Tuesday, May 19, 2009

KESAN PENDIDIKAN

Oleh Akhi Mizi

SAYA tidak perasan mengapa dan bila saya menukar gaya penulisan di blog daripada membahasakan diri sebagai AKU kepada SAYA. Ternyata setiap kali kita mengambil sesuatu keputusan kita perlukan alasan. Alasan untuk membenarkan rasa selesa bermukim dalam diri. Alasan supaya persoalan yang timbul dalam diri dapat dijawab nubari. Ironisnya gaya penulisan membahasa

AKU dan SAYA mempunyai kesan yang berbeza kepada khalayak pembaca.
Pada saya sama ada AKU dan SAYA kedua-duanya ada potensi tersendiri. Ada pendapat yang mengatakan membahasakan AKU sebenarnya nampak kasar dan adakalanya menjadi biadab. Misalnya apabila saya bercakap dengan orang yang lebih tua atau lebih mulia dengan membahasakan AKU pastinya saya akan dilabelkan sebagai biadab. Tetapi sedarkah kita, selalunya kita membahasakan AKU dalam doa kita kepada Tuhan. "Ya Allah, Aku memohon petunjuk dan rahmatMu." Jarang sekali hendak menggunakan saya. Jika boleh mahu sahaja sebut kami kerana ia lebih sopan dan lembut.

Membahasakan diri saya atau aku itu adalah hak masing-masing. Saya percaya setiap kita menggunakannya dalam pertuturan harian kehidupan. Sesuai dengan situasi, suasana, keadaan dan sasaran komunikasi. Malangnya ada di kalangan kita yang tidak langsung mengambil berat hal ini sehinggalah kadangkala kita gagal untuk menunjukkan contoh yang baik.

Semalam ketika saya singgah di sebuah kedai makan untuk membeli bungkus nasi goreng saya terkejut dengan tindakan seorang lelaki yang marah seraya menterbalikkan mangkuk berisi makanan berkuah dan beberapa tindakan biadab lain lantaran tidak dapat mengawal emosi marahnya. Lebih menyedihkan lagi kelakuan itu di hadapan dua orang kanak-kanak yang masih di peringkat sekolah rendah, yang barangkali jika bukan anaknya mungkin saudaranya.

Setelah melakukan tindakan tersebut lelaki itu memaki hamun dan menyumpah pula pelayan kedai makan tersebut. Dalam hati saya beristighfar berkali-kali. Dada berdegup kencang. Entah mengapa saya rasa marah dengan tindakan lelaki tersebut.

Seandainya lelaki itu marah apapun jua sebab dan alasannya, pada saya janganlah ditunjukkan sikap yang tidak matang itu di hadapan anak-anak yang masih menjalani proses pendidikan kerana ia akan menjadi punca tiadanya kesan pendidikan. Walhal guru-guru, para ustaz dan ustazah di sekolah mengajar adab sopan, nilai murni dan akhlak islamiah di sekolah untuk dipraktikkan. Jika teladan yang ditunjukkan oleh orang yang sudah dewasa seperti itu tindakkah kita terfikir suatu hari nanti si anak juga akan menurut. Kemana lagi hendak tumpah kuah jika tidak ke nasi?

Sempena hari guru ini saya selalu membayangkan tentang kesan pendidikan ini. Saya kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa dan penjaga yang tidak membantu dalam pendidikan. Betapa sukarnya guru-guru untuk mengajar dan mendidik tetapi akhirnya elemen luar termasuk pengaruh media massa, persekitaran, rakan, ibu bapa yang menguasai mereka. Hiburan pula kian rancak dan menggila sehinggalah hilangnya jati diri untuk menjadi insan walhal negara mengidamkan modal insan kelas pertama.

Kita hampir pasti untuk mencapai kehidupan yang berkualiti tetapi adakah kita akan mencapai bahagia? Jika yang ada cumanya cebis-cebis usaha ikhlas yang ditertawakan oleh faktor luar apa gunanya lagi kita berharap pendidikan ini akan adanya kesan kerana tidak semua di kalangan kita yang membantu untuk mewujudkan kesan pendidikan ini.

Tetapi, saya tetap bersyukur kerana masih ada ramai juga yang membantu ke arah kesan pendidikan yang positif ini. Siapakan mereka? Adakah kita?

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

No comments: