Monday, February 23, 2009

TERINGAT "UMMU DUNYA" MESIR 1

Oleh Akhi Mizi

NOSTALGIA safar ilmu selama empat tahun lebih di Ardil Kinanah "ummu dunya" Mesir tetap segar di saku ingatan. Tidak mungkin dapat saya lupakan. Memori indah terutamanya. Memori zaman belajar. Zaman bergelar mahasiswa. Terasa cepat sungguh masa itu berlalu.

Langkah pertama di Mator Jadid Cairo pada jam 6.40 a.m waktu Mesir pada 11.10.1999 itu adalah permulaan yang menjadi langkah perjuangan untuk mencicip ilmu di Universiti Al-Azhar. Ditakdirkan permohonan saya untuk menyambung dalam Fakulti Syariah Islamiah di Al-Azhar Tanta makbul. Sebelum ditauzi’kan ke Furu’ el-Gharbiyah sempat juga bertalaqqi al-Quran di Masjid Raba’ah el-Adawiyah, menghadiri Muhadharah Ulum Hadis Dr. Ahmad Umar Hasyim yang ketika itu merupakan Rektor Al-Azhar.

Melengkapi diri dengan kitab-kitab kecil silsilah Abdullah Nasih Ulwan, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, dan Al-Ustaz Said Hawa yang diratah isinya. Berjemaah di masjid-masjid sejurus mendengar azan tidak kira di mana berada. Bermuzakarah isi-isi kitab kuliah dan kitab-kitab rujukan dalam liqa' bersama teman seperjuangan. Jaulah dan rehlah pada masa cuti. Bertalaqqi al-Quran. Mentasmik hafazan. Talaqqi kitab dan Daurah Hadis. Bersembang sampai larut malam. Ke mana-mana memanjat bas awam, kereta api, metro atau el-tramco. Semuanya sirna kini. Rindu sangat rasanya.

Empat tahun lebih di Mesir bukanlah lama sangat. Sepanjang tempoh itu sekali pun saya tidak pulang bercuti di tanahair. Bila dikenangkan, masa-masa yang dihabiskan di Mesir adalah masa-masa yang amat bermakna dalam hidup. Biarpun tidak semuanya manis. Biarpun tidak semuanya suka. Tetapi pahit dan duka itu adalah pelengkap kepada suka dan manis kehidupan yang realitinya memang begitu.

Mesir membayangkan saya kenangan-kenangan itu semua. Andai saya boleh ke sana lagi... saya pasti rindu akan terubat meskipun cuma sedikit. Lantaran segalanya tidak akan berulang kembali. Mereka yang berdampingan dengan saya dan perjuangan menuntut ilmu adalah insan-insan yang mengetahui sebahagian daripada kisah-kisah saya.

Cukup cepat masa berlalu.

Pulang kembali ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 18 Disember 2003. Disambut keluarga dan sanak saudara. Ceria walaupun air mata tertumpah lagi sekali. Saya ingat masa saya nampak wajah emak saya cuma menuturkan "cukuplah, tak mau teriak lagi dah..." tapi hakikatnya... emak mengesat air matanya dan saya pun turut sama.

Kini segalanya telah pergi. Segalanya tinggal memori.

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

5 comments:

Anonymous said...

AIRASIA BUAT TAMBANG MURAH KE MESIR >>NAK GI KE..hehehhe

SOHAINA MOHD SALLEH said...

Ana pun sangat rindukan saat-saat di Mesir.Rasa belum puas untuk mencedok ilmu tapi terpaksa balik lepas tamat imtihan tahun empat kerana sakit.result periksa pun kawan yang ambil.Alhamdulillah walaupun lagi 16 markah nak jayyid jiddan tapi dapat jayyid je pun dah syukur.yang penting ilmu itu mesti digunakan.

SOHAINA MOHD SALLEH said...

Betul ker tambang ke Mesir dengan Air Asia murah.Ana rindu sesangat sehingga Ana dah pegi tanya MAlaysian Airline.Terkejut jugak dah naik rm3000.00 pergi sahaja.Dulu Ana hanya bayar tambang rm900.00 je ke Mesir pada tahun 1996 -2000

Anonymous said...

Mizi-Dapat jumpa hang sebelum balik pun dah kira OK :).

Brahim-Jom pakat-pakat pi... Us Syed al Joofry pernah habaq kata; kalau pernah minum air sungai nil, mesti hati akan teringat selalu ingin pergi kembali ke sana.

Anonymous said...

anNaQshY, kata-kata itu asal matannya macam ni, minumlah walau seteguk air sungai Nil, pasti kamu akan terkenang dan kembali ke dada Mesir... hehe. Orang Arab kata gitulah... lebih kurang. dulu aku minum muyyah sabil dalam labu tepi jalan... haha, dan depan masjid. mesti aku dpt kembali ke mesir suatu hari nanti.