Monday, April 6, 2009

BUKU CATATAN

Oleh Akhi Mizi

SEJAK kebelakangan ini, idea menulis langsung tak menjelma. Kalau ada pun susah nak dikembangkan. Bukan itu saja, semangat menulis pun tak kuat biar pun kemahuan masih ada. Saya pun tidak faham diri. Barangkali kerana kesibukan dengan profesion guru ini juga menjadi faktor kurangnya menulis.
Setelah idea tidak muncul-muncul juga, jalan terbaik adalah dengan mencari idea itu. Idea yang dicari ini pun susah hendak didapati. Sehinggalah saya berjumpa dengan sekelompok buku catatan saya.

Wah, memang banyak buku catatan saya! (buku catatan lama sebenarnya). Satu persatu buku itu saya teliti ketika hari berubah dinihari. Isteri dan anak telah lelap di kamar. Saya masih setia membelek buku-buku catatan itu. Kesemuanya sejak mula melibatkan diri dalam profesion ini. Sejak GSTT di SK Ewa, sehinggalah sudah Disahkan Dalam Perkhidmatan Keguruan di SK Padang Matsirat, Langkawi. Sejak belum ada apa-apa sehinggalah ada macam-macam. Sejak belum berjumpa calon isteri sehinggalah bahagia di sisi. Sejak belum jadi suami dan Baba sehinggalah sedang menjadi suami dan Baba. Bahkan hujung tahun ini saya bakal menerima seorang lagi cahayamata ke-2, insyaAllah.

Saya akui, saya memang perlukan buku catatan. Sejak di bangku sekolah menengah lagi sehinggalah sekarang buku catatan tetap akan ada bersama saya. Juga sebatang pen. Di Mesir pun begitu. Sehinggalah kini. Buku catatan memberikan saya ruang untuk menulis catatan peribadi selain mencatat idea penulisan. Tetapi malangnya sejak bila pun saya tak pasti, tabiat menulis idea penulisan itu hilang. Saya membelek semula buku-buku catatan lama saya. Memang idea penulisan tak tercatat pun dalam buku catatan itu.


Gambar - 13 buah buku catatan lama sejak 2004 sehingga 2008.

Saya dapat mengesan perubahan tabiat ini. Saya rungsing kerana idea penulisan kreatif masih belum juga menjelma. Serentak itu teringat pula pertanyaan emak bulan lepas tetang penulisan saya. Kata emak "Hang dah tak menulis ka? Dah lama tak terbit cerita hang." Maksud emak saya, cerpen saya. Sebab jika terbit di Penerbitan Majalah atau akhbar sama ada saya yang akan memberitahunya atau adik-beradik saya akan memaklumkan kepadanya. Ayah pun sama, dia amat menyokong saya meneruskan penulisan sebagaimana yang pernah diperjuangkan para ulamak terdahulu. Ulamak-ulamak terdahulu dikenali kerana ilmu yang mereka titipkan dalam karya-karya mereka. Tidak semestinya buku agama, manuskrip ilmiah, tetapi cerpen dan novel juga adalah saluran dakwah yang berkesan. Ayah mempunyai pandangan yang adil dalam hal ini. Saya bertuah kerana ayah dan emak menyokong saya menulis. Kakak saya pun sama. Dan yang paling utama orang tercinta di sisi saya sentiasa menyokong saya, siapa lagi jika bukan isteri tersayang Althoharoh Binti Ali.

Tabiat menulis idea penulisan dalam buku catatan yang terhenti itu mungkin antara punca saya kurang produktif menulis. Saya bermuhasabah. Di e-groups Adabuna (Himpunan Penulis lepasan Timur Tengah) pun saya mencuba menimbulkan semangat diri. Jika kawan-kawan Adabuna terus menyokong antara satu sama lain tentu kita akan kembali teguh.

Setelah diteliti lagi. Pada 2009 ini saya masih menggunakan 5 buah buku catatan (campur aduk) yang setia berada dalam beg laptop saya. Ternyata saya cuma menggunakan pada masa sekolah seperti untuk mencatat apa kerja yang patut dibuat, apa isu yang patut diselesaikan, catat kesalahan disiplin murid dan catat apa-apa yang berkaitan dengan kerjaya guru ini. Tiada pun yang melibatkan idea penulisan kreatif.
Cerpen terakhir yang saya hasilkan adalah "Kepulangan Syawal" yang terbit di Mingguan Malaysia oktober tahun 2008. Setelah itu, jangankan cerpen puisi pun tak ada.


Gambar - 5 buah buku catatan yang sedang digunakan pada 2009.

Saya rindu untuk mengetuk jari-jemari mengarang cerpen atau menyudahkan novel yang terbengkalai semula. Saya amat malu jika saya tidak dapat kembali sebagai seorang penulis muda yang punya sesuatu untuk masyarakat. Saya tentu akan kesal jika saya tak berbuat apa-apa.

Saya berazam untuk mula kembali ke tabiat menulis catatan idea penulisan dalam buku catatan saya. Setelah itu barulah idea-idea itu boleh dihamilkan dalam bentuk karya yang akan lahir dari rahim kreatif sebagai sebuah hasil yang baik.

Selain buku-buku catatan saya itu, saya masih ada buku-buku catatan lain di internet yang barangkali boleh menyumbangkan kembali idea penulisan kepada saya.

Tidak lain dan tidak bukan buku-buku catatan itu adalah Blog online saya sendiri:
1. PUJANGGA ONLINE - JURNAL JALAN HIDUP di http://akhimasrawi.cjb.net/
2. MASRAWI Online - Jurnal Jalan Hidup di http://akhimasrawi.blogdrive.com/
3. BLOG AKHI MIZI :: Persepsi & Realiti :: di http://akhimizi.blogspot.com/
Semoga saya boleh terus menulis.
Salam juang mustamir.



Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

2 comments:

IlhamHamdani said...

Salam teman yang diingati, Akh Masrawi,

Bangunlah tuan Masrawi! Bahawa khalayak sedang menanti pena-pena hikmah tuan, yang akan menyiramkan mereka dengan ilmu, yang menitipkan mereka dengan ruh perjuangan. Bangunlah dan menulislah!

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

Syarifah Salha Syed Ahmad said...

Saya juga mengalami gejala yang sama. Zaman belajar dengan zaman bekerja sangat tidak sama. Kita ada tanggungjawab yang lebih berat. Barangkali itu penyebab kepada penulisan yang tidak rancak. Jika dibiarkan membelenggu diri, tidak mustahil semangat penulisan akan terus padam. Ayuh! Kita fikirkan dan ikhtiar cara mengatasinya.