Tuesday, July 14, 2009

BARU LIMA TAHUN... (Siri 2)

Oleh Akhi Mizi

Akhi Mizi masih merenung dan terus merenung mencari diri yang sebenar sebagai seorang guru.

KADANG-KADANG kita tidak sedar, ketika kita sedang menangis kita merasakan diri keseorangan tetapi sebenarnya ada orang lain yang menumpang rasa sedih atas tangisan itu. Kita selalu mengatakan kita keseorangan ketika duka tetapi hakikatnya kita ada teman yang ramai. Teman berduka... kerana hidup ini tidak semata-mata untuk suka. Lebih dahsyat kedukaan mereka berbanding kita. Mengapa kita harus lagi untuk merasakan keseorangan dan kesepian? Jika kita sebenarnya yakin bukan cuma kita seorang yang sedih dan berduka.

Mungkin kita diuji dengan kehilangan, tetapi orang yang diuji dengan kematian bukankah lebih dahsyat?

Yakinlah, Tuhan Maha adil. Dialah yang memberikan kita apa yang kita miliki sekarang. Dia Maha berkuasa. Bila-bila masa sahaja dia boleh mengambilnya semula. Justeru berdoalah kepadaNya agar kita diberikan rasa sabar, cekal dan tabah dalam jiwa. Lantaran kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara.

Masih banyak impian dan cita-cita kita yang belum tercapai. Akan tercapaikah? Entahlah. Masih jauh perjalanan hidup ini kerana kita tidak tahu bila sebenarnya tarikh ajal kita. Jika kita tahu, tentulah kita akan pesimis, putus asa, lemah semangat dan menyerah kalah. Itulah yang tidak sewajarnya. Mengingati mati adalah mulia. Namun bukan mengingati mati dengan meninggalkan semua perkara. Lantaran dunia adalah tempat persinggahan untuk menjadi jambatan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.

Setiap takdir di dunia ini adalah percaturan Allah SWT. Jika ini pun masih tidak diyakini, manakah martabat keimanan kita? Tidakkah kita berpegang dengan rukun iman yang ke-6 itu? Tidakkah kitalah guru yang sering mengajarkan ini kepada anak didik kita? Guru jenis apakah kita ini kalau mengajarkan saja, mengamalkan tidak?

Tuhan telah mentakdirkan saya menjadi seorang guru dan berstatus Guru j-QAF. Justeru saya akur dan terima dengan rasa syukur.

Status guru agama bukan untuk dibanggakan, meskipun Islam memuliakan kita? Status ini untuk dihayati. Sejauh mana kita telah memahami cara mendidik anak-anak didik kita? Sejauh mana kita telah berusaha membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan? Sejauh mana kita telah melaksanakan amanah mendidik ini dengan cara yang paling berkesan?
Banyak lagi soalan-soalan muhasabah seperti ini yang boleh dicipta, dibaca dan difikirkan. Namun, bolehkah kita berjanji dengan diri sendiri bahawa kita bukan guru biasa. Kitalah guru agama. Guru yang luar biasa.

Ketika Nazri di Blognya TERATAK JALAI JAYA menulis ALIH-ALIH LIMA TAHUN, saya tersenyum sendirian. Memang benar apa yang ditulis olehnya tentang guru j-QAF yang berkorban balik lewat mengajar di luar jadual waktu persekolahan iaitu kelas tasmik. Tidak kira lagi KBS di hujung minggu. Tetapi pada saya itu semua adalah pengorbanan yang memang perlu dilakukan dengan ikhlas. Sama ada kita suka atau tidak suka. Itulah hakikatnya.

Dulu pun ketika PPSMI diperkenalkan pada 2003, guru-guru Matematik dan Sains terpaksa juga mengajar dalam Bahasa Inggeris walaupun mereka sendiri tidak bersedia, tidak mampu dan tidak ikhlas barangkali. Tetapi mereka mengikut juga dasar itu kerana adanya elaun 10% dan 5%. Justeru apabila murid tidak faham, tidak mampu menguasai guru pun mengajarlah dalam bahasa yang mudah difahami iaitu Bahasa Melayu @ Bahasa Malaysia @ Bahasa Kebangsaan semasa pelaksanaannya (2003-2012). Irosnisnya, bayaran elaun itu Cuma 10% maka 10% sahajalah mengajar dalam Bahasa Inggeris. Akhirnya apa jadi? Kerajaan mengambil keputusan memansuhkan PPSMI dengan alasan yang relevan setelah melalui fatrah yang agak panjang. Apakah yang akan terjadi kepada generasi itu agaknya? Mungkinkah akan wujudnya jurang yang amat berbeza antara murid yang menguasai dengan murid yang ketinggalan?

j-QAF (Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain) apa ceritanya pula? Cerita berjaya atau cerita gagal? Mesti ada kedua-duanya. Adakah terlalu awal untuk membuat refleksi? Saya rasa tidak. Sekarang sudah masuh tahun ke-5 pelaksanaannya.

Saya masih ingat dengan pasti, ketika lawatan seorang pegawai kanan di JPN Kedah ketika itu ke sekolah saya untuk memantau pelaksanaan program j-QAF pada tahun 2005, kami dimaklumkan peruntukan untuk pembangunan makmal j-QAF akan turun dan sekolah saya dan sebuah lagi sekolah di daerah ini telah dimaklumkan akan menjadi antara sekolah terawal akan menerima kemudahan itu. Saya tidak pasti sekolah-sekolah di Daerah lain dalam negeri Kedah ini jika mendapat makluman yang sama. Tetapi sehingga kini tahun 2009, jangan kata makmal dan kemudahan yang dijanjikan itu sebuah komputer atau laptop pun tak diberikan. Kalau makmal yang dijanjikan itu akan dilengkapi dengan makmal Bahasa Arab, Bilik Pemulihan Jawi dan pejabat yang dilengkapi dengan peralatan seperti LCD, laptop/komputer, Layar LCD, kerusi meja dll sehingga kini yang kami ada cumalah sebuah bilik j-QAF berstatus tumpang (asal sebuah bilik darjah).

Ketika PPSMI dilaksanakan dulu, guru-gurunya bukan sahaja di bekalkan dengan laptop, LCD bahkan pelbagai kemudahan dan perisian untuk memastikan PPSMI berjaya.

Guru-guru j-QAF ini akhirnya keluarkan wang gaji sendiri untuk membeli laptop untuk mengajar menggunakan ICT. Kalau mengajar tak guna ICT, nanti dikatakan ketinggalan zaman dan macam-macam. Laptop itu jugalah digunakan untuk megisi data, menyediakan rekod, laporan dan sebagainya. Tidak ikhlas lagikah guru j-QAF yang sanggup berkorban sebegini?

Tetapi apa nasibnya j-QAF? Sama-samalah kita renungkan. Selain berita-berita di akhbar dan sedikit sedutan di tv saya rasa belum ada lagi iklan khas tentang program j-QAF ini ditayangkan di tv. Bukankah kita maklum ini program perdana yang punya peruntukan besar? Mengapa tidak diwar-warkan kebaikan program j-QAF di media elektronik. Adakah kita yakin semua masyarakat sudah tahu apa itu j-QAF? Atau adakah hendak tunggu j-QAF juga menerima nasib seperti PPSMI?

Dalam model j-QAF penekanan kepada Jawi, Khatam Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain. Tujuannya Cuma satu iaitu memperkasa Pendidikan Islam. Tujuan yang murni ini bukan boleh dicapai dengan satu usaha. Sebaliknya semua berperanan barulah boleh mencapainya. Bukan hanya sekadar Pendidikan Islam itu dilihat pada silibus kurikulum semata-mata, tetapi secara keseluruhannya. Semuanya hendaklah diperkasa. Dari atas sampai bawah. Syumul.

Setelah lima tahun berlalu, kesedaran menguasai jawi mula tersemat. Rasa bangga dan seronok melihat murid-murid dapat membaca dan menulis jawi dengan betul dan baik. Pelbagai kemahiran dapat dikuasai.

Murid yang Khatam Al-Quran meningkat ketara. Dulu sebelum ada j-QAF bukan tidak ada murid yang khatam semasa di sekolah rendah tetapi jumlahnya kecil. Sekarang dengan adanya j-QAF murid-murid yang khatam al-Quran ini bertambah tahun demi tahun, bulan demi bulan, minggu demi minggu, hari demi hari. Mutu bacaan Al-Quran juga meningkat.

Murid-murid yang dulunya tidak tahu mengambil wuduk kini sudah pandai. Bukan itu sahaja, bertayammum pun mampu. Murid juga mampu melaksanakan solat berkat usaha mengadakan Kem Bestari Solat. Rajin pula mereka solat sampai bersepah sejadah di surau. Berpasir lantai surau. Tak mengapalah asalkan mereka mahu solat.

Murid yang dulunya tak minat dan takut kepada Bahasa Arab kini sudah mampu menguasai kalimat-kalimat, ibarat dan ayat-ayat Bahasa Arab. Bukan sekadar mendengar, bertutur dan membaca bahkan mereka juga dilatih menulis dengan pendekatan imlak. Hebat bukan? Bukanlah betul semua. Tetapi nyata mereka mampu.

Itu semuanya cerita-cerita manis. Yang suka. Yang duka belum diterjemahkan.

Hakikatnya, jalan untuk mencapai ke tahap itu bukanlah mudah. Hanya yang jadi guru j-QAF sebenar sahaja yang tahu. Guru-guru j-QAF ini pula dibebani dengan bermacam-macam data, rekod, analisa, dan pelaporan selain tugas mengajar dan tugas-tugas di sekolah. Guru-guru j-QAF itu jugalah yang menjadi jurulatih untuk menjayakan program-program ko-akademik seperti MTQ, MKQ, Kem Literasi, Mukhayyam Bahasa Arab dll di peringkat daerah dan negeri. Bukan guru-guru lain. Guru j-QAF itulah.

Ada daripada kalangan guru-guru j-QAF ini yang komitmen bukan main-main tetapi akhirnya tidak dihargai pun oleh orang-orang atas. Kasihan mereka. Itulah hakikatnya. Bukanlah senang menjadi guru j-QAF ini. Apatah lagi statusnya ialah guru luar norma. Tinggal kelas dan sekolah semata-mata menghadiri mesyuarat. Kerja di sekolah tak siap, alih-alih kena pantau menggelupur seorang diri. Siapa nak bela? Sendiri mahu ingatlah...

Perlukah dibongkar yang pahit-pahit lagi, yang duka nestapa untuk menyatakan j-QAF yang sebenar? Rasanya tidak perlu.

Pengalaman saya sepanjang lima tahun ini pun jika diingat balik banyaknya manis. Seperti yang saya tulis di awal-awal lagi. Kalau kita rasa kita menangis seorang diri, sedarlah ada orang lain yang menangis dan sedih sebagaimana kita. Kalau kita rasa kita sudah teruk diuji, sedarlah ada orang lain lebih dahsyat lagi.

Pahit manis sepanjang lima tahun bergelar guru j-QAF akan diingat sebagai memori yang tidak akan terpadam. Yang sentiasa dikenang boleh jadi sepanjang hayat.

Pernahkah anda membaca Novel Saga? Teknik ceritanya daripada pelbagai watak. Ini cerita saya. Barangkali cerita Nazri, Rokhaimi, Amrusyam, Akmal Ahmad dan orang lain berbeza. Itulah yang dinamakan antara persepsi dan realiti.

Bersambung....???

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
SMS 0195785596

2 comments:

AmalImtiyaz said...

Jika dipanjangkan umur, aku pencen umur 56....

everjihad said...

ditakdirkan terjumpa blog ni dari blog alqasam kalau tak silap.

dan ditakdirkan terklik blog ni dan terbaca sikit pasal j-qaf.

saya guru ganti j-qaf. hanya untuk sementara.

macamana ye nak ajar budak2 ni yang tak dengar cakap. ada kelas memang haru biru.

ada budak yang memang tak minat belajar, asyik main je.

bila suruh buat keje, malas2. ada berdegil tak nak buat.

saya ni, tak tau la. rasa memang tak cukup tegas. tak reti nak marah. kadang2 macam malas nak marah2. saya tak suka nak marah. tapi saya tak tau apa cara yang boleh buat budak2 dengar cakap.

saya memang takde pengalaman mengajar. ini pun bidan terjun, ada permintaan gantikan guru yang nak bersalin.

boleh tak kongsi apa2 pengalaman mengajar khususnya kalau nak ajar j-qaf ni?

saya ada terfikir jugak macam nak buat game. tapi masih memikirkan game macamana yang sesuai..yang boleh tarik minat budak2 ni nak belajar.

harap boleh berkongsi pandangan.

terima kasih...