PERLUKAH untuk saya merumitkan pemikiran anda dengan isu berblog? Saya tidak mempunyai jawapan. Anda sendiri yang mempunyai jawapan.
Gambar Fail: Akhi Mizi ambil kesempatan update PORTAL INTERAKTIF SPPIM JPN Kedah, ketika di PPD KMY kerana ada wireless. Mana ada wireless boleh buat kerja internet. Duduk di sebelah ialah (teman karib) Us. Mohd Rokhaimi Zakaria.
Idea laman web pada asalnya adalah idea Tn. Hj. Mohd Rushdan Azizan, yang ketika itu merupakan Penolong Pengarah j-QAF (2007). Tetapi, tanpa segan silu saya mengakui idea untuk berblog di kalangan pegawai SPPIM di JPN Kedah adalah idea asal saya. Saya masih ingat, bagaimana saya membawa idea ini menemui Penolong Pengarah Kurikulum (Teras) SPPIM JPN Kedah di pejabat beliau pada Julai 2008 yang lalu.
Gambar Fail: Guru-guru j-QAF Daerah Langkawi sedang mendengar taklimat Format Pengisian Data E-Laporan j-QAF 2008 di PKG Kuah, Langkawi. Penggunaan peralatan ICT ke arah Pembestarian.
Saya teruja kerana beliau menyambut baik idea saya ini. Idea untuk berblog bukan sahaja sekadar untuk menjadi medium penyampaian pegawai kepada para guru di sekolah-sekolah bahkan medan interaksi yang menghubungkan antara pegawai dan guru-guru. Medan interaksi sebegini sebenarnya telah lama wujud di medan maya, cuma di kalangan Komuniti Guru Pendidikan Islam di Negeri Kedah, mungkin ini adalah benda baru. Tetapi pernahkah kita terfikir bahawa idea untuk berblog ini adalah kesempatan yang ada bagi seseorang pegawai menulis blog untuk menyampaikan idea?
Pada dasarnya, SPPIM JPN Kedah sudah mempunyai pengkalan maklumat di ruang maya menerusi PORTAL INTERAKTIF SPPIM JPN Kedah yang beralamat sementara di http://sppimked.bravehost.com/ sejak Oktober 2007 lagi. Laman Download E-Jazirah Online: http://e-jazirah.bravehost.com/ kemudiannya menyusul. Bahkan baru-baru ini sekitar Februari 2008 FORUM KOMUNITI j-QAF JPN Kedah http://jqafkedah.forumotion.com/ pula dilancarkan.
Akan tetapi saya pula telah memilih untuk menyuarakan idea berblog supaya para pegawai boleh menyampaikan sendiri maklumat daripada mereka kepada umum dengan jalan lebih pantas dan singkat, mudah dan berkesan tanpa perlu maklumat yang hendak disampaikan itu disalurkan kepada webmaster Portal Interaktif terlebih dahulu yang barangkali akan memakan masa beberapa hari untuk diupublishkan ke ruang maya. Tetapi menerusi blog contoh http://blogspot.com/ hanya beberapa langkah sudah boleh dipublish sendiri oleh pegawai berkenaan.
Namun, tanpa 2 syarat blog tidak akan berfungsi dengan baik. Iaitu syarat pertama, penulis menulis dan mengupdate (kemaskini) blognya. Syarat kedua, ialah pembaca melayari blog dan membaca blog itu. Lebih baik lagi berlaku komunikasi timbale balik dalam blog tersebut. Justeru komunikasi dalam dunia blog adalah komunikasi pelbagai hala atau sekurang-kurangnya dua hala. Begitulah halnya dengan forum. Tetapi forum lebih luas. Forum Admin tidak seharusnya paling aktif. Mungkin user-user forum lain lebih aktif, tetapi ia akan terjejas andai tiada pembaca yang reply topic yang dibuka. Maka forum itu akan sepi. Walhal, menerusi forum banyak yang boleh dibincangkan untuk manfaat dan kebaikan warga komuniti. Barangkali ada user yang Cuma masuk membaca dan tidak membalas apa-apa topik tetpi mereka juga mendapat maklum balas. Justeru sama ada blog atau forum, memang sukar hendak membina dan mengemaskini tetapi lebih sukar hendak membawa pelayar melayarinya.
Pernahkah anda terbayang bagaimana seorang webmaster bertungkus-lumus untuk menyediakan dan mengemaskini website untuk manfaat umum? Kadang kala webmaster terpaksa menatap skrin komputer berjam-jam lamanya. Mengorbankan sebahagian waktu untuk kepentingan awam. Barangkali kita tidak pernah pun terfikir begitu. Justeru kita hanya menerima bahan yang telah dimasukkan ke website untuk kita download pada bila-bila masa, terutama bila kita sangat memerlukan.
Ketika saya menyatakan persetujuan untuk membina dan menyelenggara website SPPIM JPN Kedah tahun 2007 yang lalu, saya sebenarnya hanya suka untuk membantu. Umum mengetahui ia bukan kerja hakiki seorang guru yang dipostingkan ke sekolah. Barangkali untuk guru yang dipinjamkan ke pejabat jawapannya YA. Tetapi, dengan adanya website tersebut guru-guru lain bahkan pegawai mendapat manfaat daripadanya. Saya percaya, saya bukanlah orang paling terbaik untuk mengendalikan perkara-perkara seperti website ini tetapi Tuhan telah mentakdirkan saya untuk meminati bidang ini dan kemudian membuka hati saya untuk membantu dan berkerja.
Akhirnya, blog http://blogsppimkedah.blogspot.com/ yang memakai nama Unit Kurikulum Pendidikan Islam & Bahasa Arab SPPIM JPN Kedah ditulis oleh Tn. Hj. Mohd Rushdan Azizan dilancarkan Julai 2008 yang lalu. Serentak dengan itu, blog http://musajayyid.blogspot.com/ yang ditulis oleh Pegawai j-QAF SPPIM JPN Kedah juga berada di ruang maya pada masa yang sama selain blog-blog pegawai yang lain. Pada saya, buat masa ini memadai dengan dua buah blog ini dahulu sebagai percubaan adakah ianya benar-benar bermanfaat atau sebaliknya.
Sejak Julai 2008 yang lalu, Blog yang ditulis oleh Ustaz Hj. Mohd Rushdan dan Ustaz Musa Jayyid itu telah membawa aura baru dalam dunia blog di kalangan para pendidik terutamanya guru j-QAF, selain kedua-dua blog itu telah mengalami evolusi yang tidak terjangkakan.
Sebagai contoh, blog Unit Kurikulum P.I & B.A sahaja setiap hari akan menerima tetamu dengan bukti tercatatnya catatan mereka di ruang chatbox yang tersedia. Barangkali itu hanyalah sebahagiannya sahaja, yang masuk membaca dan mengambil maklumat semata-mata tanpa menulis catatan atau komen tentunya lebih ramai. Begitulah halnya dengan blog Ustaz Musa Jayyid semasa beliau membicarakan topik mengenai pertukaran yang berkaitan guru j-QAF.
Saya membuat kesimpulan, idea saya supaya pegawai sendiri menjadi penerbit maklumat mereka di ruang maya adalah idea yang berkesan. Buktinya di kebanyakan sekolah ada perkhidmatan internet sama ada di makmal komputer, pusat akses sekolah, mahupun wireless daripada PKG dan lain-lain membolehkan guru-guru menyemak maklumat dan informasi daripada jabatan dengan lebih berkesan, pantas dan terkini. Guru-guru dapat membuat rujukan semasa berada di sekolah, tidak perlulah ke cyber café atau menyewa perkhidmatan internet untuk tujuan ini. Manfaat yang diberikan di sekolah sepatutnya digunakan dengan sebaik mungkin. Namun, amat rugilah andai ada di kalangan guru-guru ini melayari internet hanya sekadar untuk membuang masa bukan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Kita sekarang berada pada zaman perubahan global. Dunia internet tanpa sempadan sewajarnya digunakan untuk kebaikan bersama. Akhir-akhir ini telah banyak blog-blog j-QAF dan Pendidikan Islam bersifat komuniti dan individu wujud di ruang maya. Sebagai seorang guru saya menyambut baik kehadiran bloggers ini ke ruang maya. Melompat dari satu blog ke blog-blog yang lain bukan sekadar untuk membuang masa tetapi sedikit sebanyak pengetahuan akan diperolehi dengan cara ini.
Antara blog-blog sekolah j-QAF di Negeri Kedah yang telah wujud ialah: Blog j-QAF SK Hosba di: http://jqafskh.blogspot.com/ Blog j-QAF SK Sidam Kiri di: http://jqaf-sksidamkiri.blogspot.com/ Blog j-QAF SK Kedawang: http://jqafskkedawang.blogspot.com/ Blog j-QAF SK Padang Matsirat di: http://jqafskpm.blogspot.com/ Blog j-QAF SK Sungai Lalang di: http://jqafsksungailalang.blogspot.com/ (sekadar beberapa nama). Manakala blog guru j-QAF pula antaranya ialah: Blog Amrusyam di: http://amrusyam.blogspot.com/ dan blog ini.
Mungkin ada pendapat yang mengatakan berblog adalah membuang masa, culas kerja dan sia-sia. Jika kita masih terikat dengan pendapat seperti ini kita tak akan ke mana-mana pun. Kita akan statik menjadi guru Pendidikan Islam yang hanya tahu mengata orang buat salah, salah dan kelemahan sendiri tak mahu cerita, cakap soal halal dan haram sedangkan diri sendiri pun tidak terlepas dengan riba, hujah itu hujah ini sedangkan ekonomi sendiri pada tahap sama, kritik orang itu orang ini sedangkan bila diminta memegang jawatan kita menolak pula.
Berapa ramai lagi yang membuang masa, culas kerja dan sia-sia di tempat kerja ini sebenarnya langsung tidak pernah pun melayari internet. Apatah lagi untuk menyelenggara sebuah blog. Mereka lebih santai bersembang-sembang dalam pelbagai isu. Justeru, mengapa harus terikat untuk mengatakan berblog adalah perkara sia-sia dan membuang masa. Sedangkan realitinya berbeza. Pada pendapat saya guru-guru yang membangunkan blog dan website ini optimis dengan kerja, jangan sekali-kali dituduh mereka tidak masuk kelas mengajar dan tinggal kerja kerana jika mereka sememangnya malas apa guna menambah kerja?
Amanah dengan kerja adalah amanah kita dengan Allah. Kita sendiri tahu hal berkaitan halal haram, dosa pahala. Guru, fungsi utamanya adalah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Tetapi fungsi sampingannya harus tetap berjalan seiring perkembangan pendidikan negara. Kini, kita sedang menuju pemanfaatan ICT secara bersepadu melalui pembestarian sekolah. Maka, haruskah kita ketinggalan? Orang lain sudah berlari kita masih lena.
Jika apa yang saya lakukan selama ini berkaitan internet, website, blog dan forum maya adalah kerja sia-sia saya bersedia pada bila-bila masa untuk berhenti dari melakukannya. Bahkan webmaster yang lain pun saya rasa bersetuju dengan pedapat ini. Tetapi, terbukti tahun lepas saya telah menerima Anugerah Khas Sekolah kerana perkhidmatan untuk menjayakan agenda dan program sekolah pada Hari Anugerah Cemerlang 2007 (walaupun sijilnya terlewat cetak) atas inisiatif saya membangunkan Laman Web Rasmi SK Padang Matsirat di http://skpmonline.bravehost.com/.
Justeru, saya tidak menolak kemungkinan andai pada tahun ini saya, Ustaz Mohd Rokhaimi Zakaria dan Ustaz Mohd Isa Arob (wemaster Forum Komuniti j-QAF JPN Kedah) bakal menerima Anugerah Khas Webmaster daripada SPPIM JPN Kedah pula (baca saja, jangan ketawa). Dan mungkin blog paling menarik di kalangan pegawai harus diberikan ransangan dengan Anugerah Blog Terbaik Pegawai dan Blog terbaik Komuniti j-QAF sama ada blog di peringkat daerah mahupun blog-blog sekolah (rujuk di link Blog j-QAF). Jika 3 Anugerah ini benar-benar menjadi realiti, saya percaya tahun hadapan akan hidup lebih banyak blog-blog di kalangan komuniti kita sekaligus akan menolak anggapan sesetengah pihak bahawa golongan belajar agama ini tidak tahu apa-apa berkaitan ICT. Guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Negeri Kedah akan melangkah mara ke hadapan dan menjadi contoh kepada guru-guru di negeri lain.
Kitalah yang perlu berusaha untuk mengubah persepsi orang terhadap kita, bukan hanya tahu untuk memerli, mengata atau mengumpat sahaja. Jika kita tidak mampu untuk berlari sama laju dengan perkembangan global, jangan kita menjadi sampah sarap yang menyekat alirannya, kerana jika disekat pun ia akan terus tetap mengalir juga.
Saya percaya, idea untuk berblog adalah idea murni maka saya berblog untuk menumpahkan idea-idea saya. Jika idea-idea saya ini tidak berguna, abaikan saja sebab saya ini bukan siapa-siapa pun. Lantaran, saya belum bersedia behenti daripada memberikan idea. Justeru, terima atau tidak terpulang pada diri sendiri.
Sekian, terima kasih.
Salam j-QAF.
Komentar peribadi sila hantar ke e-mel:
Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
1 comment:
gday would like to give you everyone a tip on how you can save some money monthly, Getting a conversion
kit for your vehicle will save you hundreds of dollars on gas by switch to an american made fuel 'Ethonal'.
More americans are upgrading their vehicles to support both fuel types and buying ethonal to fill up your vehicle.
Ethonal is not only an American made fuel, which you'll be support our economy alot more than buying fuel
that we have to import making us more depended on foreign supplies.
Run your vehicle on a [url=http://www.e85kits.info]e85 Conversion kit[/url]
Post a Comment