Wednesday, July 22, 2009

Benarkah j-QAF Ke Sekolah Menengah?

Oleh Akhi Mizi
j-QAF akan diperluas ke Sekolah menengah lapor Utusan Malaysia memetik kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Begitulah akhirnya. Setelah agak lama juga bermain dengan khabar angin.

Bilik j-QAF ini bukanlah sesuatu yang senang untuk diwujudkan sebagai bilik darjah kondusif.

Saya sedikit pun tidak terkejut. Sebenarnya sudah lama dengar cerita yang program j-QAF akan diperluaskan ke sekolah menengah. Justeru, setelah membaca kenyataan menteri timbullah pelbagai persoalan dan bermain dalam minda saya.


Ternyata, apa yang pasti program j-QAF semakin diberikan perhatian. Saya dengan sengaja menghantar sms kepada beberapa sahabat guru-guru j-QAF bertanyakan pandangan mereka jika sekiranya guru j-QAF kohot pertama 2005 akan ke sekolah menengah. Ternyata respons mereka sebagaimana dugaan saya. Kebanyakannya lebih suka terus di sekolah kebangsaan. Hanya seorang dua saja yang tergerak hati hendak ke smk pula.


Benarkah? Jika baru-baru ini Akmal Ahmad ada menulis di blognya tentang budaya selesa guru j-QAF, adakah isu seperti ini juga budaya selesa? Mungkin Akmal ada pandangannya sendiri. Tetapi saya berpandangan ini bukanlah budaya selesa. Ini adalah satu iltizam yang kuat.


Dulu, berapa orang saja yang hendak jadi guru j-QAF di sk? Lepasan Al-Azhar, Jordan, Syria, UIA, UM, UKM, KUIN dll masing-masing masuk ke sk dengan macam-macam persepsi. Ada yang berkata 'hilang ilmu mengajar di sk' ada yang kata 'otak tak berkembang' ada yang kata 'tak ada cabaran' dan macam-macam lah yang negatif belaka.


Hakikatnya tidak. Setelah memasuki medan sebenar barulah tahu.


Apa yang menjadi isu, jika guru j-QAF di sk ke smk adalah isu disiplin. Itulah yang haru biru. Isu Disiplin ini di sk pun sudah macam-macam. Di smk lagilah celaru. Apatah lagi, fungsi j-QAF adalah untuk memulihkan murid yang keciciran. Selalunya murid yang bermasalah disiplin di smk adalah daripada golongan murid yang keciciran dalam pelajaran. Justeru, fikir-fikirlah.


Barangkali sebenarnya kohot pertama tidak ditawarkan pun ke smk. Apatah lagi kalian memegang diploma pendidikan KPLI-SR. Ingatlah sendiri. KPLI-SR, bukan KPLI-SM. Justeru, teruskan perjuangan di sk sebagaimana istiqomahnya kita sebelum ini melaksanakan segala program j-QAF demi agama, nusa dan bangsa.
Banyak cerita-cerita j-QAF yang belum sempat saya tulis. InsyaAllah saya akan tulis nanti.








Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Tuesday, July 14, 2009

BARU LIMA TAHUN... (Siri 2)

Oleh Akhi Mizi

Akhi Mizi masih merenung dan terus merenung mencari diri yang sebenar sebagai seorang guru.

KADANG-KADANG kita tidak sedar, ketika kita sedang menangis kita merasakan diri keseorangan tetapi sebenarnya ada orang lain yang menumpang rasa sedih atas tangisan itu. Kita selalu mengatakan kita keseorangan ketika duka tetapi hakikatnya kita ada teman yang ramai. Teman berduka... kerana hidup ini tidak semata-mata untuk suka. Lebih dahsyat kedukaan mereka berbanding kita. Mengapa kita harus lagi untuk merasakan keseorangan dan kesepian? Jika kita sebenarnya yakin bukan cuma kita seorang yang sedih dan berduka.

Mungkin kita diuji dengan kehilangan, tetapi orang yang diuji dengan kematian bukankah lebih dahsyat?

Yakinlah, Tuhan Maha adil. Dialah yang memberikan kita apa yang kita miliki sekarang. Dia Maha berkuasa. Bila-bila masa sahaja dia boleh mengambilnya semula. Justeru berdoalah kepadaNya agar kita diberikan rasa sabar, cekal dan tabah dalam jiwa. Lantaran kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara.

Masih banyak impian dan cita-cita kita yang belum tercapai. Akan tercapaikah? Entahlah. Masih jauh perjalanan hidup ini kerana kita tidak tahu bila sebenarnya tarikh ajal kita. Jika kita tahu, tentulah kita akan pesimis, putus asa, lemah semangat dan menyerah kalah. Itulah yang tidak sewajarnya. Mengingati mati adalah mulia. Namun bukan mengingati mati dengan meninggalkan semua perkara. Lantaran dunia adalah tempat persinggahan untuk menjadi jambatan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.

Setiap takdir di dunia ini adalah percaturan Allah SWT. Jika ini pun masih tidak diyakini, manakah martabat keimanan kita? Tidakkah kita berpegang dengan rukun iman yang ke-6 itu? Tidakkah kitalah guru yang sering mengajarkan ini kepada anak didik kita? Guru jenis apakah kita ini kalau mengajarkan saja, mengamalkan tidak?

Tuhan telah mentakdirkan saya menjadi seorang guru dan berstatus Guru j-QAF. Justeru saya akur dan terima dengan rasa syukur.

Status guru agama bukan untuk dibanggakan, meskipun Islam memuliakan kita? Status ini untuk dihayati. Sejauh mana kita telah memahami cara mendidik anak-anak didik kita? Sejauh mana kita telah berusaha membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan? Sejauh mana kita telah melaksanakan amanah mendidik ini dengan cara yang paling berkesan?
Banyak lagi soalan-soalan muhasabah seperti ini yang boleh dicipta, dibaca dan difikirkan. Namun, bolehkah kita berjanji dengan diri sendiri bahawa kita bukan guru biasa. Kitalah guru agama. Guru yang luar biasa.

Ketika Nazri di Blognya TERATAK JALAI JAYA menulis ALIH-ALIH LIMA TAHUN, saya tersenyum sendirian. Memang benar apa yang ditulis olehnya tentang guru j-QAF yang berkorban balik lewat mengajar di luar jadual waktu persekolahan iaitu kelas tasmik. Tidak kira lagi KBS di hujung minggu. Tetapi pada saya itu semua adalah pengorbanan yang memang perlu dilakukan dengan ikhlas. Sama ada kita suka atau tidak suka. Itulah hakikatnya.

Dulu pun ketika PPSMI diperkenalkan pada 2003, guru-guru Matematik dan Sains terpaksa juga mengajar dalam Bahasa Inggeris walaupun mereka sendiri tidak bersedia, tidak mampu dan tidak ikhlas barangkali. Tetapi mereka mengikut juga dasar itu kerana adanya elaun 10% dan 5%. Justeru apabila murid tidak faham, tidak mampu menguasai guru pun mengajarlah dalam bahasa yang mudah difahami iaitu Bahasa Melayu @ Bahasa Malaysia @ Bahasa Kebangsaan semasa pelaksanaannya (2003-2012). Irosnisnya, bayaran elaun itu Cuma 10% maka 10% sahajalah mengajar dalam Bahasa Inggeris. Akhirnya apa jadi? Kerajaan mengambil keputusan memansuhkan PPSMI dengan alasan yang relevan setelah melalui fatrah yang agak panjang. Apakah yang akan terjadi kepada generasi itu agaknya? Mungkinkah akan wujudnya jurang yang amat berbeza antara murid yang menguasai dengan murid yang ketinggalan?

j-QAF (Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain) apa ceritanya pula? Cerita berjaya atau cerita gagal? Mesti ada kedua-duanya. Adakah terlalu awal untuk membuat refleksi? Saya rasa tidak. Sekarang sudah masuh tahun ke-5 pelaksanaannya.

Saya masih ingat dengan pasti, ketika lawatan seorang pegawai kanan di JPN Kedah ketika itu ke sekolah saya untuk memantau pelaksanaan program j-QAF pada tahun 2005, kami dimaklumkan peruntukan untuk pembangunan makmal j-QAF akan turun dan sekolah saya dan sebuah lagi sekolah di daerah ini telah dimaklumkan akan menjadi antara sekolah terawal akan menerima kemudahan itu. Saya tidak pasti sekolah-sekolah di Daerah lain dalam negeri Kedah ini jika mendapat makluman yang sama. Tetapi sehingga kini tahun 2009, jangan kata makmal dan kemudahan yang dijanjikan itu sebuah komputer atau laptop pun tak diberikan. Kalau makmal yang dijanjikan itu akan dilengkapi dengan makmal Bahasa Arab, Bilik Pemulihan Jawi dan pejabat yang dilengkapi dengan peralatan seperti LCD, laptop/komputer, Layar LCD, kerusi meja dll sehingga kini yang kami ada cumalah sebuah bilik j-QAF berstatus tumpang (asal sebuah bilik darjah).

Ketika PPSMI dilaksanakan dulu, guru-gurunya bukan sahaja di bekalkan dengan laptop, LCD bahkan pelbagai kemudahan dan perisian untuk memastikan PPSMI berjaya.

Guru-guru j-QAF ini akhirnya keluarkan wang gaji sendiri untuk membeli laptop untuk mengajar menggunakan ICT. Kalau mengajar tak guna ICT, nanti dikatakan ketinggalan zaman dan macam-macam. Laptop itu jugalah digunakan untuk megisi data, menyediakan rekod, laporan dan sebagainya. Tidak ikhlas lagikah guru j-QAF yang sanggup berkorban sebegini?

Tetapi apa nasibnya j-QAF? Sama-samalah kita renungkan. Selain berita-berita di akhbar dan sedikit sedutan di tv saya rasa belum ada lagi iklan khas tentang program j-QAF ini ditayangkan di tv. Bukankah kita maklum ini program perdana yang punya peruntukan besar? Mengapa tidak diwar-warkan kebaikan program j-QAF di media elektronik. Adakah kita yakin semua masyarakat sudah tahu apa itu j-QAF? Atau adakah hendak tunggu j-QAF juga menerima nasib seperti PPSMI?

Dalam model j-QAF penekanan kepada Jawi, Khatam Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain. Tujuannya Cuma satu iaitu memperkasa Pendidikan Islam. Tujuan yang murni ini bukan boleh dicapai dengan satu usaha. Sebaliknya semua berperanan barulah boleh mencapainya. Bukan hanya sekadar Pendidikan Islam itu dilihat pada silibus kurikulum semata-mata, tetapi secara keseluruhannya. Semuanya hendaklah diperkasa. Dari atas sampai bawah. Syumul.

Setelah lima tahun berlalu, kesedaran menguasai jawi mula tersemat. Rasa bangga dan seronok melihat murid-murid dapat membaca dan menulis jawi dengan betul dan baik. Pelbagai kemahiran dapat dikuasai.

Murid yang Khatam Al-Quran meningkat ketara. Dulu sebelum ada j-QAF bukan tidak ada murid yang khatam semasa di sekolah rendah tetapi jumlahnya kecil. Sekarang dengan adanya j-QAF murid-murid yang khatam al-Quran ini bertambah tahun demi tahun, bulan demi bulan, minggu demi minggu, hari demi hari. Mutu bacaan Al-Quran juga meningkat.

Murid-murid yang dulunya tidak tahu mengambil wuduk kini sudah pandai. Bukan itu sahaja, bertayammum pun mampu. Murid juga mampu melaksanakan solat berkat usaha mengadakan Kem Bestari Solat. Rajin pula mereka solat sampai bersepah sejadah di surau. Berpasir lantai surau. Tak mengapalah asalkan mereka mahu solat.

Murid yang dulunya tak minat dan takut kepada Bahasa Arab kini sudah mampu menguasai kalimat-kalimat, ibarat dan ayat-ayat Bahasa Arab. Bukan sekadar mendengar, bertutur dan membaca bahkan mereka juga dilatih menulis dengan pendekatan imlak. Hebat bukan? Bukanlah betul semua. Tetapi nyata mereka mampu.

Itu semuanya cerita-cerita manis. Yang suka. Yang duka belum diterjemahkan.

Hakikatnya, jalan untuk mencapai ke tahap itu bukanlah mudah. Hanya yang jadi guru j-QAF sebenar sahaja yang tahu. Guru-guru j-QAF ini pula dibebani dengan bermacam-macam data, rekod, analisa, dan pelaporan selain tugas mengajar dan tugas-tugas di sekolah. Guru-guru j-QAF itu jugalah yang menjadi jurulatih untuk menjayakan program-program ko-akademik seperti MTQ, MKQ, Kem Literasi, Mukhayyam Bahasa Arab dll di peringkat daerah dan negeri. Bukan guru-guru lain. Guru j-QAF itulah.

Ada daripada kalangan guru-guru j-QAF ini yang komitmen bukan main-main tetapi akhirnya tidak dihargai pun oleh orang-orang atas. Kasihan mereka. Itulah hakikatnya. Bukanlah senang menjadi guru j-QAF ini. Apatah lagi statusnya ialah guru luar norma. Tinggal kelas dan sekolah semata-mata menghadiri mesyuarat. Kerja di sekolah tak siap, alih-alih kena pantau menggelupur seorang diri. Siapa nak bela? Sendiri mahu ingatlah...

Perlukah dibongkar yang pahit-pahit lagi, yang duka nestapa untuk menyatakan j-QAF yang sebenar? Rasanya tidak perlu.

Pengalaman saya sepanjang lima tahun ini pun jika diingat balik banyaknya manis. Seperti yang saya tulis di awal-awal lagi. Kalau kita rasa kita menangis seorang diri, sedarlah ada orang lain yang menangis dan sedih sebagaimana kita. Kalau kita rasa kita sudah teruk diuji, sedarlah ada orang lain lebih dahsyat lagi.

Pahit manis sepanjang lima tahun bergelar guru j-QAF akan diingat sebagai memori yang tidak akan terpadam. Yang sentiasa dikenang boleh jadi sepanjang hayat.

Pernahkah anda membaca Novel Saga? Teknik ceritanya daripada pelbagai watak. Ini cerita saya. Barangkali cerita Nazri, Rokhaimi, Amrusyam, Akmal Ahmad dan orang lain berbeza. Itulah yang dinamakan antara persepsi dan realiti.

Bersambung....???

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
SMS 0195785596

Sunday, July 12, 2009

BLOG LIST AKHI MIZI

Oleh Akhi Mizi


BLOG LIST AKHIMIZI ini boleh dicapai di: http://akhimizilist.blogspot.com


PERSEPSI saya mudah, dengan mempunyai list sendiri mudahlah untuk saya 'melompat-lompat' berwisata di medan maya. Bahkan saya akan mendahulukan list Blog yang telah dikemaskini terlebih dahulu dan tidak perlu buka sia-sia dengan panduan Blog List ini.



Antara List yang boleh dicapai menerusi Blog List Akhi Mizi.


Melayari blog merupakan minat saya. Oleh sebab demikian saya mewujudkan lagi satu tapak yang mengandungi senarai blog yang saya ikuti. Menerusi blogspot, paparan blog yang dikemaskini akan dilaporkan secara automatik. Justeru, memudahkan untuk pelayar meninjau terlebih dahulu sebelum menjenguk masuk ke dalam ruang blog.
Saya mengaplikasikan supaya setiap blog yang disenaraikan dalam Blog List Akhi Mizi di http://akhimizilist.blogspot.com mudah ditinjau, diteliti dan dicapai. Ini adalah satu usaha yang memudahkan blog-blog yang banyak dilayari. Ada kalanya blog yang tidak terupdate pun disinggahi kerana hanya mengetik pada hyperlink tanpa melihat kepada Blog List. Dengan adanya Blog List, masa tidak akan terbuang begitu saja.
Kita pilih mana kita suka, kemudian barulah terjah...




Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
SMS: 019-5785596

Saturday, July 11, 2009

BARU LIMA TAHUN...

Oleh Akhi Mizi

Gambar 1: Tiga insan dalam gambar ini bolehkah meyakinkan diri untuk berjumpa dan makan seperti ini lagi? Ini kerana Hj. Rushdan akan menyambung PHD, Ustaz Nasir Awang akan ke KUIN sebagai Tutor, dan Ustaz Rokhaimi akan ke... mana lagi? hehehe. Sendiri mau ingatlah...


Gambar 2: Pada malam perjumpaan itu, aku pun meluahkan cerita yang terbuku di hati hal perjuangan j-QAF di Pulau Langkawi ini. Hj. Rushdan sentiasa duk kalut dengan Blog dia... blogsppimkedah akan terus beroperasi lagikah? Aku yang ajar dia buat blog, tapi sekarang dia jauh kehadapan daripada aku.


Gambar 3: Aku masih mencari sasaran sebenarnya aku sebagai guru. Matlamat dan sasaran mungkin banyak sebab itu aku tak dapat tembak... masih memilih dan mencari sasaran aku. Suatu hari nanti aku akan tembak juga.


TERINGAT pertanyaan seorang guru praktikum yang melapor diri menjalani praktikum di sekolah tempat saya bertugas, “ustaz dah berapa lama di sini?”

Dengan nada selamba saya menjawab, “baru lima tahun.”

Dia kemudian senyum, saya pun turut senyum membalas.

Benar. Saya sudah memasuki tahun ke-lima berkhidmat sebagai guru. Sudah menjadi sidikit senior dalam profesion ini. Bahkan dari aspek umur GST, guru-guru ganti, GSTT dan guru kontrak yang datang pada tahun ini kebanyakannya lebih muda berbanding saya.

Teringat masa mula-mula menjejak kaki ke sekolah tempat saya bertugas ini, sayalah antara orang yang muda pada kiraan usia dan pengalaman. Ketika itu saya masih bujang. Masih punyai tubuh badan yang cantik. Sekarang, bak sindiran sahabat Rokhaimi dalam blognyalah. Sendiri mau ingat...

Banyak yang berbeza jika dibandingkan dulu dengan sekarang.

Pada ketika itu sayalah antara orang baru dalam penglibatan sebagai guru. Tetapi sekarang sudah banyak berubah. Seperti berubahnya fizikal dan kehidupan saya. Biarpun saya sudah berganjak menjadi senior tetapi saya literalnya masih hijau. Dalam kata lain, senior yang belum cukup kemahiran dan masih sedikit pengalaman. Senior yang masih perlu belajar dan terus belajar.

Persepsi saya mudah saja, dalam profesion perguruan hanya guru yang mengamalkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dan mengambil peduli tentang aspek perancangan, pelaksanaan dan refleksi sahaja yang sentiasa memperbaiki diri, mempersiap dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik dan berkesan.

Semua itu bukan mudah. Hanya yang sebenar-benar guru sahaja yang memahaminya. Jika diperhatikan kepada ilmu pendidikan ia pada saya amat membantu. Apa juga konsep pengajaran dan pembelajaran yang ditemukan hasil praktikal di lapangan ia tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menjadi satu cara penyampaian ilmu agar jadi lebih baik dan berkesan.

Namun, apa yang perlu difahami bukan semuanya mampu dilaksanakan oleh guru. Misalnya P&P bestari yang memerlukan kepada guna pakai peralatan ICT @ TMK (Teknologi Maklumat & Komunikasi) hampir mustahil dapat dilaksanakan oleh setiap guru. Fasiliti yang disediakan di sekolah harian (bukan merujuk kepada sekolat elit) adalah terhad. Bukanlah niat saya untuk mencari alasan, tetapi kesimpulan yang perlu difahami adalah kita masih jauh ketinggalan menyediakan kemudahan pendidikan ke arah aspirasi sekolah bestari?

Seringkali guru dijadikan punca kepada kurangnya motivasi murid untuk belajar. Tetapi apakah tidak ada aspek lain yang menjadi sebab sampingan perkara tersebut? Jika hanya gurulah semata-mata puncanya tentulah guru juga punca kegagagalan masa depan.

Percayalah, sebagai guru tidak mungkin terpahat di sanubari untuk memusnahkan generasi dengan sengaja tidak mengajar. Sengaja tidak mengajar itu seumpama sengaja tidak masuk kelas.

Apakah kita sedar hal sebenarnya? Guru pada masa kini tidak hanya semata-mata mengajar. Ada berpuluh, beratus malah beribu peranan guru. Tetapi saya cukup kagum guru-guru biarpun difitnah dan ditohmah itu ini oleh anggota masyarakat tetap menjalankan tugas seperti biasa. Biarpun diuji dengan pelbagai situasi guru tetap teguh menjalankan amanah mendidik kerana mereka sedar mendidik itu adalah tugas yang mulia.

Melihat diri sendiri di sekolah tempat saya bertugas, saya bermuhasabah. Ada guru-guru yang lebih senior bahkan yang hampir ke era bersara pun ada. Ada yang masih muda baru mengenali pahit getir menjadi guru. Pelbagai ragam dan perangai pun ada. Tetapi, kita adalah kita. Selagi kita kenal diri dan berpegang dengan falsafah hidup yang benar kita tetap akan meneruskan perjuangan yang benar.

Banyak yang sudah berubah dan akan berubah sejak lima tahun ini. Ketika mula mendapat tawaran sebagai guru j-QAF dan ditempatkan di SK Padang Matsirat, saya banyak yang tidak itu. Begitulah resamnya orang baru. Tetapi sekarang alhamdulillah bolehlah sedikit sebanyak saya menbantu rakan-rakan lain. Sepanjang lima tahun ini saya perlu terima hakikat saya kehilangan beberapa perkara. Pertama saya kehilangan kawan baik saya dalam j-QAF iaitu Us. Nasir Ibrahim yang meninggal tahun lepas. Kedua saya telah kehilangan bos yang paling saya kagumi iaitu Hj. Mohd Rushdan Azizan yang akan menyambung pengajian di peringkat PHD. Sekarang saya sedang menelan kehilangan kawan-kawan seperjuangan yang sudah pun dapat tukar ke Tanah Besar sana meninggalkan Pulau Langkawi ini. Mereka adalah Malik, Aizul, Yusnita dan bakal menyusul ialah Syekh Nasir Awang. Mereka ini semuanya rapat dengan saya sebagai kawan seperjuangan. Banyak yang saya lalui dengan mereka. Ada yang jadi kenangan manis dan ada yang jadi kenangan pahit. Tetapi semuanya bermakna buat saya.

Saya masih bertuah kerana biarpun segalanya terpaksa saya telah, saya bersyukur kerana Rokhaimi dan Bashir Auni masih ada di Padang Matsirat. Selain itu Johari, Zul dan Dhiyauddin pun masih ada di Kuah. Maknanya masih di Langkawi. Bila ingatkan semua kawan-kawan saya ini saya rasa macam baru semalam mengenali mereka tetapi persahabatan yang terbina amat bermakna. Banyak yang sudah berubah seperti yang Rokhaimi tulis dalam blognya. Bertakung air mata saya baca blog Rokhaimi kerana apa yang ditulisnya itu adalah hakikat yang pahit perlu ditelan. Antara pertemuan dan perpisahan.

Dulu saya cukup takut dengan pegawai-pegawai dari PPD dan JPN. Apatah lagi kalau masuk bab pemantauan. Tetapi yang nyata ketakutan itu kadang-kadang hilang begitu sahaja dengan keramahan mereka. Saya cukup kagum dengan pegawai-pegawai ini bila mereka bersikap mesra dan ramah dengan guru biasa seperti saya. Bahkan ada antara mereka ini yang murah hati belanja makan guru biasa seperti saya. Saya rasa syukur dan bertuah. Biarpun Hj. Rushdan meninggalkan kerusi pegawai j-QAF dan berganti dengan Ustaz Musa dan kemudian sekarang ini Ustaz Somad, saya tetap juga beranggapan ketiga-tiga mereka tetap ada hubungan dengan j-QAF. Bukan itu saja, Ustaz Ismail Yahya, Ustaz Khairul Anuar dan Ustaz Mahir pun sama juga. Dalam MTQ Warga Pendidikan di Langkawi baru-baru ini saya berasa wujudnya saya di kalangan mereka. Satu perasaan yang sukar digambarkan.

Kalau ikutkan hati memang rasa lemah semangat sebab Hj. Rushdan akan meninggalkan kerja-kerja j-QAF dengan kami yang masih berjuang. Masih belum tahu kalah menang. Saya sematkan di hati, jangan kita pedulikan desakan diri, jadi guru memang tak boleh jadi kaya. Nak berumah besar, kereta mewah belum tentu. Jangan terkalah dengan desakan luar, jadi guru dan berkerja bukan semata-mata untuk habuan dunia. Jangan harap sangat pada kenaikan pangkat. Jangan harap sangat pada kenaikan itu ini, lulus PTK atau tak lulus itu bukan alasan untuk patah semangat dan putus asa. Lantaran sebenarnya jadi guru kita akan menjadi mulia.

Baru lima tahun, ada berpuluh-puluh tahun lagi di hadapan. Benarlah, perjalanan masih jauh dan berliku.




Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/