Wednesday, April 15, 2009

WAJARKAH WUJUD PERSATUAN GURU j-QAF?

Oleh Akhi Mizi


KETIKA mula-mula hendak diperkenalkan dulu, j-QAF (jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain) adalah satu perkara yang ganjil. Ketika itu, jangankan masyarakat… warga Pendidikan pun tidak tahu apa itu j-QAF. Lebih malang lagi jika ada di antara warga Pendidikan ini yang meletakkan persepsi yang negative terhadap program ini walhal ia adalah satu usaha yang murni bagi memperkasa Pendidikan Islam juga aspirasi Negara.

j-QAF adalah program perdana. Ini adalah hakikat yang pasti. Bukan kerana semata-mata ia diaspirasi oleh Y.A.B Pak Lah PM ketika itu (2003-2009). Tetapi kerana ia program yang besar dan bertujuan sebagai salah satu agenda misi Nasional ke arah melahirkan Modal Insan kelas pertama menerusi pendekatan Islam Hadhari. Ini juga merupakan jawapan saya ketika menghadiri temuduga SPP di Alor Star, ketika hendak dilantik untuk menjadi guru tetap.

Saya optimis ketika ini hampir mustahil j-QAF masih dianggap ganjil. Penerimaan masyarakat warga pendidik khususnya dan komuniti masyakarat amnya semakin bertambah baik. Apatah lagi Guru Pendidikan Islam yang dulunya terpaksa mengharung badai mendidik sendirian kini dibantu dengan guru j-QAF.

Kurikulum Pendidikan Islam pada masa kini dipertingkatkan dengan pendekatan yang amat mirip ke arah matlamat melahirkan ’jeel al-Quran’ (generasi al-Quran). Tambahan pula pengajian sedia ada dalam kurikulum Pendidikan Islam KBSR ketika ini (suatu hari nanti akan bertukar kepada KSSR) diajarkan dengan lebih berkesan menerusi sekurang-kurangnya dua orang guru iaitu GPI dan guru pembantu iaitu guru j-QAF. Pelajaran jawi pula diaktifkan dengan pengayaan dan pemulihan agar semua murid dapat membaca dan menulis jawi. Pengukuhan teori menerusi Model Bestari Solat adalah asas kepada pembentukan tabiat beribadat yang bersifat iltizam dan istiqamah. Ayuh kita terus menyokong dan melaksanakan usaha murni ini.

Banyak sebenarnya yang telah berlaku sejak program j-QAF dilaksanakan di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menerusi seliaan PPD, pantauan SPI JPN dan BPI KPM. Yang kurang bertambah. Yang bertambah dihiasi lagi supaya semuanya menjurus kepada memperkasa Pendidikan Islam.

Maka setelah itu, jika dulu Guru Pendidikan Islam kenal Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) sebagai program Ko-Akademik di luar sekolah, kini setelah adanya program dan Guru-guru j-QAF bukan sekadar MTQ yang setahu sekali di peringkat daerah itu sahaja bahkan bertambah pula dengan Majlis Khatam al-Quran (MKQ), Kem Literasi al-Quran (Klaq), Mukhayyam Bahasa Arab, Perkhemahan Perdana, Mahrajan Bahasa Arab dan sebagainya. Jika di sekolah pula dulunya cuma ada Pendidikan Islam kini ada pula Bahasa Arab. Dulu fokus kepada P&P di bilik darjah kini diperkaya dengan teori dan amali berwuduk setiap hari untuk kelas Khatam al-Quran, adanya pengukuhan al-Quran menerusi kelas Tasmik selepas waktu persekolahan pada setiap hari, Amali Solat menerusi Model Bestari Solat dan sebagainya. Jika dulu mengajar di kelas memadai kini surau digunakan hari-hari. Jika dulu Panitia Pendidikan Islam tiada bilik khas dengan adanya j-QAF wujudlah Bilik j-QAF yangmenjadi akses kepada Panitia Pendidikan Islam dan Panitia Bahasa Arab. Pengukuhan menerusi aktiviti Ko-Kurikulum pula dengan adanya Persatuan Pendidikan Islam, Persatuan Bahasa Arab dan Persatuan Seni Khat dan Jawi. Banyaklah yang sudah berubah. Banyaklah juga tanggungjawab guru-guru yang dipanggil ustaz dan ustazah ini.

Jumlah GPI dulu sikit, sekarang ditambah GPI j-QAF dan GBA j-QAF sudah bertambah banyak. Dulu sikit susah nak buat apa-apa, sekarang banyak alhamdulillah mudahlah. Nak gotong-royong surau pun bersemangatlah. Nak Hias bilik j-QAF supaya kondusif pun ringanlah. Semuanya ke arah yang baik-baik belaka. Inilah rahmat adanya j-QAF. Pendidikan Islam semakin bertambah kukuh, Bahasa Arab tidak dilupakan. Kesatuan bertambah utuh, Jasa jangan dilupakan.

Generasi awal yang meneroka j-QAF banyak ceritanya. Pelbagai cerita ada yang ditempatkan di seberang laut berjauhan dengan orang-orang tersayang. Sehingga kini pun masih bersemangat berjuang demi memastikan j-QAF tanpa gagal. Memang pun benar, di mana saja kita berkhidmat ada cabaran yang tersendiri. Yang di Kota raya, Pekan kecik, Pinggir desa, Kampung, Pulau hinggalah ke hulu pedalaman semuanya mempunyai cerita berbeza. Tetapi sedar atau tidak sedar kita semua warga pendidik j-QAF menggalas amanat yang sama.

Generasi kemudian pun apa kurangnya. Banyak juga ceritanya. Yang positif ada yang negatif pun ada. Macam-macamlah hal j-QAF ni. Dulu tak ada pegawai sekarang dah ada pegawai. Rakan-rakan generasi awal ada yang sudah sah dalam perkhidmatan dan mendapat pengesahan tetap berpencen. Ada juga yang sudah kembali ke pangkuan keluarga setelah gigi berusaha, panjat tangga sana, masuk pintu sini, panjat bangunan sini keluar pintu sana. Macam-macamlah yang dah berlaku. Lama juga sebenarnya sudah j-QAF ini rupanya. Macam-macam cerita dah jadi.

Tahun hadapan adalah tahun 2010. Hasrat berjayanya j-QAF atau gagal semuanya akan disemak semula. Jika berjaya alhamdulillah, inilah hadiah pada usaha kita selama ini. Jika gagal, apalah nasibnya. Siapalah hendak perjuangkannya. Nak berharap dan bergantung kepada siapa? Siapa yang akan perjuangkan j-QAF ini dengan realiti guru-guru j-QAF masing-masing seperti buih-buih di lautan yang menghempas pantai kemudian berkecai masing-masing. Benarkah wujudnya kesatuan antara guru-guru j-QAF. Macam mana nak bersatu kalau tidak ada persatuan? Pernahkah kita warga guru j-QAF terfikir ini semua?

Paling mudah adalah bergabung dengan persatuan sedia ada dengan menjadi ahli biasa. Bayar yuran kemudian suram. Datang mesyuarat agung setahun sekali kemudian menyepi. Realitinya persatuan guru sedia ada mempunyai agenda perjuangan mereka sendiri. Agenda guru-guru j-QAF siapa hendak perjuangkan? Agenda untuk memastikan j-QAF terus dilaksanakan dan kebajikan untuk guru-guru j-QAF siapa yang akan perjuangkan? Mustahil Guru-guru yang bukan guru j-QAF akan perjuangkan. Mereka juga ada agenda mereka sendiri.

Guru-guru j-QAF akan jadi komuniti yang ramai tetapi belum tentu kuat. Tetapi jika semuanya bersatu hati berjuang di lapangan sebenar barangkali j-QAF akan terus diteruskan, digilap dan diperkasa. Akan lahir nanti Guru Cemerlang j-QAF dan tentunya j-QAF tidak akan ditentang. Lihatlah nasib PPSMI. Bagaimana pula dengan nasib j-QAF jika tidak ada pejuang-pejuang yang sebenar memperjuangkan j-QAF. Kalau setakat menulis di blog, berbincang di forum, atau bersembang sesama kita di talian atau luar talian sahaja tanpa adanya persatuan sampai ke mana perkara yang hendak diperjuangkan itu nanti?

Mungkin di peringkat Zon atau Daerah sudah ada agenda mempersatukan guru-guru j-QAF ini di bawah persatuan kecil masing-masing tetapi bukankah lebih molek jika kita semuanya bergabung dalam satu kesatuan yang lebih besar. Justeru, jika pendapat ini tidak sesuai anggaplah ia cuma satu pendapat dari satu suara kecil yang tidak akan menjejaskan apa-apa. Tetapi jika pendapat ini sesuai, apa pula tindakan selanjutnya?

Justeru, fikir-fikirkanlah wajarkah wujudnya Persatuan Guru j-QAF?
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

5 comments:

Baiti Jannati said...

Setuju 150%..

j-qaf_teruntum said...

Salam perkenalan.

Ana setuju dengan cadangan enta. tapi mcm mn nak kumpul semua guru jQAF seluruh malaysia? tahun depan mungkin dah mencecah 35000 orang. ramai tu... lepas ni plak leh tubuh satu koperasi untuk guru2 jQAF

Abu Muazz said...

baik pandangan enta nih...

mungkin boleh dipanjangkan. Kita mmg perlu satu kesatuan nasional. byk isu pasal jQAF sekarang nih.

Kami dari selangor akan membantu mana yg boleh. Mgkin boleh wujudkan peringkat negeri, then kembngkan pergkt nasional...

insyaAllah

omaQ said...

salam ziarah :)

http://www.omaQ.org

sob said...

salam akhimizi,cadangan yg sangat baik untuk menubuhkan persatuan j.qaf tu..bagaimana pula persatuan gpi bukan j.qaf?ana tgk skrgpun gpi biasa dan j.qaf nampak lain je....bg ana tak perlu ada persatuan guru j.qaf...memadai dgn persatuan guru agama islam je.....cuma bagaimana nk kita perkasakannya je....