Tuesday, September 6, 2011

ZAMAN BERBLOG SUDAH BERLALU?

Assalamualaikum warahmatullah,

SETELAH sekian lama menyepikan diri dari dunia blog, akhirnya saya mengambil keputusan untuk kembali atau dalam istilah yang digunakan ialah "come back". Sebenarnya dunia blog adalah dunia saya sejak berada dalam pengajian di Universiti Al Azhar lagi. Sejak Jun 2002 saya sudah pun menulis di internet.

Saya masih ingat pada ketika itu, saya adalah antara blogger awal Malaysia. Bahkan antara yang terawal di kalangan pelajar Al Azhar. Ketika orang-orang lain sibuk dengan Mirc dan Yahoo Mesengger, saya sudahpun mempunyai blog sesawang yang aktif dan diikuti dan dibaca oleh pelayar internet di serata dunia.

Pada ketika itu, saya seperti orang lain... menjadikan blog sebagai dunia diari online untuk catatan kehidupan peribadi. Setelah beberapa waktu, penulisan blog semakin matang. Ia bukan hanya menjadi tempat longgokan cerita-cerita biasa sahaja bahkan ia telah menjadi sebuah medium yang mempunyai tema masing-masing.

Ada penulis yang berjinak dalam dunia blog menjadikan blog sebagai medium penulisan dan karyanya. Ada ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah pula menjadikan blog sebagai medium dakwah. Ada kalangan cerdik pandai yang berjawatan dalam sektor awam menjadikan blog sebagai tempat menerbitkan hasil karya mereka sendiri dalam bentuk yang pelbagai antaranya sebagai komentar sosial.

Blog yang dulunya pada zaman saya mulai mengenali diari online lebih senang dipanggil sebagai jurnal online. Ketika itu saya masih ingat, kumpulan bloger Malaysia yang terawal dan berpengaruh ialah Geng Jernel. Saya sendiri pun tidak pasti adakah kumpulan itu masih wujud dan berpengaruh kerana saya sendiri tidak pernah menghadiri apa-apa perkumpulan yang dianjurkan. Tetapi ramai jugalah kawan-kawan maya saya ketika menjadi ahli kumpulan tersebut. Saya masih ingat antaranya ialah Mat Jan, Tok Rimau, Rudy Bluehikari, Fajar, Encik Khairul dan lain-lain. Mereka ini antara pejuang-pejuang awal dunia blogger di Malaysia. Kumpulan ini mempunyai entiti tersendiri dan juga mempunyai jawatankuasa dan pemilihan tahunan. Bergerak sangat aktif di Malaysia suatu ketika dahulu. Tetapi sekarang entahlah khabarnya.

Sejak Jun 2002 saya menulis secara online kerana kepuasan dan minat. Sokongan dan dorongan rakan-rakan blogger amat memuaskan. Sehinggalah saya pulang ke Malaysia, berkerja sementara dan mempunyai pekerjaan tetap sebagai guru saya masih meneruskan minat saya sebagai penulis blog. Namun, tidaklah serancak dahulu.

Nama-nama yang terkemudian muncul dalam dunia blogger dan mempunyai pengaruh tersendiri, tidak kiralah siapapun mereka sama ada ahli politik, ulamak, penulis, wartawan, guru, doktor dan sesiapa sahaja. Sehinggalah suatu hari saya mendapat suatu idea untuk menjadikan dunia blog sebagai salah satu dunia interaksi antara guru dengan pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Pada ketika itulah saya mencerminkan idea saya kepada Tn. Hj. Mohd Rushdan Bin Azizan yang ketika itu adalah Pegawai j-QAF di SPPIM JPN Kedah. Ternyata, beliau berminat dan bersungguh-sungguh mempelajarinya. Suatu hari saya dipanggil ke JPN untuk memberi tunjuk cara kepada pegawai-pegawai di SPPIM (kini SPI) JPN Kedah. Hasilnya saya lihat ramai juga pegawai-pegawai di SPPIM JPN yang mempunyai blog masing-masing.

Dengan tanpa diduga... banyak pula setelah itu tumbuh blog-blog Panitia Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan j-QAF di serata pelusuk negeri khususnya dan di serata pelusuk negara pada masa yang sama. Ternyata sesuatu yang amat di luar jangkaan.

Ketika orang lain sibuk mengupdate dan mengubahsuai blog-blog mereka saya mengorak satu lagi langkah dengan mewujudkan Portal Download E-Jazirah Online. Saya kira ianya antara portal download peribadi antara terawal yang menyediakan bahan-bahan untuk kegunaan guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah kebangsaan khususnya guru-guru j-QAF.

Tidak lama setelah itu, dunia blog sudah tidak diminati lagi. Entah mengapa, saya pun tak tahu. Akhirnya semakin mati.

Untuk ia hidup semula, entahlah... tetapi saya akan terus berblog kerana ia adalah dunia saya.
Kawan-kawan yang lain.... kalau nak ikut jangan ikut orang tapi ikut diri sendiri.

Salam juang mustamir.


Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.


Ustaz Ahmad Tarmizi Bin Ismail
akhimizi80@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/