Wednesday, March 11, 2009

TIDAK MENULIS TETAPI TETAP MEMBACA

Oleh Akhi Mizi

SAYA tidak ingat bila sebenarnya saya pandai membaca. Bahkan saya juga tidak pasti bilakah sebenarnya saya pandai membaca dengan pantas. Hakikatnya saya tidak pernah belajar kelas persediaan pra-sekolah atau lazimnya disebut TADIKA atau TABIKA atau PASTI atau juga PRA-Sekolah.

Sedar-sedar sahaja saya didaftarkan tahun 1 di SK Ulu Melaka. Dengan tanpa asas ABC maka saya ditakdirkan berada di kelas 1 Kuning iaitu kelas yang kedua dan terakhir selepas kelas Merah, sebab ada dua kelas sahaja. Di situlah saya mula mengenal ABC dan 123. Namun, Alif Ba Ta saya sudah belajar sejak umur 6 tahun lagi menghadiri kelas Al-Quran di rumah Tok Long Man.

Barangkali situasi pada masa itu yang tidak memungkinkan saya ke kelas Tadika. Justeru saya tidak pernah menyalahkan ibu bapa saya mengenai hal ini, walaupun hakikatnya kakak saya dan adik-adik yang lain semuanya mengalami zaman pra-sekolah baik di Tadika mahupun kelas Pra di sekolah. Cuma saya yang tidak.

Alhamdulillah. Mujurlah Tuhan mentakdirkan saya dalam kategori ”cepat belajar” jika tidak mungkin sekarang saya tidak boleh menjadi seorang guru. Mungkin saya jadi yang selain guru.

Semuanya cumalah nostalgia lampau, yang jika dikenang dengan kuat akan menimbulkan pelbagai rasa dalam diri. Kadang-kadang saya terpaksa membiarkan rasa-rasa itu berselirat dalam diri dan berjabalan dalam jiwa.

Apa yang pasti saya mula menulis secara tidak kreatif semenjak saya mula dimasukkan ke sekolah. Biarpun saya tidak ingat bilakah saya pandai membaca, tetapi saya ingat bila saya mula menulis secara kreatif. Mujurlah. Karya pertama saya adalah sebuah cerpen yang saya tulis semasa berumur 15 tahun. Biarpun cerpen itu banyak kelemahan dan diedit banyak oleh Editor Majalah Nur Almaad (Majalah sekolah menengah saya belajar dahulu), ia tetap sebuah penulisan. Ia tetap sebuah karya. Sejak itu saya terus menulis sampai sekarang. Cuma sekarang agak suram.

Menulis dan membaca adalah dua perkara mulia kerana ia berkaitan ilmu dan pena. Namun sebelum menulis mesti membaca. Ini adalah disiplin ilmu yang hakiki. Jika tidak ilmu tidak akan tersebar.

Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril a.s adalah “Iqra’” iaitu tuntutan untuk membaca. Justeru, benarlah kata-kata hikmah Arab yang bermaksud “membaca adalah anak kunci ilmu.”

Penulis yang menulis dengan gaya “ikut suka aku” atau “lantak aku” atau “sapa tak suka boleh blah” pada saya adalah penulis yang tidak beretika. Lantaran penulisan pada hakikatnya adalah wacana yang patut dijaga tatasusilanya. Bukan dijadikan bahan untuk menghasut, menghina, menghentam, mencerca, menyakiti, menimbulkan fitnah atau selainnya. Penulisan adalah satu cara untuk menyampaikan ilmu, memindahkan maklumat, menimbulkan kesedaran, memotivasi diri, meningkatkan semangat dan sebagainya. Justeru elokah kita perbetulkanlah apa yang salah kita fahami dan amalkan selama ini. Mungkin saya juga tersilap. Maka yang terbaik adalah perbetulkan. Jika tidak mungkin kita akan tergolong dalam golongan yang rugi di akhirat nanti.

Sepanjang tidak menulis saya masih sempat membaca blog-blog blogger lain. Masih sempat meninjau untuk tersentuh hati dengan tulisan Amir di catatan betajuk Family First, tergelak dan terhibur dengan Tulisan Us Hasmadi di catatan bertajuk Februari dan mengutip info dari blog-blog yang lain. Namun, kecenderungan buat masa ini adalah melayan emosi dengan cerita-cerita yang ada unsur realiti seperti yang ditulis dua blogger itu. Ini bukanlah bermaksud blog-blog lain tidak bagus cuma saya rasa mereka berdua itu telah cuba kelainan dalam menulis. Mungkin sesetengah daripada kita tidak suka berkongsi cerita peribadi dengan orang lain. Tetapi kadangkala berkongsi dengan orang lain adalah lebih baik daripada memendamkannya sendiri.

Gaya penulisan blog biasanya berubah-ubah mengikut mood penulis itu sendiri. Tetapi saya amat seronok jika penulisan gaya santai Us Hasmadi dapat dikekalkan. Tahniah kepada beliau. Dulu saya ada mengenali seorang blogger dengan nickname Mat Jan JJ, tetapi semenjak dia menyepi dari dunia blog saya sudah tidak dapat tergelak di depan notebook. Perlu juga ada penulis santai agar dunia blog ini tidaklah sekadar bebentuk info, ilmu, pengetahuan, dakwah, laporan dan berita. Biarlah ia juga memaparkan cerita-cerita realiti yang menyentuh emosi sama ada suka mahupun duka.

Walaupun saya tidak sempat menulis kerana tidak sempat sejak akhir-akhir ini, tetapi saya tepat sempat membelek dan membaca blog-blog rakan-rakan blogger yang lain. Alasan sibuk tidak perlu diterjemahkan untuk menggambarkan tidak sempat.

Lantaran membaca dan menulis itu adalah dua perkara yang berbeza tetapi tetap seiring bersama maka tidaklah saya dapat lupakan untuk menulis semula. Meskipun saya tidak ingat bila saya mula pandai membaca tetapi saya tetap ingat saya telah pun pandai menulis dan pandai membaca. Justeru mengapa harus saya tinggalkannya?



Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/