Tuesday, October 27, 2009

PUTERI KAMI: AINNUR RAIHANA

Oleh Abu Naufal

Ainnur Raihana Binti Ahmad Tarmizi nama diberi. Dilahirkan pada pagi 20 Oktober 2009 pada jam 3.37 pagi. Inilah antara gambar yang sempat diambil oleh saya untuk diabadikan dan dikongsi bersama para pengunjung. Ada juga yang bertanya-tanya cerita kelahiran. Itu nanti insyaAllah akan saya tulis kemudian. Buat masa ini masa belum mengizinkan. Sedang menanda kertas peperiksaan akhir tahun 2009. Kertas Bahasa Arab tahun 4 dan 5.



Ainnur Raihana ketika dilahirkan. Masih dalam Labour Room. Buat kali kedua saya masuk menemani isteri untuk memberikan semangat dan dorongan.

Ainnur Raihana setelah dibersihkan dan dimasukkan ke wad bayi "Specialist Babay Care" di Hospital Langkawi untuk pengawasan.



Tangan kanan Ainnur Raihana terkeluar dari balutan bedungnya.


Menongkat pipi tembamnya.


Lebih jelas.



Dalam wad sambil lena.


Hari ke-3, wajah semakin cerah.

Kasihan Ainnur Raihana ditahan di wad selama 5 hari untuk pengawasan.



Ini adalah wajah hari ke 7, seminggu selepas dilahirkan. Muka macam siapa ya? hehe





Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
0195785596

Saturday, October 17, 2009

MEMORI HARI 16 OKTOBER

Oleh Akhi Mizi

SETIAP memori adalah sangat berharga. Ia jika tidak diabadikan dalam kantung kehidupan supaya kekal dalam lembar ingatan, barangkali akan terlupa oleh berlalunya waktu. Pada tahun ini Memori Hari 16 Oktober diabadikan di blog saya ini. Hidup makin bermakna tetapi bahagia tetap dicari.


Gambar 16 Oktober keluarga tercinta: Akhi Mizi, Ukhti Jazirah dan Ahmad Naufal Alwafi.



Sengaja abadikan kenangan Isteri tercinta yang sarat hamil anak ke-2 kami sambil mendukung Ahmad Naufal Alwafi di depan Honda City 1.5 vtec. Ketika ini telah cukup 9 bulan.


Kek Hari Lahir saya yang disediakan oleh isteri tercinta (ops, bukan buat sendiri, sendiri mau ingatlah Saleha Bakery sebelah tu je) ketika menyambut Ulangtahun kelahiran saya yang ke-29 di D'sa Penarak Restaurant, Langkawi.


Puan yang beli kek pun nak ambil gambar kenangan juga. Maklumlah 17 Disember nanti bolehlah banding Kek yang Akhi Mizi nak buat pulak, Haha... (Buat apa besar-besar, makan 3 beranak je. 17 Nanti 4 beranak lah)




Majlis potong kek. Terpaksa pegang tangan Naufal kalau tidak habislah... Potong guna sudu je, pisau tak dapat sebab beli kek kecil.


Lepas potong kek barulah order sampai. Hah, inilah hidangan santapan hari lahir. Hehe


Besar tak ikan siakap ni? Teka masak apa? 3rasa? Hehe... betui3x. 640g untuk 3 mulut. Mulut Naufal kecil je, mulut baba dengan ummi dia lah, haha... lu fikir la sendiri.



" Test, test... masak ke idak ni?" hehe...



Separuh masa pertama, ikan siakap telah cerah sebelah dibalun. Sambal belacan duk tera tu juga, hehe... kalau di rumah sambal belacan yang cerah dulu.



Akhirnya, berjaya juga menghabiskan isi ikan siakap ni. Ada lagi 1 gambar tapi tak dimasukkan sebab lepas ni "Baba" lah pulak ambil giliran. Tinggal yang tak boleh masuk perut saja.. Haha, sendiri mau ingat la.


Memang seronok 16 Oktober tahun ini. Mujurlah isteri pun belum beranak lagi. Anak pun sudah sihat. Saya pun makin sihat. Tahun depan apalah agaknya ceritanya.
Salam.


Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Monday, October 12, 2009

BENARKAH GURU j-QAF MALU MENGAKU DIRI GURU j-QAF?

Oleh Akhi Mizi

TIDAK pernah saya fikirkan dengan begitu serius. Tetapi ada ketikanya terfikir juga di benak rasa persoalan ini. Benarkah Guru j-QAF malu mengaku diri Guru j-QAF?


Gambar hiasan: Kem Literasi Al-Quran Daerah Langkawi. Antara memori terindah saya sebagai guru j-QAF.

Bagi diri saya; tidak pernah rasa malu atau rendah diri untuk mengakui diri sebagai guru j-QAF. Cuma ada ketikanya saya memperkenalkan diri saya sebagai guru Bahasa Arab kerana memuliakan opsyen saya yang sebenar. Hakikatnya sama ada Guru yang mengajar Pendidikan Islam atau Bahasa Arab kedua-duanya adalah Guru j-QAF yang sama. Guru yang memikul amanah dan tanggungjawab yang sama. Guru yang berkhidmat untuk memperkasa Pendidikan Islam khususnya di Malaysia tercinta.


Terkejut saya bila baru-baru ini dalam Kursus Khas ada yang menyebut kononnya Guru j-QAF malu untuk mengaku diri Guru j-QAF? Kenapa perlu malu? Dirungkaikanlah beberapa sebab antaranya kerana Guru j-QAF ini mengajar di sekolah rendah, tidak setaraf dengan nilai ijazah yang diperolehi, ilmu tak berkembang kerana tiada cabaran.


Saya cuba menyelami diri sendiri. Saya sendikit pun tidak berasa malu menjadi Guru j-QAF.


Mungkin ada orang beranggapan malu. Malu; barangkali kerana guru j-QAF itu statusnya adalah guru yang mengajar subjek agama atau Pendidikan Islam di sekolah rendah. Mungkin juga malu kerana tiada berupaya untuk trampil dengan gaya pemakaian seorang ustaz atau ustazah. Persoalannya bagaimana rupanya trampil ustaz dan ustazah itu?


Di Malaysia, persepsi kebanyakan masyarakat kita adalah jumud. Orang agama, kalau ustaz mesti berkopiah sentiasa, berkemeja lengan panjang atau baju melayu cekak musang, atau bertelok belanga, berkain pelikat, berjubah, berserban dan berwatak slow dalam segala segi. Kalau ustaz tidak memakai kopiah, mungkin orang akan anggap itu bukan ustaz yang sebenar. Apakah situasi ini yang menghantui guru j-QAF?


Empat tahun berkelana di Mesir. Saya telah melihat rupa Islam diamalkan dengan cara yang terbuka. Bukan mencari talfiq semata-mata dengan mengambil qaul mudah sahaja, tetapi mengamalkan Islam dengan cara yang wasatiah. Di Mesir, kami pelajar Malaysia juga terkena tempias budaya dan persepsi orang Malaysia. Terutamanya golongan siswi, tetapi bukanlah seluruhnya. Ada yang beranggapan golongan tidak berkopiah ini sebagai kurang atau tidak thiqqah.


Hakikatnya apakah kita telah benar-benar memahami Islam? Mengapa disukarkan Islam yang sifatnya Yusr (mudah)? Mengapa dibekukan Islam yang sifatnya Murunah (fleksibel)? Mengapa disempitkan Islam yang sempitkan Islam itu sehingga menjadi kurang menarik kepada golongan yang boleh diseru kepada Islam.


Ustaz j-QAF atau Guru j-QAF adalah insan yang sama. Adakah berbeza? Guru dan Ustaz itulah pendidik, pengajar, muaddib dan mursyid yang memikul beban yang sama. Jika Ustaz itu tidak berkopiah, tidak berserban, tidak berjubah janganlah dianggap bahawa dia bukan ustaz. Dalam masa yang sama ustaz-ustaz yang tidak berkopiah, tidak berserban dan tidak berjubah itu pula janganlah malu untuk mengaku diri adalah Guru j-QAF.


Guru j-QAF inilah yang telah menukar rupa Guru Pendidikan Islam di sekolah dengan rupa yang baru. Kalaulah polemik GPI yang dulu-dulu dibincangkan semula dan Guru j-QAF itu pun tidak mampu menukar rupa GPI, kita sedang menuju kehancuran.


Ayuh, Guru j-QAF bangun dan berkatalah " saya adalah guru j-QAF, saya berjuang untuk Islam kerana Allah."



Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Saturday, October 10, 2009

BARU LIMA TAHUN... (Siri 3)

Oleh Akhi Mizi




Keluargaku: Gambar Aidilifitri pada tahun ini (1430H)


Ayah dan emak yang sentiasa bahagia.


Keluarga kecil saya bersama ayah dan emak di pagi hari raya 1430H/2009.


Setia: Ayah menemani emak di wad semasa menjalani perawatan di Hospital Langkawi.



Kakak: memberikan emak semangat untuk rawatan yang akan dijalani. Ketakutan dan kerisauan pada wajah emak membuatkan aku sayu. Air mata tiada harganya.
**************
SUDAH agak lama juga saya tidak menulis catatan di blog. Sehinggakan ada kawan-kawan, teman-teman yang menghantar e-mel, sms dan menelefon bertanyakan tentang kemaskini (update) catatan terkini, bila hendak diterbitkan (publish). Terima kasih kepada kawan-kawan yang ingat kepada blog saya. Tetapi maaflah kerana saya membuatkan kalian menunggu.

Saya tahu jemunya bila masuk ke blog yang kita suka baca tetapi TANPA UPDATE. Berkali-kali bukan sekali. Namun, apakan daya. Bukan tidak mahu menulis. Bukan merajuk. Bukan takut. Bukan hendak berhenti. Sebenarnya saya memang hendak menulis. Memang sangat-sangat hendak menulis. Banyak yang berlaku dalam hidup saya sepanjang saya tidak menulis. Ada yang berbentuk nikmat, ada yang berbentuk ujian. Ada yang menguja diri, ada juga yang mengguris hati. Namun, itulah kehidupan. Ia tidak semuanya manis. Hakikat yang perlu ditelan itu ada kalanya pahit.

Bila saya hendak manulis semula hari ini, saya tidak menemui tajuk untuknya. Teringat saya pada catatan BARU LIMA TAHUN yang saya janjikan ada sambungan siri-3. Dua catatan yang lalu tentang tajuk itu saya kaitkan dengan tugas saya, tetapi kali ini saya akan menulis yang menjurus kepada kehidupan peribadi saya sendiri. Agak berbeza, mungkin ada lagi catatan-catatan dengan tajuk ini BARU LIMA TAHUN kemudian ini.

Duduk sendiri tengah-tengah malam saya muhasabah diri. Mengimbau kembali bagaimana rupanya saya sebelum bergelar guru. Bagaimana rupanya saya sebelum berkahwin dan mempunyai anak. Ada senyum terukir di bibir. Apa tidaknya, dulu fizikal saya berbeza dengan sekarang. Begitulah kehidupan. Tahun-tahun yang lalu ia telah pun berlalu. Untuk kembali ke tahun-tahun lalu adalah mustahil. Kita tidak punya mesin masa untuk ”back to the future”. Kita juga tidak boleh memutar kembali masa-masa yang telah berlalu. Kalaulah kita boleh, tentunya banyak perkara dalam hidup kita yang silap dapat diperbetulkan, diperbaiki. Masalahnya ketika keputusan itu diambil kita sendiri pun tak tahu apakah suatu masa nanti keputusan itu menjadi salah.

Realitinya, apa yang kita miliki hari ini adalah kurniaan Tuhan yang wajib kita syukuri. Seandainya kita bersyukur, pasti Tuhan akan menambahkan nikmatnya. Tetapi sekiranya kita tidak bersyukur (kufur nikmat) sesungguhnya azabNya amat pedih. Janganlah dipedulikan orang lain tentang nikmat yang mereka dapat. Janganlah dibanding-bandingkan. Boleh jadi mereka mendapat nikmat yang besar, mereka itu juga mendapat dugaan dan ujian yang besar.
Bercakap tentang ujian dan dugaan ini, saya cukup kagum dengan mereka yang dapat melalui ujian dan dugaan Allah dengan cekal, sabar dan tabah. Bahkan mereka yang kuat iman bertambah taqwanya kepada Allah dengan cubaan, ujian dan dugaan ini. Setiap manusia ada ujiannya yang tersendiri. Dalam Al-Quran pun Tuhan memberikan contoh-contoh ujian seperti ketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda, kematian, kesakitan, kerugian dan sebagainya. Bahkan dalam sirah dan sunnah pun banyak contoh yang diperlihatkan kepada kita.

Dalam lima tahun menjadi guru ini sudah banyak juga nikmat dan ujian yang telah dan sedang saya lalui. Bersilih ganti antara nikmat dan ujian itu. Ada kalanya air mata pun tumpah mengalir. Ada kalanya emosi terusik. Nubari terluka. Ada ketikanya pula pelbagai rasa tumbuh dan melata dalam jiwa, berselirat dan berselingkit dalam rasa.

Tentulah sudah banyak perkara yang dilalui dan ditempuhi sepanjang lima tahun ini. Bukan sahaja dalam kerjaya perguruan, bahkan kepada kehidupan keluarga dan bermasyarakat. Ada masanya saya futur kepada perjuangan. Merasa letih, penat, lelah dan putus asa. Tetapi tidaklah sampai ke tahap benci. Perjuangan mendidik ini bukan sekadar pergi sekolah 7.30 pagi pulang 2.30 petang. Ianya lebih dari itu. Kehidupan seluruhnya berfikir, mencatur, menyusun strategi untuk membebaskan anak-anak murid dari belenggu kejahilan. Menyusun kepribadian mereka menjadi anak soleh yang kelak di akhirat bila ditanya apakah yang telah saya lakukan di dunia, amalan saya akan membebaskan saya dari api neraka.

Kehidupan saya sejak akhir-akhir ini amat sukar, genting dan kritikal. Ujian-ujian Allah yang datang bersilih ganti. Memang mencemaskan. Dalam sepanjang masa itu, saya Cuma berharap saya sabar, cekal dan tabah melaluinya. Ujian-ujian Allah ini barangkali adalah kifarah untuk menyucikan dosa-dosa yang telah lalu.

Beberapa hari sebelum menjelang Aidilfitri, saya demam kemudian batuk dan selsema. Diikuti dengan anak dan beberapa ahli keluarga yang lain. Mujurlah demam anak tidak teruk. Kebah selepas mendapat rawatan dan ubat di Klinik Delima. Selsema saya berlanjutan. Mak saya pun demam pada akhir Ramadhan. Entah mengapa sejak awal Ramadhan lagi saya telah merasakan Aidilfitri tahun ini tidak terasa seronoknya. Baju raya pun dibeli hampir akhir Ramadhan.

Hari raya kedua, segalanya terungkai. Mak saya dimasukkan ke wad. Penyakit lamanya datang kembali. Kanser yang amat amat merbahaya kepada semua wanita. Perawatan berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan. Macam-macam yang dijalani emak. Dari ubat sampailah ke rawatan kimoterapi. Jadual rawatan akan diteruskan untuk menjalani Radioterapi pula di Pulau Pinang. Tetapi belum dapat tarikh lagi. Sekarang ini mak berehat di rumah.

Dalam situasi begini, saya pula dapat surat untuk berkursus di Sungai Petani. Isteri sudah masuk usia 9 bulan kehamilan. Anak pula masih kecil dan memerlukan kepada perhatian. Kasihan isteri, anak dan mak kalau saya berkeras hati juga hendak pergi berkursus di Sungai Petani. Saya terhimpit dengan situasi. Emak pun mengharapkan saya di sisinya memberikan dia sokongan dan dorongan. ”Birrul walidain” itu adalah satu kefardhuan.

Saya segera teringatkan hadis tentang seorang pemuda yang datang bertemu dengan Rasulullah kerana hendak pergi ikut rombongan jihad berperang pada jalan Allah. Pada ketika itu Rasulullah bertanyakan kepadanya tentang ibu bapanya, kemudian Rasul menyuruhnya pulang dan memelihara ibu bapanya lantaran jihadnya pada ketika itu adalah ’birrul walidain’ berbakti kepada ibu bapanya bukannya pergi angkat senjata berperang.

Dalam situasi saya pada ketika itu, saya mendapatkan pendapat beberapa orang kawan. Ternyata, apa jawapan mereka seperti yang saya duga.

Kemudian saya mendapat makluman bahawa kursus yang sama akan diadakan di Langkawi iaitu siri 3. Lantas saya pun menghubungi pegawai yang terlibat. Setelah beberapa proses alhamdulillah saya dicalonkan untuk mengikuti kursus di Langkawi di Pusat Latihan Hotel Chandek Kura. Sekurang-kurangnya pertama saya dapat ikuti kursus walaupun keadaan kesihatan saya yang agak kurang memuaskan, (selsema dan batuk) dan kedua saya boleh standby untuk apa-apa kemungkinan tentang anak, isteri dan mak saya.

Segalanya berjalan dengan elok walaupun saya sakit. Tekak saya bagai nak pecah. Batuk bersilih ganti dalam dewan kursus. Hari pertama kursus malamnya, isteri demam. Badannya panas. Mujurlah demamnya tidak teruk. Esoknya anak saya pula panas badan. Mujurlah ubat masih ada yang diambil seminggu lepas. Selepas diberikan ubat, masih tidak berkurang. Hari ke-tiga anak batuk lebih teruk. Selepas selesai sahaja kursus saya terus saja pulang untuk membawa anak ke klinik untuk ambil ubat.

Di klinik lain pula ceritanya. Doktor menyarankan saya memasukkan anak ke wad. Tetapi selepas memberikan bantuan oksigen, anak nampak sikit pulih. Mujurlah belum teruk. Kalau lewat lagilah teruk. Sudah saya berkursus, terpaksalah tunggu sampai habis kursus. Doktor menyarankan kalau nampak semakin teruk terus saja dibawa ke wad. Alhamdulillah semakin pulih setelah itu. Dua hari saya bercuti untuk menjaga anak. Kebetulan saya pun batuk dan sakit tekak. Suara hilang. Berkorban demi anak dan isteri tercinta tiada terasa apa kerana mereka adalah segalanya.

Segalanya sudah semakin pulih. Ujian ini diberika kepada saya dan keluarga. Kamilah yang merasainya. Orang lain tidak tahu. Mereka Cuma pandai bercakap. Kadang-kadang mereka simpati tetapi entahlah ikhlas atau tidak. Paling teruk ada yang mempertikaikan.

Teringat saya orang yang pandai jawab ini. Bila saya kata mak saya sakit, dia jawab maknya, mak orang lain pun sakit. Bila saya kata isteri dah kena standby untuk kelahiran, dia kata yang due belum sampai tak akan beranak lagi. Apakah dia tahu bila tarikh isteri saya akan beranak? Cakap saja pandai, otak macam tak ada. Bila saya kata anak saya tidak sihat dan demam dia pula kata anak isteri boleh tolong jaga. Isteri saya sarat mengandung, dia tahukah berapa teruknya orang mengandung. Apakah dia pernah mengandung? Apakah dia pernah merasai apa yang orang lain rasai? Dia cuma pandai cakap sahaja. Bila saya kata saya pun demam mulalah dia anggap saya ni kaki auta. Sebenarnya memang saya tidak sihat. Tetapi saya gagahkan juga hadiri kursus itu. Saya tidak mahu jadi orang yang dianggap bukan-bukan. Saya bukan kaki MC. Cubalah cek kalau saya pernah MC sepanjang berkhidmat. Saya lebih rela ambil CRK.
Orang yang pandai cakap ini mungkin dia tidak pernah diuji. Orang yang rasa ibtila' Tuhan akan tahu dan mengerti. Bukan semua perkara boleh diselesaikan oleh manusia. Bagi saya kembalikan kepada Allah. Jika dia mahu segalanya akan jadi.

Biarlah segalanya saya tanggung sendiri. Tak perlu mengadu dan berkongsi dengan orang kepala batu. Benarlah baru lima tahun. Baru hendak membina keluarga. Anak-anak masih kecil. Baru hendak membina kerjaya. DG41 paling rendah dalam kumpulan profesional. Jangan cakaplah tentang APC tak pernah dibayangkan pun. Cukuplah kalau Tuhan boleh menjadikan saya ikhlas dalam setiap kerja saya dan memberikan hidayah dan jalan keluar atas segala masalah. Saya langsung tidak berharap kepada apa-apa yang tidak pasti. Cukuplah kalau saya boleh berjuang dengan ikhlas.
Tuhan boleh memberikan apa sahaja sama ada nikmat atau ujian. Dia yang menjadikan dia yang meniadakan. Doa dan harapan saya, semoga Tuhan menjadikan saya orang yang bertaqwa.


Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
sms: 0195785596