Wednesday, August 6, 2008

ARTIKEL LAMA: Ibnu Maskawaih

IBNU MASKAWAIH: Akhlak Dapat Dibentuk Menerusi Latihan Serta Pelajaran Yang Baik

Oleh Akhi Masrawi


TIDAK banyak riwayat yang ditulis oleh ahli sejarah tentang Ibnu Maskawaih. Malah riwayat yang ditemui pula tidak memperincikan secara jelas tentang tokoh falsafah ini. Barangkali kerana sejarah hidupnya yang agak kabur dan dikatakan juga kebanyakan hidupnya dihabiskan bersama para pembesar berfahaman syiah kala zaman pemerintahan Bani Buwaih ketika khilafah di Baghdad mengalami dilema kemunduran sejak permulaan abad ketiga hijriyah.

Nama lengkap Ibnu Maskawaih adalah Abu Ali Ahmad Bin Muhammad ibn Ya'qub ibn Maskawaih. Dilahirkan di Kota Rey sekitar tahun 330 H dan meninggal dalam usia yang agak lanjut iaitu pada tahun 421 H. Diriwayatkan Ibnu Maskawaih atau Ibnu Miskawaih pernah menganut Majusi sebelum memeluk Islam. Pun begitu pendapat ini bercanggah dengan pendapat penulis lain seperti Ahmad Amin: 1957 yang mengatakan bahawa Ibnu Maskawaih tidak pernah menganut Majusi kerana neneknya telah pun meninggalkan Majusi dan memeluk Agama Islam.

Kebetulan ketika Bani Buwaih memerintah, para pembesarnya meminati bidang keilmuan sebagaimana semasa khilafah Abbasiyah ketika zaman emasnya terutama pada zaman Harun Ar-Rasyid dan al-Makmun. Lantaran itu, kehidupan tokoh ini disokong keadaan dan dimanfaatkan pula olehnya untuk memperkayakan dirinya dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Semasa zaman pemerintahan Raja ‘Adhudiddaulah beliau dilantik sebagai penjaga perpustakaan besar. Ibnu Maskawaih lebih memberikan tumpuan kepada permasalahan akhlak sehinggalah beliau mendapat jolokan sebagai pemikir dan filsuf akhlak.

Pemikiran Ibnu Maskawaih

i. Metafizik
Dalam persoalan metafizik atau ketuhanan pendirian Ibnu Maskawaih adalah mirip kepada pendirian para filsuf yang mendahuluinya seperti al-Farabi dan al-Kindi. Ini mungkin kerana sumber falsafah yang dibawakan mereka itu bersumberkan falsafah Yunani. Bicaranya dalam kitab al-Fauz al-Asghar menyatakan bahawa tidak terdapat riwayat yang menyatakan filsuf mengingkari adanya Tuhan. Cuma jalan kafahaman yang dirintis para filsuf tidak sama sebagaimana orang awam.

Namun, beliau sependapat dengan al-Kindi dalam menyatakan bahawa Allah Esa dan tiada sesuatu pun yang setanding denganNya. Ibnu Maskawaih berpendapat juga bahawa alam ini diciptakan dari tidak ada kerana setiap penciptaan hanya benar dan sah dari keadaan tidak ada.

Namun, tidak banyak yang diketahui daripada pendiriannya tentang persoalan metafizik jika dibandingkan dengan para filsuf Islam yang mendahuluinya terutama al-Farabi yang menjadi rujukan dalam bidang ini meskipun kebanyakan idea falsafahnya diduga menyalin pemikiran Aristoteles sehingga digelar mu’allim thani (guru kedua) dengan merujuk mu’allim awwal (guru pertama) adalah Aristoteles.

Ahli sejarah berpendapat kurangnya penekanan Ibnu Maskawaih tentang persoalan metafizik kerana beliau lebih menumpukan kepada persoalan akhlak bahkan pada zaman beliau persoalan ketuhanan tidak sangat diperdebatkan berbanding zaman sebelumnya. Literalnya, keutamaan Ibnu Maskawaih kepada persoalan akhlak kerana pada zaman tersebut berlaku keruntuhan akhlak dan dipandang remeh pula oleh masyarakat.

ii. Manusia
Menurut pandangan filsuf ini, manusia diibaratkan sebagai micro cosmos (alam kecil) memiripi persamaan yang terdapat pada macro cosmos (alam besar). Konsep peralihan pancaindera di samping berdaya khas dan hiss musytarak berperanan sebagai pengikat sesama indera. Daya ini kemudian beralih ke tahap daya khayal kemudian ke daya fikir sehinggalan ia berhubung dengan Akal Aktif untuk mengetahui hal-hal Ilahi. Sememangnya sukar untuk difahami pemikiran filsof ini tentang hubungkait antara pancaindera dan hiss musytarak jika tidak diperincikan pandangan-pandangan filsuf lain sebelum dan sesudahnya.

Dalam hal berkaitan roh (jiwa) pula Ibnu Maskawaih berpendapat jiwa adalah jauhar rohani yang kekal. Jiwa adalah abadi. Ia tidak hancur dengan sebab matinya jasad. Tentulah jiwa akan menerima balasan di akhirat nanti. Justeru, Ibnu Maskawaih berpendapat bahawa kesengsaraan atau kebahagian yang akan dibalas di akhirat hanya akan dialami oleh jiwa sahaja. Pendapat ini selari dengan apa yang dinayatakan Ibnu Sina selepasnya.

iii. Kenabian
Dalam hal kenabian, Ibnu Maskawaih sependapat dengan al-Farabi apabila hal nubuwwah ditafsirkan secara akali. Bezanya dalam hal ini Nabi dipimpin wahyu manakala filsuf dipimpin oleh akal melalui daya inderawi ke daya khayal lalu ke daya fikir yang seterusnya berhubung dengan Akal Aktif. Walau bagaimanapun konsep kebenaran adalah satu. Maka pada hakikatnya para filsuf tidak menolak apa yang dibawa oleh nabi kerana nabi membawa ajaran yang benar dan menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.

iv. Akhlak
Kitab Tahzib al-Akhlak merupakan kandungan pemikiran Ibnu Maskawaih tentang pemikiran akhlak secara keseluruhannya. Malah persoalan akhlak adalah salah satu sudut persoalan utama Islam selain sudut akidah dan syariah. Metode penulisan kitab Tahzib al-Akhlak terdiri daripada ajaran falsafah yunani yang merujuk kepada Plato dan Aristoteles yang diadun secara jujur menerusi pengalaman hidupnya dan menghubungkan dengan nilai dari ajaran Islam. Dikatakan bahawa Ibnu Maskawaih sendiri pernah melalui jalan hidup yang ‘gelap’ semasa zaman mudanya. Justeru, tujuan utama beliau menulis adalah sebagai memberikan bimbingan untuk generasi selepasnya agar melakukan perbuatan baik dan bermanfaat sekaligus tidak mensia-siakan umur kehidupan.

Karyanya dalam bidak akhlak ini sering dijadikan rujukan sarjana selepasnya. Mazhab akhlak Ibnu Maskawaih dilihat mempunyai kekuatan tersendiri kerana ia merupakan gabungan antara teori dan praktikal.

Hakikat Akhlak
Persepsi Ibnu Maskawaih tentang akhlak dibahagikan kepada dua iaitu pertama, berasal dari watak dan kedua, berasal dari latihan dan kebiasaan atau diterjemahkan dalam dua unsur iaitu unsur naluri dan unsur usaha. Ibnu Maskawaih menolak sebahagian pandangan falsafah Yunani yang mengatakan akhlak berasal dari watak semata-mata bersifat tidak dapat berubah. Bagi Ibnu Maskawaih akhlak dapat dibentuk menerusi latihan serta pelajaran yang baik. Atas alasan ini dinyatakan bahawa akan wujud perbezaan terhadap sikap manusia.

Prinsip ilmu akhlak Ibnu Maskawaih dirumuskan kepada tiga: pertama, tujuan ilmu akhlak adalah untuk memimpin manusia kepada kesempurnaan. Manusia adalah mekanisme yang unggul tetapi mempunyai kepelbagaian yang hanya akan dapat mencapai kebahagiaan apabila tingkah laku manusia ditertibkan secara pengaturan budaya secara teratur. Kedua, Keseronokan inderawi hanya wajar dipadankan kepada haiwan tidak kepada manusia kerana manusia memerlukan kelazatan akali yang lebih sesuai dengan martabatnya. Ketiga, Anak-anak perlu dididik dengan akhlak mulia. Penyesuaian dikaitkan dengan tiga jiwa secara teratur iaitu jiwa keinginan, jiwa marah dan jiwa fikir.

Sifat-Sifat Keutamaan
Setiap manusia mempunyai satu jiwa dalam dirinya. Jiwa ini pula mempunyai tiga daya seperti yang telah dinyatakan. Sifat-sifat keutamaan dan sifat-sifat kerendahan berkaitan dengan daya-daya tersebut. Hikmah adalah sifat utama untuk jiwa berfikir dan ia lahir dari ilmu; marah merupakan sifat utama bagi jiwa keinginan dan ia lahir dari ’iffah (memelihara kehormatan) dan berani adalah sifat utama jiwa marah dan ia lahir dari hilm (menahan diri).Sekiranya ketiga-tiga sifat keutamaan itu telah sepadan dan serasi akan lahirlah sifat utama keempat yang melengkapi sifat-sifat keutaaam yang telah disebutkan iaitu sifat adil. Justeru sifat-sifat keutamaan disepakati adalah hikmah, ’iffah, berani dan adil.

Perlu ditegaskan sifat-sifat keutamaan itu hanya wujud pada manusia tiada pada haiwan. Manakala manusia pula memerlukan dorongan untuk mewujudkan sifat-sifat tersebut. Ironisnya manusia adalah makhluk sosial dan berbudaya yang saling berhubungan untuk hidup secara bermasyarakat bagi mencapai kebahagiaan. Dari itu Ibnu Maskawaih menolak sifat-sifat keutamaan dalam hidup zuhud yang menolak kehidupan social, memilih menyendiri di gua-gua, gunung-ganang atau mengembara mengasing diri. Memang pun mereka tersisih daripada sifat-sifat tercela tetapi pengasingan tersebut menurut Ibnu Maskawaih tidak bersifat anti atau negatif. Keutamaan wujud apabila adanya penyertaan positif dalam kehidupan yang boleh memberikan kebahagiaan.

Kebahagiaan
Aspek kebahagiaan pula dilihat oleh Ibnu Maskawaih meliputi dua unsur utama manusia iaitu kebahagiaan rohani dan jasmani. Dalam hal ini Plato dan Aristoteles juga berlainan pendapat. Plato mengaitkan kebahagiaan hanya pada unsur rohani dan ia hanya akan dicapai setelah mati. Manakala Aristoteles pula berpendapat bahawa manusia boleh mencapai kebahagiaan di dunia. Namun kebahagiaan tersebut adalah berbeza mengikut keragaman cara hidup.

Menurut Ibnu Maskawaih pula ada dua tingkat kebahagiaan. Pertama kebahagiaan yang berkait dengan unsur material. Kedua kebahagiaan orang yang terikat dengan aspek rohani. Tingkat kebahagiaan tertinggi adalah apabila seseorang tidak lagi terikat dengan material bersifat kebendaan. Setelah mencapai tingkat ini orang itu tidak akan merasakan apapun yang menimpa dirinya atau apa yang dimilikinya. Justeru menurut Ibnu Maskawaih manusia perlu mencapai tingkah kebahagiaan tertinggi dalam hidupnya.

Sumbangan
Antara karya beliau ialah: Tahdzib al-Akhlak wa Tathir al-A’rak, Kitab al-Fauz as-Soghir, Kitab al-Fauz al-Kabir, Tajaribul-Umam dan Tartib as-Sa’adah.


Tamat.

* Sudah dihantar ke sebuah penerbitan tetapi belum terbit. Mana-mana penerbitan yang ingin menerbitkan sila hubungi Akhi Masrawi di talian: 0195785596.

No comments: