"Setiap yang benar walau sepahit apa pun tetap benar. Setiap yang salah biar semanis apa pun tetap salah. " - AKHI MASRAWI
Sunday, February 22, 2009
TERKENANG YANG BAIK-BAIK
SAYA sendiri sedar perubahan berlaku pada otot-otot wajah saya ketika membaca semula catatan-catatan saya yang lepas-lepas, terutamanya catatan-catatan selepas bergelar guru j-QAF. Dahi saya mengerut, muka mencuka, mata mengecil dan dada resah. Ironisnya saya sendiri tidak faham mengapa kebanyakan catatan saya itu menatijahkan hal demikian. Justeru, saya hendak berhenti menulis.
Berhenti menulis yang saya maksudkan adalah menulis realiti yang kebanyakannya adalah umpama bara yang membakar. Ia bukan sahaja membakar sesuatu tetapi membakar diri juga. Realiti yang saya tulis kebanyakannya sukar diterima dan ditelan. Ini kerana memang kita sukar untuk hidup mendepani realiti yang sukar-sukar ini. Realiti yang tidak enak ini kita semua memang tidak mahu, tetapi hakikatnya bukan semuanya indah seperti yang diaspirasikan.
Dunia pendidikan pada saya patut diterjemahkan dengan merakamkan perkara-perkara yang enak dan lazat. Lantas saya terkenangkan catatan-catatan saya semasa zaman belajar dahulu. Entah mengapa, saya sendiri tidak jemu membaca cerita sendiri. Mungkin kerana kebanyakan catatan itu adalah catatan yang menyenangkan dan baik-baik sifatnya.
Saya mempunyai pilihan. Sama ada hendak terus membongkar realiti yang pahit-pahit atau menulis yang molek-molek dan indah-indah. Semuanya terpulang kepada diri. Kerana wacana bukan sempit.
Rehat. Masa akan tamat. 10 minit lagi kembali ke kelas. Formaliti bukan cara saya. Saya suka cara santai. Saya hendak berhenti menulis.
Tetapi bukan bermakna saya hendak berhenti menulis semuanya. Kerana menulis itu adalah minat dan perjuangan saya.
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.
Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
Tuesday, February 17, 2009
BERHENTI MENULIS
SAYA mahu berhenti menulis. Benarkah? Ya benar. Memang benar. Tapi sekarang ini pun bukankah saya masih menulis?
Sebenarnya saya menipu diri sendiri jika saya nyatakan saya mahu berhenti menulis kerana menulis kepada saya adalah sesuatu yang tidak mungkin saya tinggalkan. Jika begitu kenapa tidak menulis? Menulislah dan teruskan menulis.
Biarkanlah apa pun tanggapan orang. Menulislah terus. Itulah desakan yang saya dapat sebagai motivasi sedangkan mereka sedikit pun tidak fikir, akibat yang terpaksa ditanggung penulis. Bukti-bukti yang ada di sekeliling sudah jelas, jadi benarlah saya memang mahu berhenti menulis.
Penulisan realiti, adalah genre yang berbahaya kepada penulis. Apa gunanya menulis jika sudah tahu bahaya di hadapan. Lebih baik saya tumpukan kepada kerjaya saya sebagai seorang guru. Kerja-kerja pun banyak dan ada yang terbengkalai.
Penulisan adalah bidang sampingan. Saya akan terus menulis dalam genre yang kurang berisiko. Pastinya genre kreatif dan genre ilmiah.
Justeru, sekarang ini saya nekad.
Blog ini akan berubah lagi sekali pengisiannya. Maaf, jika ia tidak memenuhi citarasa anda.
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.
Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
Monday, February 2, 2009
ASPIRASI DAN REALITI: ANTARA KEMAHUAN DAN KEMAMPUAN
TIDAK semua orang suka situasi serius ketika berbincang. Ada orang yang lebih suka cara santai dan kelihatan tidak formal. Bahkan itulah yang majoritinya. Meskipun sebenarnya masih ada yang suka cara serius kerana pada mereka cara serius itulah cara terbaik.
Masing-masing kita mempunyai persepsi yang berbeza. Jangan salahkan perbezaan itu, kerana ia memang diciptakan Tuhan untuk kita berfikir.
Bagaimanapun saya sukakan cara santai kelihatan tidak formal dan mesra ketika berbincang. Ini bukanlah bermaksud dalam semua situasi lantaran pada situasi tertentu kita memangnya perlu serius.
Saya cuma boleh meneka, tidak semua guru j-QAF baik GDL mahupun guru yang telah berstatus GST atau PPPS memahami 100% pelaksanaan program j-QAF. Barangkali buku panduan dan model-model P&P Kurikulum dan Ko-Kurikulum j-QAF pun tidak dihadap dengan berkesan. Setelah itu, muncullah masalah dari sudut pelaksanaan.
Sebenarnya siapa-siapa pun sama. Buku panduan yang tebal itu mustahil dibaca dari kulit depan ke kulit belakang. Jika ada pun mungkin 1 dalam seratus. Siapa minat hendak baca semuanya? Belum lagi ditambah dengan masalah buku tersebut tidak sampai ke sekolah. Walhal, ia sepatutnya sampai.
Mustahil setahap manapun, tugas tetap tugas. Pelaksanaan tetap perlu dilakukan. Biar apa rintangan dan halangan.
Atas alasan itu saya sering mengaitkan dalam penulisan saya, persepsi mahupun aspirasi kadangkala tidak dapat menjadi realiti kerana kadang kala realitinya berbeza. Namun, ia bertitik tolak atas dua alasan iaitu kemahuan dan kemampuan.
Saya yakin, majoriti guru j-QAF mempunyai kemahuan yang positif. Tetapi persoalannya apakah mereka mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya?
Jika sekolah yang kecil saiz kelas serta murid tentu tidak jadi masalah. Tetapi jika sekolah yang besar jumlah kelas dan murid, jawablah sendiri adakah guru-guru mempunyai kemampuan untuk melaksanakan model-model j-QAF. Sebenarnya mereka ada kemahuan untuk buat, tetapi kemampuan tidak sampai.
Bak kata pepatah, "orang rajin mencari jalan, orang malas mencari alasan."
Benarkah?
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.
Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
Tuesday, January 20, 2009
BAGAIMANAKAH MASA DEPAN PROGRAM j-QAF?
Soalan yang sama pernah diulang baca oleh Al-Fadzil Ustaz Nahwiyuddin dalam majlis penutupan Kursus Khas GPI program j-QAF Fasa 1 di INSPIN, Alor Star pada November lalu. Katanya, soalan itu ditanyakan seorang peserta yang menghadiri kursus sama anjuran sebuah PPD.
Saya masih ingat. Katanya j-QAF akan terus berjalan kerana ia sudah menjadi dasar. Jika tidak silap begitulah bunyi jawapan beliau. Syukur.
Alhamdulillah, nampaknya masa depan program j-QAF akan terbela. Namun, siapa pula yang akan membela kebajikan dan masa depan guru-guru yang melaksanakan program j-QAF ini? Selepas 2010 guru j-QAF barangkali akan menjadi sebuah komuniti yang majoriti dalam institusi keguruan. Nampaknya kuasa meminta dan menentu akan mengakrabi komuniti ini, insyaAllah. Dan komuniti ini akan bertambah perkasa lagi bila ia menjadi komuniti Pendidikan Islam dan Bahasa Arab yang menggabungkan kesemua GPI dan GBA serta GJQ.
Apakah kita boleh menentukan iklim masa depan?
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.
Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
Thursday, January 15, 2009
TUGAS-TUGAS KHAS DI SEKOLAH
SAYA menulis senarai tugas-tugas saya di sekolah ini bertujuan menjadi rujukan saya untuk mengingati diri sendiri:
Pengajaran & Pembelajaran (P&P):
1. Guru Bahasa Arab Tahun 5
2. Guru Pendidikan Islam Tahun 4
3. Guru Pembimbing Tasmik
Panitia Pendidikan Islam (Unit j-QAF):
1. Penyelaras Bahasa Arab (Panitia)
2. Guru data j-QAF
3. Fasilitator KBS/KeLaQ
4. AJK Panitia
Tugas-tugas Khas:
1. AJK Lembaga Tatatertib sekolah
2. AJK ICT
3. AJK Induk HEM
4. AJK Badan Pengawas Sekolah
5. AJK Kantin sekolah
6. AJK Susu Sekolah
7. Setiausaha JK Disiplin Sekolah
8. AJK Surau Sekolah
Kokurikulum:
1. Guru Penasihat PBSM
2. Guru Penasihat Kelab Alam Sekitar
3. Guru Penasihat Kelab Bola Sepak
Majlis Sukan Sekolah:
1. Guru rumah Tuah (Merah)
2. Guru Permainan Bola Sepak
3. Guru Permainan Badminton
Di peringkat Daerah dan negeri belum tahu lagi. Yang pasti setakat ini Status KEKAL sebagai Webmaster Sektor Pendidikan Islam, JPN Kedah. Semalam dapat panggilan daripada Ustaz Hj. Mohd Rushdan Azizan, SPI JPN Kedah memaklumkan pengekalan status sebagai Webmaster http://sppimked.bravehost.com/ dan http://e-jazirah2u.bravehost.com/ di samping Web-web dan Blog-blog yang lain.
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.
Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
Wednesday, January 14, 2009
GURU j-QAF: STATUS LUAR NORMA
SAYA masih ingat dengan pasti semasa menghadiri kursus kurikulum anjuran JPN, kami guru-guru j-QAF dimaklumkan bahawa status kami di sekolah adalah sebagai guru luar norma. Walaupun konsep guru luar norma kurang difahami, tetapi saya beranggapan bahawa guru luar norma ini adalah guru yang tidak seperti guru biasa lain di sekolah. Sebab itu ia dinamakan sebagai guru luar norma.
Guru apa lagi guru luar norma di sekolah? Mungkinkan Guru Kaunselor, Guru Media, Guru Disiplin atau Guru Data? Saya kurang pasti tentang itu. Justeru, buat masa ini Guru j-QAF adalah guru luar norma yang paling ramai mungkin di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Guru sama ada berstatus luar norma mahupun sebaliknya; di sekolah dia tetap guru. Maksudnya guru yang boleh mengajar dan mendidik. Bukan sekadar di dalam kelas bahkan di luar kelas. Bukan sekadar subjek major dan minornya tetapi semua subjek barangkali. Bukan sekadar menunjuk ajar tetapi boleh melatih biarpun guru-guru ini bukanlah mempunyai kompetensi yang sempurna untuk semua hal. Sudah namanya guru, tentu boleh saja.
Guru j-QAF di sekolah mempunyai peranan lebih daripada sekadar guru. Guru j-QAF di sekolah perlukan kemahiran lebih dari sekadar boleh mengajar dan mendidik. Guru j-QAF di sekolah kena jadi guru super. Tetapi persoalannya benarkah semua guru j-QAF di sekolah boleh jadi super?
Guru j-QAF di sekolah pulang pada jam 3 petang. Guru-guru biasa lain pernah bertanya kenapa pulang lewat? Guru j-QAF ada jawapannya. Sebab itu guru j-QAF di sekolah jadi super. Bukan sebab pulang lewat itu, tetapi sebab guru j-QAF ini sanggup pulang lewat daripada guru-guru lain. Bagi yang ada sesi petang pula, guru j-QAF datang awal daripada guru-guru lain. Barangkali awal 2 jam. Jadual waktu sudah banyak tetapi dapat juga jadual ganti. Itu tandanya kita amat diperlukan.
Bukan sekadar itu, Guru j-QAF juga sanggup mengadakan kem dan bertugas pada hari-hari cuti. Buat kelas tambahan. Buat itu ini... sebab guru j-QAF ini guru luar norma.
Tetapi itu semua tidak menjadi masalah. Biarlah guru-guru j-QAF ini mengajar dan mendidik dengan ikhlas. Biarlah mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh mencapai aspirasi memperkasa Pendidikan Islam. Biarlah mereka mengerjakan tugas dan amanah Allah SWT.
Perkara yang menjadi masalah adalah, apabila guru j-QAF yang statusnya luar norma ini di sekolah kena mengajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani Kesihatan, Sivik, Matematik, muzik dan lain-lain. Apakah ini hal biasa? Saya rasa ini bukan lagi hal biasa. Hal ini perlukan tindakan segera. Benarkah perkara ini wujud?
Dilema kekurangan guru. Guru yang ditukarkan tidak melapor diri. Guru ganti belum dilantik. Murid bertambah kelas terpaksa ditambah tetapi guru tak bertambah. Semua itu akhirnya menyebabkan guru j-QAF yang statusnya luar norma ini dipilih untuk mengajar kelas-kelas lain. Alasannya Pendidikan Islam sudah ada gurunya. Habis apa halnya j-QAF?
Mujurlah sekarang bulan Januari. Mungkin Februari nanti akan bertambah guru. Bukan setakat guru biasa tetapi guru j-QAF juga. Pada masa itu, semuanya akan reda. Semua akan kembali kepada sepatutnya. Tetapi... sementara itu jalankan apa yang sedang diarahkan. Jangan sesekali kita menentang Pengurusan sekolah. Mereka juga tidak mempunyai alternatif lain buat masa ini.
Sama-samalah berdoa, semuanya akan kembali baik.
Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
Tuesday, January 13, 2009
APA CERITA PELAKSANAAN PROGRAM j-QAF 2009?
Oleh Akhi Mizi
SAMA ADA kita sedar atau tidak, pelaksanaan program j-QAF di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia sudah masuk tahun ke-5. Usia memasuki lima tahun ini, jika manusia (bayi) yang dilahirkan sudah hampir memasuki alam persekolahan. Tetapi j-QAF adalah program yang dilaksanakan khusus untuk memperkasa Pendidikan Islam termasuk Bahasa Arab. Tidak adil jika ia dinilai seperti manusia. Justeru manusia lain, j-QAF lain.
Tetapi lain-lain pun j-QAF tetap ada kaitan dengan manusia kerana wujudnya j-QAF sebab manusia yang mewujudkannya. Bukan sekadar mewujudkan, manusia jugalah yang melaksana dan memikirkan bagaimana cara terbaik untuk mencapai sasaran daripada pelaksanaan program tersebut. Di sekolah manusia itu digelar Guru j-QAF. Baik Guru Pendidikan Islam mahupun Bahasa Arab.
Program j-QAF adakah ada persamaan dengan PPSMI? Saya tidak mempunyai perincian jawapan. Tetapi saya mempunyai persepsi sendiri, jika sama pun masih ada yang tidak serupa. Jika tidak sama pula, masih ada yang hampir serupa. Jika sama dan serupa pun kesannya berbeza. Pening?
Biasanya, kita akan pening. Biasalah tu. Masa saya memohon j-QAF dulu saya tidak fikirkan untuk pening. Masa itu saya cuma fikir mahu jadi seorang guru. Kalau boleh guru yang baik dan cemerlang. Harapan emak dan ayah yang mahukan anaknya menjadi pendidik sangat mapan melekat dalam hati saya. Kerjaya guru adalah kerjaya yang mulia. Jika tidak mulia di pandangan manusia cukuplah mulia di pandangan Allah SWT.
Ada kawan-kawan telefon dan sms saya beritahu mereka pening. Pening dengan jadual waktu, pening dengan kerja yang banyak, pening dengan karenah sekolah, pening dengan jawatan-jawatan tugas khas yang diamanahkan oleh pengurus sekolah, pening dengan macam-macam. Belum lagi masalah peribadi, masalah keluarga, masalah kampung, isu akidah, isu penyerangan Yahudi zionis terhadap Palestin dan lain-lain.
Ada yang sudah mula diberi tugas mengajar subjek selain Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, ada yang terpaksa menanggung bilangan waktu mengajar yang banyak belum masuk tasmik, ada yang terpaksa urus perkara lain sampai tak sempat jenguk bilik j-QAF, ada yang rehat pun tak sempat asyik dapat jadual ganti (sebab guru tak cukup) dan macam-macam lagilah. Tetapi tak mengapa kerana mereka berkerja juga.
Ada yang sibuk urus perkara yang tiada kaitan langsung dengan kerja sampai kerja jadi tak tentu hala. Ada yang rileks saja sebab semuanya rakan-rakan lain dah uruskan. Ada yang buat tak tahu apa yang nak dilakukan. Macam-macamlah ceritanya. Yang mengadu dituduh mengumpat, yang memberitahu bukan niat nak mencela atau menjatuh imej tetapi nak perbetulkan keadaan.
Ingatlah, kita tidak boleh hidup dan bekerja secara tertekan. Jika tertekan, mudah saja. Anggaplah perkara itu biasa saja. Mengadulah kepada Allah. Buat biasa saja. Jika masih tak reda langkah seterusnya adalah rujuk pegawai. Justeru, carilah pegawai dan beritahulah masalah-masalah anda. Jika saya mempunyai masalah saya juga akan memaklumkan kepada pegawai.
Jangan beritahu masalah anda kepada orang yang tidak sepatutnya.
Ingatlah, ini program j-QAF. Program yang sangat bermakna. Melaluinya, manusia akan belajar pendidikan Islam, mampu khatam al-Quran, menghayati Fardhu Ain, belajar Bahasa Arab dan Jawi.
Eloklah kalau tahun ini masalah-masalah yang timbul dapat diatasi segera. Tahun hadapan tahun ke-6 pelaksanaan j-QAF. Tentukan sasaran 100% khatam al-Quran sebagaimana yang dihendaki Menteri Pelajaran dapat dicapai. Jika tidak, entahlah apa akan terjadi.
Sekarang ini, kita masing-masing ada jalan. Tetapi jalan-jalan kita tidak sama. Kalau kita sampai pun pasti tak akan pada masa yang sama. Kalau nak sampai sama, eloklah kita fikirkan cara lain. Kalau orang yang jalan lurus boleh sampai dalam tampoh sama hanya dengan berjalan kaki tentulah orang yang jalannya berliku, beronak duri perlukan jet yang boleh terbang di udara. Jika kita pun berjalan kaki sahaja, mungkin kita tak boleh sampai sama. Kita sampai selepas kenduri habis?
Sekolah 1 kelas, 2 kelas boleh sampai sasaran dalam enam tahun? Sekolah 4,5,6,7.....20 kelas apa cerita pula? Berapa waktu mengajar? Berapa kali KBS, Berapa jam Tasmik? Cukupkah guru?
Guru-guru j-QAF, bermuhasabahlah.
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.
Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/