Tuesday, January 13, 2009

APA CERITA PELAKSANAAN PROGRAM j-QAF 2009?

Oleh Akhi Mizi

SAMA ADA kita sedar atau tidak, pelaksanaan program j-QAF di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia sudah masuk tahun ke-5. Usia memasuki lima tahun ini, jika manusia (bayi) yang dilahirkan sudah hampir memasuki alam persekolahan. Tetapi j-QAF adalah program yang dilaksanakan khusus untuk memperkasa Pendidikan Islam termasuk Bahasa Arab. Tidak adil jika ia dinilai seperti manusia. Justeru manusia lain, j-QAF lain.

Tetapi lain-lain pun j-QAF tetap ada kaitan dengan manusia kerana wujudnya j-QAF sebab manusia yang mewujudkannya. Bukan sekadar mewujudkan, manusia jugalah yang melaksana dan memikirkan bagaimana cara terbaik untuk mencapai sasaran daripada pelaksanaan program tersebut. Di sekolah manusia itu digelar Guru j-QAF. Baik Guru Pendidikan Islam mahupun Bahasa Arab.

Program j-QAF adakah ada persamaan dengan PPSMI? Saya tidak mempunyai perincian jawapan. Tetapi saya mempunyai persepsi sendiri, jika sama pun masih ada yang tidak serupa. Jika tidak sama pula, masih ada yang hampir serupa. Jika sama dan serupa pun kesannya berbeza. Pening?

Biasanya, kita akan pening. Biasalah tu. Masa saya memohon j-QAF dulu saya tidak fikirkan untuk pening. Masa itu saya cuma fikir mahu jadi seorang guru. Kalau boleh guru yang baik dan cemerlang. Harapan emak dan ayah yang mahukan anaknya menjadi pendidik sangat mapan melekat dalam hati saya. Kerjaya guru adalah kerjaya yang mulia. Jika tidak mulia di pandangan manusia cukuplah mulia di pandangan Allah SWT.

Ada kawan-kawan telefon dan sms saya beritahu mereka pening. Pening dengan jadual waktu, pening dengan kerja yang banyak, pening dengan karenah sekolah, pening dengan jawatan-jawatan tugas khas yang diamanahkan oleh pengurus sekolah, pening dengan macam-macam. Belum lagi masalah peribadi, masalah keluarga, masalah kampung, isu akidah, isu penyerangan Yahudi zionis terhadap Palestin dan lain-lain.

Ada yang sudah mula diberi tugas mengajar subjek selain Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, ada yang terpaksa menanggung bilangan waktu mengajar yang banyak belum masuk tasmik, ada yang terpaksa urus perkara lain sampai tak sempat jenguk bilik j-QAF, ada yang rehat pun tak sempat asyik dapat jadual ganti (sebab guru tak cukup) dan macam-macam lagilah. Tetapi tak mengapa kerana mereka berkerja juga.

Ada yang sibuk urus perkara yang tiada kaitan langsung dengan kerja sampai kerja jadi tak tentu hala. Ada yang rileks saja sebab semuanya rakan-rakan lain dah uruskan. Ada yang buat tak tahu apa yang nak dilakukan. Macam-macamlah ceritanya. Yang mengadu dituduh mengumpat, yang memberitahu bukan niat nak mencela atau menjatuh imej tetapi nak perbetulkan keadaan.

Ingatlah, kita tidak boleh hidup dan bekerja secara tertekan. Jika tertekan, mudah saja. Anggaplah perkara itu biasa saja. Mengadulah kepada Allah. Buat biasa saja. Jika masih tak reda langkah seterusnya adalah rujuk pegawai. Justeru, carilah pegawai dan beritahulah masalah-masalah anda. Jika saya mempunyai masalah saya juga akan memaklumkan kepada pegawai.

Jangan beritahu masalah anda kepada orang yang tidak sepatutnya.
Ingatlah, ini program j-QAF. Program yang sangat bermakna. Melaluinya, manusia akan belajar pendidikan Islam, mampu khatam al-Quran, menghayati Fardhu Ain, belajar Bahasa Arab dan Jawi.

Eloklah kalau tahun ini masalah-masalah yang timbul dapat diatasi segera. Tahun hadapan tahun ke-6 pelaksanaan j-QAF. Tentukan sasaran 100% khatam al-Quran sebagaimana yang dihendaki Menteri Pelajaran dapat dicapai. Jika tidak, entahlah apa akan terjadi.

Sekarang ini, kita masing-masing ada jalan. Tetapi jalan-jalan kita tidak sama. Kalau kita sampai pun pasti tak akan pada masa yang sama. Kalau nak sampai sama, eloklah kita fikirkan cara lain. Kalau orang yang jalan lurus boleh sampai dalam tampoh sama hanya dengan berjalan kaki tentulah orang yang jalannya berliku, beronak duri perlukan jet yang boleh terbang di udara. Jika kita pun berjalan kaki sahaja, mungkin kita tak boleh sampai sama. Kita sampai selepas kenduri habis?

Sekolah 1 kelas, 2 kelas boleh sampai sasaran dalam enam tahun? Sekolah 4,5,6,7.....20 kelas apa cerita pula? Berapa waktu mengajar? Berapa kali KBS, Berapa jam Tasmik? Cukupkah guru?

Guru-guru j-QAF, bermuhasabahlah.

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

1 comment:

kiraziku said...

slm akhi mizi
cuba anta cerita sikit tentang dilema guru jqaf n gpi yang tak mahu membantu khusus dalam tasmik dan kbs n.banyak sekolah yang terjadi sebegitu realitinya...tapi ianya sepi tanpa berita