulanganku pada malam raya. Namun, risauku masih bersisa. Resah kalau-kalau salah dan silapku itu masih belum terampun.

Aku mengalah kepada desakan diri. Ramadan ini bakal menjadi Ramadan terakhirku berada di Kota Cairo. Aku pasti rindu Cairo lepas ini. Aku harus meninggalkan bumi Kinanah dan kembali ke Malaysia meskipun hati telah tertambat padanya. Namun, aku gagal menemukan sebarang alasan lagi mengapa aku harus tetap berada jauh dari bumi tumpah darah sedangkan aku punya alasan yang kukuh untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Sudah empat tahun lamanya aku membawa diri jauh daripada keluarga. Aku terbang ke Cairo ketika hati berbalut kecewa. Ayah, emak, along, angah dan ucu, mereka adalah keluargaku. Namun, aku kecewa dengan mereka. Lebih-lebih lagi dengan ayah dan emak.

Sedangkan bila diingatkan semula ternyata aku bodoh. Bodoh kerana aku lari daripada kenyataan. Lari meninggalkan ayah dan emak sedangkan ayah dan emak itulah yang melahirkan dan membela aku sejak kecil, menyekolah dan memberikan aku pendidikan sampai berjaya lulus Pengajian Bahasa Arab di peringkat sarjana muda.

Ketika aku meninggalkan Malaysia dahulu hatiku tegar. Aku langsung tidak fikir tentang ayah dan emak. Aku cuma mahu lari jauh-jauh masa itu. Aku pilih untuk ke Cairo sehari sebelum Ramadan. Keluarga langsung tidak tahu. Derhakakah aku?

Aku berharap kita akan berjemaah solat Aidilfitri bersama-sama. Kemudian mendengar khutbah. Aku mahu berada paling hampir dengan mimbar. Aku mahu melihat ayah dari dekat. Kalau ayah sebak ketika khutbah, aku akan menangis. Kalau ayah tidak sebak pun aku akan terus melihat matanya. Aku tidak akan malu lagi andai nanti aku teresak-esak. Dosaku dengan ayah dan emak mesti terampun.

Mengenangkan dosaku pada ayah dan ibu, aku bagai tidak mampu lagi menanti hujung Ramadan. Lebih cepat aku mahu pulang. Aku mahu segera kembali kepada fitrah. Biarlah kita sama-sama dapat menjalani ibadah puasa dan berterawih dengan tenang. Hatiku tidak akan tenang andai aku tidak mengakhirkan dilema ini.

Aku bakal meninggalkan Cairo kala bayu syita’ masih setia membalutinya. Aku pasti akan merindui Ramadan di Cairo. Bukan kerana dingin syita’ tetapi kerana hari-hari yang kulalui berselirat dalam ingatan. Tidak mungkin nostalgia itu sirna. Apa lagi Ramadannya yang amat lain dengan Ramadan di Malaysia. Puasa yang sama tetapi rasanya tidak sama. Bahkan bukan sekadar Ramadan, sebelas bulan lainnya pun tidak sama. Aku akan meninggalkan fanus yang bergantungan antara imarah, qutayyaf dan kunafah serta maidah Rahman saban iftor yang mengakrabi Ramadan di Bumi Mesir. Seterusnya aku akan mengabadikan pengalaman safar selama ini dalam kotak memori biar ia berjabalan dalam diri.

Akhirnya aku mempercepatkan tiket penerbangan pulang ke Malaysia. Aku sudah tidak boleh lagi menanti sehingga malam raya. Seminggu lebih awal itu pun sudah terlalu lewat bagi seorang yang bersalah seperti aku. Sepatutnya lebih awal lagi kerana aku membawa diri ke bumi yang pernah menyimpan hamasah perjuangan Musa a.s. Apa gunanya aku memanjat Jabal Musa di Tur Sinai kalau munajatku adalah munajat seorang hamba yang derhaka kepada kedua ibu bapanya? Barangkali masa itu, hatiku benar-benar keras persis kerikil yang menemani Wadi Arbain sedangkan batu-batu itupun tunduk kepada keikhlasan seorang nabi ketika Musa memukul dengan tongkatnya, maka terpancarlah dua belas mata air. Atau kerana aku tamak umpama Qarun yang tenggelam dalam tasik maddiyah diazab Allah sedangkan dunia ini hanya persinggahan.

Rupanya, selama belajar Bahasa Arab dan dikurnia segulung ijazah aku belum belajar erti kehidupan. Mujurlah semua pelajaran hidup itu tidak terhijab terus. Bukankah Mesir juga bumi Firaun? Mujur safar ini menginsafkan diri. Itupun setelah empat tahun bertamu di Cairo, barulah hidayah memujuk kalbu.

TIGA

”Alang telefon Ucu mak. Dia beritahu dia akan pulang beraya bersama-sama kita tahun ini. Dia mahu menebus salahnya. Dia beritahu lagi dia sudah sedar. Dia sudah insaf. Dia tidak mahu terus menderhaka. Kenapa mak? Ucu langsung tak faham.”

”Alang? Dia di mana?” Tanya emak dengan wajah sugul.

”Katanya, dia di Cairo.”

”Cairo? Ya Allah. Jauhnya. Sejak bila?”

”Sejak dia lari dari rumah dia terus ke Cairo. Masa itu Ucu baru tahun pertama di universiti. Sekarang sudah nak habis.”

“Lamanya. Cepat betul masa berlalu. Makan minum dia macam mana agaknya? Siapa yang menyara dia?”

“Entahlah mak, dia tak beritahu pun.”

”Emak tahu, lambat laun dia mesti balik.”

“Alang kata dia derhaka pada mak dan ayah. Alang kata dia buat salah pada Along dan Angah. Pada Ucu pun dia minta maaf berkali-kali. Dia takut dia tak sempat mengucup tangan emak. Dia risau kalau-kalau ayah pun masih marah padanya.”

”Ucu, emak dan ayah tak pernah marahkan Alang pun. Kalau dia rasa dia salah dan silap sekalipun emak dan ayah tak pernah simpan dalam hati. Cuma tindakan dia tu, seperti orang kecewa.”

”Kecewa? Kenapa pula alang kecewa mak?”

”Alang kecewalah agaknya sebab dia rasa emak dan ayah melebihkan along dan angah dalam semua perkara. Ungkitnya along dan angah dihantar belajar ke luar negara sedangkan dia cuma belajar di dalam negara. Dia kata emak dan ayah memanjakan kau, tetapi terhadap dia semua perkara emak dan ayah suruh dia berdikari.”

”Betulkah mak?”

Emak hanya tunduk. Air matanya mengalir. Ucu tetap menanti jawapan.

EMPAT

”Ya Allah, ya Tuhanku... ampunilah aku. Dosa-dosaku terlalu banyak. Aku tahu, aku tidak layak ke syurgaMu. Namum aku tidak sanggup diazab. Oleh itu, selamatkanlah aku dari api nerakaMu. Selamatkanlah aku dalam kepulangan ini. Izinkanlah aku dapat bertemu emak dan ayahku. Aku mahu meminta ampun daripada mereka. Aku mahu mengucup tangan mereka. Aku mahu mendakap dan memeluk mereka. Aku tahu, selama ini aku terlalu angkuh dan sombong. Aku tidak mahu terus menjadi anak derhaka. Wahai Tuhanku, izinkanlah aku bertemu saudara-saudaraku. Sesungguhnya aku telah buruk sangka terhadap mereka. Aku hendak meminta maaf daripada mereka. Andai aku mampu, aku mahu untuk terus membahagiakan mereka. Tapi aku tidak tahu, umurku apakah masih bersisa untuk terus hidup. Wahai ar-Rahman, Limpahilah aku dengan rahmat dan maghfirahMu, Baikilah diriku agar aku kembali diterima oleh keluargaku. Terimalah taubatku dan ampunkan dosa-dosaku. Amin.”

Penerbanganku akhirnya tiba dengan selamat di KLIA pada jam 9.30 pagi. Karibku, Azlan telah menanti di terminal ketibaan. Penerbanganku ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Alor Setar dijadualkan pada 1.30 petang. Aku mengambil peluang untuk menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Ucu menerusi telefon bimbit Azlan. Aku tidak mahu menelefon. Aku tidak mahu sebak terus menguasai diri.

”Syawal Fitri, akhirnya pulang juga kau. Aku ingatkan kau bawa isteri Arab bersama. Rupanya masih solo.” Luah Azlan mengusik selepas melerai pelukan ukhuwah.

”Kau apa khabar? Empat tahun tak jumpa makin berisi nampaknya.”

”Alhamdulillah, aku sihat. Aku berisi?”

”Ya, mustahil kau tak sedar.”

”Memanglah. Aku dah menikah. Anak pun dah dua.”

”Dengan siapa Lan?”

”Siapa lagi?”

”Jadi juga ya? Gaduh-gaduh pun jadi. Hairan aku.”

Azlan tertawa.

”Kau balik berapa lama?”

“Kenapa kau tanya macam itu? Ini kan Malaysia. Negara aku juga.”

“Mana lah aku tahu, entah-entah dah jatuh cinta dengan Cairo.”

Giliran aku pula tertawa.

Doa yang sama aku terus panjatkan dalam pesawat ke Alor Star. Aku tidak henti-henti bersoa. Doa ketika safar mustajab. Aku hamparkan sejuta pengharapan.

Sampai di Kepala Batas aku sengaja tidak meminta keluarga menjemputku di lapangan terbang. Aku mengambil teksi. Hari masih awal. Jika tiba awal pun di rumah tentu tidak meriah. Along dan Angah barangkali belum berkumpul. Mereka tentu masih di pejabat. Sejak mereka usai pengajian terus berkerja di syarikat ayah. Kebetulan along mengambil jurusan pentadbiran perniagaan dan angah pula undang-undang. Ayah mungkin sudah pulang tetapi mungkin kepenatan dan sedang berehat. Lebih baik aku ke Masjid Zahir dahulu. Beriktikaf sementara menanti petang. Aku mahu pulang saat hampir berbuka. Tentulah masa itu semua sedang berkumpul.

Jika ikutkan hati aku mahu terus sahaja pulang ke rumah. Aku sudah tidak sabar-sabar lagi hendak berjumpa keluarga yang amat aku rindui selama ini. Tetapi kenapa aku tidak mampu bersabar untuk empat jam lagi sedangkan aku telah terpisah dengan mereka selama empat tahun.

LIMA

Teksi yang membawaku dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ke Masjid Zahir sudah menantiku di luar masjid usai berjemaah Asar. Aku tidak berlengah lagi. Perjalanan pulang ke rumahku tidak akan mengambil masa yang lama.

Teksi bergerak menuju destinasi. Aku tersandar di kusyen belakang. Meladeni perasaan yang mengusik nubari. Menjelma memori-memori lama. Dalam gembira terasa duka. Namun, kugagahi juga agar mata tidak menumpahkan airnya.

Terlalu asyik melayan perasaan, tanpa kusedari air mata telah mengalir. Aku berlindung di sebalik surat khabar. Terasa malu kalau-kalau pemandu teksi perasan. Aku menyeka manik-manik jernih yang sedang mengalir dari tubir mata.

Aku lihat ke hadapan. Menerusi cermin teksi. Aku lihat dengan pandangan yang kabur. Kemudian aku tidak ingat apa-apa lagi.

ENAM

Ketika aku sampai di rumah ramai orang kampung sedang berada di rumahku. Seakan-akan ada kenduri. Aku cuba menegur mereka tetapi tidak seorang pun menyedari kepulanganku. Aku terus masuk ke rumah. Ya Allah, dugaan apakah ini.

Aku lihat sekujur tubuh kaku sedang dibacakan surah Yasin. Aku lihat Angah dan Ucu menangis teresak-esak. Along pula memakai kaca mata hitam. Tentu matanya juga bengkak sedang diselindungkan. Ayah pula sedang berbicara dengan Tuan Imam. Emak mana?

Jenazah itu adakah....? Tidak. Aku lekas-lekas mencari emak. Lepas puas mencari tetapi tidak ketemu aku menghampiri jenazah itu. Aku mahu melihat wajahnya. Aku mahu kepastian. Namun aku tidak dapat melihat wajahnya kerana sudah tertutup. Aku berusaha hendak menyelak tetapi tidak boleh. Puas kucuba.

TUJUH

Ketika aku sedar dan membuka mata Ucu berada di sampingku. Wajahnya jernih dan tersenyum tetapi matanya berair. Dia nampak letai. Tentu dia kepenatan menemaniku. Aku ingin bercakap tetapi tuturku tiada bersuara. Ucu senyum lebih manis dan ayu walaupun matanya bengkak. Aku lihat sekeliling. Rupa bilik macam sebuah wad. Di mana aku?

”Mana mak?” itu saja yang mampu kututurkan dengan suara antara dengar dan tidak. Khali.

Ucu menangis semula. Teresak-esak. Sunyi ruang bilik terusik. Aku terus takut kalau-kalau aku memang sudah terlambat.

”Alang, esok hari raya. Kita raya sama-sama.” Luah Ucu masih bernada sayu. Air matanya mengalir deras.

Aku kuatkan hati. Aku cuba menguatkan suara dengan amat payah.

”Dik, mak mana?”

”Alang, janji dengan dengan adik jangan tinggalkan kami lagi. Alang terjebak kemalangan. Pemandu teksi meninggal dunia. Alang koma sudah enam hari. Meracau. Soalan mak mana tu alang sebut sudah lebih 40 kali. Pihak Hospital telefon maklumkan kepada Ucu. Mujur mereka jumpa nombor telefon Ucu dalam dompet alang. Ucu beritahu Along, Angah pula cadangkan Alang dimasukkan ke sini. Pakar yang merawat alang bukan calang-calang doktor.”

”Sini? Dik, mana mak?”

”Mak...” Ucu menangis lagi. Aku kaget. Ucu mendail telefon bimbitnya.

”Along... Alang dah sedar.”

Belum pun sempat Ucu meneruskan kata-katanya muncul kelibat Along menguak daun pintu. Kemudian Angah pula diikuti seorang lelaki yang barangkali suaminya dan dua orang anak kecil yang mungkin juga anak-anak mereka.

Selepas menyalami mereka aku bertanya lagi soalan yang sama. ”Mak mana? Ayah mana?”

Mataku sudah berair semula. Aku rasa pipiku suam kemudian sejuk. Pandanganku kabur semula.

Daun pintu bilik wad terkuak sekali lagi. Penantian akhirnya terjawab. Aku hendak melompat dari katil tetapi tenagaku tiada. Aku seperti terlekat pada tilam. Hanya yang boleh kulakukan cuma satu. Menanti.

Emak menyerbu ke arahku. Emak sudah pun menangis. Dia memelukku amat erat. Aku mahu bersuara. Emak menguatkan pelukannya. Aku hanya boleh terus menangis. Aku tahu, dosaku sedang gugur. Hatiku lega dan tenang.

Tidak pernah kurasa setenang itu. Hanya Tuhan yang tahu.


TAMAT
Akhi Masrawi
Langkawi
Ramadan 1429H


GLOSARI (*sekadar memberi makna kepada maksud ayat).

Kinanah – gelaran kepada Mesir
syita’ – musim dingin
fanus – lampu istimewa yang dinyalakan ketika Ramadan di Mesir
imarah – bangunan
qutayyaf – sejenis juadah tradisional Mesir
kunafah – Sejenis juada tradisional Mesir
maidah Rahman – hidangan berbuka puasa yang berupa kenduri
iftor – berbuka puasa
maddiyah – kebendaan




AKHI MASRAWI

Akhi Masrawi adalah penulis bebas. Kini beliau berkhidmat sebagai seorang guru. Merentasi asuhan akademik di SKUM (1987-1992), ALMAAD (1993-1999), Al-Azhar, Mesir (1999-2003), IP Perlis (2005-2006). Menulis secara online sejak Jun 2002. Turut menulis dalam genre kreatif dan ilmiah secara sambilan. Hasil penulisan antaranya:(BUKU): Insurans Menurut Perspektif Islam (Pustaka Darus Salam, Alor Star 2004),(CERPEN): Cerpen Warkah Terakhir Dari Ramallah (Dewan Siswa April 2004), Cerpen Cinta Sufiah (Majalah i Julai 2004), Cerpen Cinta dan Rona Kinanah (Majalah i Disember 2004), Cerpen Warkah Mujahid (Dewan Siswa Januari 2005), Cerpen Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah (Dewan Agama dan Falsafah Januari 2005), Cerpen Resah Menyusur Kinanah (Dewan Agama & Falsafah Januari 2006), (ARTIKEL): Imam Al-Ghazali: Perintis Falsafah Islam (Majalah i April 2004), Rencana Ibnu Thufail: Karya Kreatif Jadi Medan Falsafahnya (Dewan Agama & Falsafah (Julai 2005), (ANTOLOGI): Antologi Cerpen Sebuah Pondok di Kampung SENA (AKAR, Mansurah), Antologi Cinta dan Rona Kinanah (Cairo), (JURNAL AKADEMIK): Monograf Andalus II (DPM Tanta, 2003) dan kini sedang menulis blog dan novel.



Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Sunday, October 5, 2008

KEMBALI BERBLOG CARA AKHI MASRAWI

Oleh Akhi Mizi

SUATU ketika dahulu, gaya penulisan saya adalah tentang kisah kehidupan. Anda boleh meninjau ke PUJANGGA Online jika berkesempatan atau ke MASRAWI Online untuk membacanya jika sudi dan berkelapangan masa.

1. Literal yang sedang saya fikirkan penulisan gaya lama kadangkala adalah lebih baik daripada perubahan yang sedang saya lakukan sekarang. Pada masa kini saya sedang menulis dengan gaya analogi komentar sosial yang akan banyak menyentuh tentang profesion yang saya ceburi, namun barangkali ia juga akan turut menyentuh orang lain yang mungkin orang itu tidak senang dengan penulisan saya. Justeru saya pohon maaf andai ada tulisan saya yang menyinggung perasaan.

2. Gaya penulisan lama saya banyak menceritakan tentang perjalanan hidup dalam safar ilmu di Ardil Kinanah Mesir. Justeru kebanyakannya menceritakan hal-hal peribadi sahaja. Namun, tidak semuanya adalah hal-hal yang sulit. Hal-hal yang dikongsikan adalah hal-hal yang dirasakan wajar sahaja. Tetapi tidak semua orang suka membaca hal-hal peribadi kerana selera kita tidak sama. Bahkan tidak akan sama.

3. Selalunya orang beranggapan penulis mempunyai memori yang kuat. Barangkali betul. Tetapi saya sebenarnya tidak mempunyai memori yang kuat, justeru saya menulis. Mujurlah saya menulis kerana sekurang-kurangnya memori saya semasa belajar di Mesir dahulu dapat diselak baca semula di laman tulisan saya yang lama-lama.

4. Tetapi sekarang ini, saya menulis untuk memberikan pandangan iaitu persepsi dan menulis untuk menggambarkan realiti iaitu dari apa dapatan yang saya perolehi. Mungkin ianya tidak bersifat menyeluruh kerana selalunya saya akan membandingkan dengan apa yang saya tahu dan boleh jadi sebahagian lain yang saya tidak tahu tidak pula saya terjemahkan dalam penulisan saya.

5. Justeru, saya bukanlah siapa-siapa. Jika sebelum ini saya pernah menulis tentang isu PKSR sehingga menimbulkan polemik sekali lagi secara terbuka saya memohon maaf kepada semua. Jika perlu selepas ini saya akan berhenti memberikan pandangan dan persepsi peribadi jika sebenarnya ianya tidak wajar untuk dilakukan. Saya sendiri berniat baik sebenarnya.

6. Niat saya menulis tentang isu PKSR bukanlah untuk mengatakan yang tidak baik atau mempersoalkan siapa-siapa. Itu hanyalah cetusan persepsi saya sahaja. Dan, paling penting saya bukanlah siapa-siapa. Saya cuma guru biasa. Lebih molek saya diam sahaja selepas ini atau kembali menulis dan berblog cara Akhi Masrawi.
7. Cara Akhi Masrawi itu, barangkali lebih dekat dengan hati pembaca. Tidak mungkin untuk mempersoalkan tentang apa-apa atau siapa-siapa.

8. Kehidupan adalah untuk mencari bahagia. Siapa tidak mahukan kebahagian bahkan dalam doa kita sering meminta kebahagian di dunia dan akhirat. Justeru, untuk bahagia kita mestilah berkerjasama mencetuskan kesempurnaan yang barangkali kesempurnaan itu subjektif sifatnya.

9. Untuk mencapai kesempurnaan, penggabungan adalah penting. Lantaran dalam sebuah kehidupan sentiasa Tuhan kaitkan dengan perkongsian. Baik dari apa sudut sekalipun.

10. Jika saya salah. Izinkan saya berhenti dan maafkanlah saya.

Komentar peribadi sila salurkan ke emel: myakhimizi@yahoo.com atau sms ke nombor telefon: 0195785596


Akhi Mizi myakhimizi@yahoo.com http://akhimizi.blogspot.com/