Wednesday, January 14, 2009

GURU j-QAF: STATUS LUAR NORMA

Oleh Akhi Mizi

SAYA masih ingat dengan pasti semasa menghadiri kursus kurikulum anjuran JPN, kami guru-guru j-QAF dimaklumkan bahawa status kami di sekolah adalah sebagai guru luar norma. Walaupun konsep guru luar norma kurang difahami, tetapi saya beranggapan bahawa guru luar norma ini adalah guru yang tidak seperti guru biasa lain di sekolah. Sebab itu ia dinamakan sebagai guru luar norma.

Guru apa lagi guru luar norma di sekolah? Mungkinkan Guru Kaunselor, Guru Media, Guru Disiplin atau Guru Data? Saya kurang pasti tentang itu. Justeru, buat masa ini Guru j-QAF adalah guru luar norma yang paling ramai mungkin di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Guru sama ada berstatus luar norma mahupun sebaliknya; di sekolah dia tetap guru. Maksudnya guru yang boleh mengajar dan mendidik. Bukan sekadar di dalam kelas bahkan di luar kelas. Bukan sekadar subjek major dan minornya tetapi semua subjek barangkali. Bukan sekadar menunjuk ajar tetapi boleh melatih biarpun guru-guru ini bukanlah mempunyai kompetensi yang sempurna untuk semua hal. Sudah namanya guru, tentu boleh saja.

Guru j-QAF di sekolah mempunyai peranan lebih daripada sekadar guru. Guru j-QAF di sekolah perlukan kemahiran lebih dari sekadar boleh mengajar dan mendidik. Guru j-QAF di sekolah kena jadi guru super. Tetapi persoalannya benarkah semua guru j-QAF di sekolah boleh jadi super?

Guru j-QAF di sekolah pulang pada jam 3 petang. Guru-guru biasa lain pernah bertanya kenapa pulang lewat? Guru j-QAF ada jawapannya. Sebab itu guru j-QAF di sekolah jadi super. Bukan sebab pulang lewat itu, tetapi sebab guru j-QAF ini sanggup pulang lewat daripada guru-guru lain. Bagi yang ada sesi petang pula, guru j-QAF datang awal daripada guru-guru lain. Barangkali awal 2 jam. Jadual waktu sudah banyak tetapi dapat juga jadual ganti. Itu tandanya kita amat diperlukan.

Bukan sekadar itu, Guru j-QAF juga sanggup mengadakan kem dan bertugas pada hari-hari cuti. Buat kelas tambahan. Buat itu ini... sebab guru j-QAF ini guru luar norma.

Tetapi itu semua tidak menjadi masalah. Biarlah guru-guru j-QAF ini mengajar dan mendidik dengan ikhlas. Biarlah mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh mencapai aspirasi memperkasa Pendidikan Islam. Biarlah mereka mengerjakan tugas dan amanah Allah SWT.

Perkara yang menjadi masalah adalah, apabila guru j-QAF yang statusnya luar norma ini di sekolah kena mengajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani Kesihatan, Sivik, Matematik, muzik dan lain-lain. Apakah ini hal biasa? Saya rasa ini bukan lagi hal biasa. Hal ini perlukan tindakan segera. Benarkah perkara ini wujud?

Dilema kekurangan guru. Guru yang ditukarkan tidak melapor diri. Guru ganti belum dilantik. Murid bertambah kelas terpaksa ditambah tetapi guru tak bertambah. Semua itu akhirnya menyebabkan guru j-QAF yang statusnya luar norma ini dipilih untuk mengajar kelas-kelas lain. Alasannya Pendidikan Islam sudah ada gurunya. Habis apa halnya j-QAF?

Mujurlah sekarang bulan Januari. Mungkin Februari nanti akan bertambah guru. Bukan setakat guru biasa tetapi guru j-QAF juga. Pada masa itu, semuanya akan reda. Semua akan kembali kepada sepatutnya. Tetapi... sementara itu jalankan apa yang sedang diarahkan. Jangan sesekali kita menentang Pengurusan sekolah. Mereka juga tidak mempunyai alternatif lain buat masa ini.

Sama-samalah berdoa, semuanya akan kembali baik.
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

No comments: