Wednesday, December 24, 2008

JOM KE SEKOLAH!

Oleh Akhi Mizi

SEMASA zaman jadi pelajar dahulu ada seorang kawan saya; dia anti sekolah. Padanya sekolah adalah tempat paling tension. Tempat paling dibenci, memualkan, merimaskan dan apa sahaja yang menggambarkan kebenciannya kepada sekolah.

Barangkali mungkin kerana kami pada masa itu menjalani hidup sebagai seorang pelajar sekolah asrama. Pelajar sekolah asrama akrab dengan disiplin yang ketat, rutin yang padat dan makanan yang tak sedap. Banyak perkara yang tidak seronok semasa zaman sekolah menengah dahulu jika kita sebagai lepasannya menganggap perkara-perkara itu sebagai benda yang tidak disukai.

Namun, tidak kurang juga yang menyukai sekolah. Antaranya sayalah. Sebab itulah sekarang saya jadi guru. Orang yang suka sekolah ini mungkin kerana dia suka berkawan. Kawan-kawan ramai di sekolah.

Pada saya, baik semasa zaman belajar atau sudah pun menjadi guru sekolah tetap sekolah. Ia tidak boleh berubah sekelip mata menjadi yang lain. Sekolah bukan megamall untuk melepak, bukan taman rekreasi untuk bersantai, bukan taman tema untuk bersuka ria, bukan pasar untuk berniaga, bukan galeri untuk dilawati, bukan apa lagi?

Sekolah tetap sekolah. Tetapi sekolah tetap boleh berubah. Ia tidak berubah secara fizikal. Ia berubah secara emosi. Sekolah yang dibentuk dengan emosi ceria, jujur, ikhlas, amanah, setia kawan, bertolak ansur, timbang rasa, tolong menolong, hormat-menghormati dan macam-macam lagi nilai baik yang murni ini akan menjadikan suasananya berubah.

Persoalannya siapa yang membentuk semua itu di sekolah? Ada orang kata pentadbir, ada kata guru, ada kata staf sokongan, ada kata murid-murid, ada kata waris. Betul, semuanya betul kerana semuanya berperanan dan terlibat.

Tetapi harus diingat. Setiap yang baik ada halangannya. Setiap yang benar ada tekanannya. Hidup tidak selalunya sama. Yang sama pun boleh berubah. Justeru, benarkah tidak semua guru suka kembali ke sekolah? Lebih-lebih lagi bila hendak bermula sesi persekolahan baru setelah bercuti panjang akhir tahun. Guru-guru ini barangkali akan menempuhi rutin kerja yang memberikan tekanan kepada mereka. Sebab itulah mereka tidak suka kembali ke sekolah.

Namun, haruslah diingat. Kembali ke sekolah adalah kembali bertugas. Kembali bertugas kerana ia adalah amanah kerja dan amanah Allah.

Pada saya, kita sendiri yang membentuk persepsi kita. Jika kita sudah tidak suka dari awal, cantik dan baik macam mana pun tetap tidak suka. Justeru, timbangkanlah semula kenapa dulu kita memilih profesion perguruan?

Pada saya. Saya telah memilih. Pilihan saya itu adalah pilihan yang betul. Apa-apa dihadapan saya selepas ini yang mengganggu pilihan saya itu, saya berazam akan saya harungi dengan cekal kerana saya memang mahu menjadi guru. Tolonglah berdoa kepada saya. Saya mahu menjadi guru yang baik kerana bukan sekadar saya tidak mahu manusia menilai saya tidak bahkan Allah adalah penilai yang hakiki. Allah menilai, tentulah penilaiannya adalah penilaian yang tepat.

Sejak j-QAF diperkenalkan pada 2005, banyak perkara-perkara baru dapat saya pelajari. Kekangan demi kekangan saban tahun, tetapi semua itu langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat sebagai guru. Ada masalah tentu ada cara penyelesaiannya. Jika tidak mampu diselesaikan sendiri eloklah kita merujuk kepada orang atas.

Contohnya hari ini, selepas menelefon Hj. Rushdan barulah saya nampak cara penyelesaian masalah jadual waktu di sekolah saya. Tetapi tetap ada kekangan yang bersisa. Saya rasa nanti saya akan menulis tentang isu penjadualan waktu guru j-QAF. Bukan sekadar P&P tetapi juga meliputi Tasmik. Jika berkesempatan saya akan menulis tentang perancangan setahun pada edisi berikutnya. InsyaAllah.

Jikalau waktu boleh dipatah balikkan semula. Bilakah waktu yang anda hendak pergi? Tentu kita punya zaman yang paling bernilai dalam hidup ini. Ternyata waktu tak boleh dipatah balikkan. Hakikatnya masa terus berlalu. Kitalah yang menentukan pilihan untuk buat apa.



Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/