Monday, May 11, 2009

HARI-HARI PENTING DALAM BULAN MEI

Oleh Akhi Mizi

PERNAHKAH kita terasa yang kita ini penting untuk seseorang atau untuk orang lain? Atau pernahkah kita terfikir orang lain merasakan pentingnya wujud kita dalam kehidupan mereka. Saya hanya bertanya. Saya tidak akan memberikan jawapan. Kalianlah sendiri mencari jawapannya.

Hari-hari dalam bulan Mei tidak mungkin saya biarkan begitu sahaja. Hari-hari yang amat bermakna bukan kerana tarikhnya, tetapi kerana peristiwa yang berlaku pada hari bertarikh itu.

Anak saya yang pertama: Ahmad Naufal Alwafi dilahirkan pada 2 Mei, biarpun doktor meramalkan kelahirannya pada hujung April. Lebih 60 jam isteri saya menahan kesakitan hendak melahirkan putera sulung itu. Justeru Tuhan telah menentukan demikian.

Saya sendiri melihat isteri dalam bilik bersalin bertarung nyawa untuk melahirkan anak sulung itu. Saya memberikan dirinya motivasi, dorongan dan kekuatan. Saya membantunya untuk kuat. Saya mengampu kepalanya ketika jururamat menyuruhnya "push". Akhirnya kedua-dua mereka selamat.

Usai mendengar tangisan anugerah Allah itu, saya menyapu muka isteri yang tersenyum biarpun saya tahu dia masih kesakitan saat itu. Itulah pengorbanannya yang amat besar dan bermakna kerana menghadiahkan saya kemahuan untuk mengandungkan zuriat, menyusukan dan sama-sama membesarkan.

Saya melangkah dengan pelbagai rasa berselirat dalam diri. Selepas melihat muka emak kandung saya, ayah dan ibu mertua saya entah bila air mata saya telah mengalir laju. Saya masih ingat saya cuma ingat saya melafazkan perkataan 'selamat' kepada mereka yang setia menanti di luar bilik bersalin Hospital Langkawi petang 2 Mei itu.

Itulah hadiah dari Tuhan kerana Dia menganugerahkan anak itu pada bulan ulangtahun perkahwinan kami; bulan Mei.

Dulu semasa masih bujang dan menjejak kaki sebagai guru, saya cuma ingat pada bulan Mei tetang hari Guru. Itulah ingatan yang kuat kerana saya selalu terima hadiah. Bukan sedikit tetapi banyak. Biarpun kecil nilai hadiah, tetapi ingatan murid kepada guru itu lebih mustahak.

Manakala hari ibu, kadang-kadang lupa kerana setiap hari dalam kehidupan seorang anak adalah hari ibu. Mengapa harus menanti 10 Mei?

Tetapi selepas berkahwin 19 Mei dan 20 Mei telah menjadi hari paling penting kerana itulah ulangtahun pernikahan dan majlis Perkahwinan kami. Setelah itu 2 Mei juga menjadi hari penting kepada kehidupan saya sekeluarga.

Disebabkan hari-hari yang amat bermakna dalam bulan Mei telah mengusik kehidupan saya sekeluarga, tidak salah kiranya saya merakamkan beberapa ucapan untuk ditujukan kepada insan-insan terpilih dalam kehidupan saya.

1. Selamat ulangtahun kelahiran 1 buat Ahmad Naufal Alwafi

2. Selamat hari Ibu untuk teristimewa emak saya: Halijah Binti Ibrahim, ibu kepada anak saya: Althoharoh Binti Ali (Isteri tercinta), ibu mertua saya: Mah Binti Shari, ibu kepada anak-anak saudara saya (Kakak saya): Nor Hasanah Binti Ismail.

3. Selamat hari Guru untuk semua yang bergelar guru (kami keluarga guru).

4. Selamat ulangtahun pernikahan dan perkahwinan kepada isteri tercinta yang sentiasa menjadi teman paling memahami, Maafkan segala kesilapan abang.

Terima kasih kerana tahun ini bakal mengahdiahkan anak ke-2.

Segala kekurangan diri saya, harap dimaafkan.

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.



Akhi Mizi


No comments: