Saturday, July 11, 2009

BARU LIMA TAHUN...

Oleh Akhi Mizi

Gambar 1: Tiga insan dalam gambar ini bolehkah meyakinkan diri untuk berjumpa dan makan seperti ini lagi? Ini kerana Hj. Rushdan akan menyambung PHD, Ustaz Nasir Awang akan ke KUIN sebagai Tutor, dan Ustaz Rokhaimi akan ke... mana lagi? hehehe. Sendiri mau ingatlah...


Gambar 2: Pada malam perjumpaan itu, aku pun meluahkan cerita yang terbuku di hati hal perjuangan j-QAF di Pulau Langkawi ini. Hj. Rushdan sentiasa duk kalut dengan Blog dia... blogsppimkedah akan terus beroperasi lagikah? Aku yang ajar dia buat blog, tapi sekarang dia jauh kehadapan daripada aku.


Gambar 3: Aku masih mencari sasaran sebenarnya aku sebagai guru. Matlamat dan sasaran mungkin banyak sebab itu aku tak dapat tembak... masih memilih dan mencari sasaran aku. Suatu hari nanti aku akan tembak juga.


TERINGAT pertanyaan seorang guru praktikum yang melapor diri menjalani praktikum di sekolah tempat saya bertugas, “ustaz dah berapa lama di sini?”

Dengan nada selamba saya menjawab, “baru lima tahun.”

Dia kemudian senyum, saya pun turut senyum membalas.

Benar. Saya sudah memasuki tahun ke-lima berkhidmat sebagai guru. Sudah menjadi sidikit senior dalam profesion ini. Bahkan dari aspek umur GST, guru-guru ganti, GSTT dan guru kontrak yang datang pada tahun ini kebanyakannya lebih muda berbanding saya.

Teringat masa mula-mula menjejak kaki ke sekolah tempat saya bertugas ini, sayalah antara orang yang muda pada kiraan usia dan pengalaman. Ketika itu saya masih bujang. Masih punyai tubuh badan yang cantik. Sekarang, bak sindiran sahabat Rokhaimi dalam blognyalah. Sendiri mau ingat...

Banyak yang berbeza jika dibandingkan dulu dengan sekarang.

Pada ketika itu sayalah antara orang baru dalam penglibatan sebagai guru. Tetapi sekarang sudah banyak berubah. Seperti berubahnya fizikal dan kehidupan saya. Biarpun saya sudah berganjak menjadi senior tetapi saya literalnya masih hijau. Dalam kata lain, senior yang belum cukup kemahiran dan masih sedikit pengalaman. Senior yang masih perlu belajar dan terus belajar.

Persepsi saya mudah saja, dalam profesion perguruan hanya guru yang mengamalkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dan mengambil peduli tentang aspek perancangan, pelaksanaan dan refleksi sahaja yang sentiasa memperbaiki diri, mempersiap dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik dan berkesan.

Semua itu bukan mudah. Hanya yang sebenar-benar guru sahaja yang memahaminya. Jika diperhatikan kepada ilmu pendidikan ia pada saya amat membantu. Apa juga konsep pengajaran dan pembelajaran yang ditemukan hasil praktikal di lapangan ia tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menjadi satu cara penyampaian ilmu agar jadi lebih baik dan berkesan.

Namun, apa yang perlu difahami bukan semuanya mampu dilaksanakan oleh guru. Misalnya P&P bestari yang memerlukan kepada guna pakai peralatan ICT @ TMK (Teknologi Maklumat & Komunikasi) hampir mustahil dapat dilaksanakan oleh setiap guru. Fasiliti yang disediakan di sekolah harian (bukan merujuk kepada sekolat elit) adalah terhad. Bukanlah niat saya untuk mencari alasan, tetapi kesimpulan yang perlu difahami adalah kita masih jauh ketinggalan menyediakan kemudahan pendidikan ke arah aspirasi sekolah bestari?

Seringkali guru dijadikan punca kepada kurangnya motivasi murid untuk belajar. Tetapi apakah tidak ada aspek lain yang menjadi sebab sampingan perkara tersebut? Jika hanya gurulah semata-mata puncanya tentulah guru juga punca kegagagalan masa depan.

Percayalah, sebagai guru tidak mungkin terpahat di sanubari untuk memusnahkan generasi dengan sengaja tidak mengajar. Sengaja tidak mengajar itu seumpama sengaja tidak masuk kelas.

Apakah kita sedar hal sebenarnya? Guru pada masa kini tidak hanya semata-mata mengajar. Ada berpuluh, beratus malah beribu peranan guru. Tetapi saya cukup kagum guru-guru biarpun difitnah dan ditohmah itu ini oleh anggota masyarakat tetap menjalankan tugas seperti biasa. Biarpun diuji dengan pelbagai situasi guru tetap teguh menjalankan amanah mendidik kerana mereka sedar mendidik itu adalah tugas yang mulia.

Melihat diri sendiri di sekolah tempat saya bertugas, saya bermuhasabah. Ada guru-guru yang lebih senior bahkan yang hampir ke era bersara pun ada. Ada yang masih muda baru mengenali pahit getir menjadi guru. Pelbagai ragam dan perangai pun ada. Tetapi, kita adalah kita. Selagi kita kenal diri dan berpegang dengan falsafah hidup yang benar kita tetap akan meneruskan perjuangan yang benar.

Banyak yang sudah berubah dan akan berubah sejak lima tahun ini. Ketika mula mendapat tawaran sebagai guru j-QAF dan ditempatkan di SK Padang Matsirat, saya banyak yang tidak itu. Begitulah resamnya orang baru. Tetapi sekarang alhamdulillah bolehlah sedikit sebanyak saya menbantu rakan-rakan lain. Sepanjang lima tahun ini saya perlu terima hakikat saya kehilangan beberapa perkara. Pertama saya kehilangan kawan baik saya dalam j-QAF iaitu Us. Nasir Ibrahim yang meninggal tahun lepas. Kedua saya telah kehilangan bos yang paling saya kagumi iaitu Hj. Mohd Rushdan Azizan yang akan menyambung pengajian di peringkat PHD. Sekarang saya sedang menelan kehilangan kawan-kawan seperjuangan yang sudah pun dapat tukar ke Tanah Besar sana meninggalkan Pulau Langkawi ini. Mereka adalah Malik, Aizul, Yusnita dan bakal menyusul ialah Syekh Nasir Awang. Mereka ini semuanya rapat dengan saya sebagai kawan seperjuangan. Banyak yang saya lalui dengan mereka. Ada yang jadi kenangan manis dan ada yang jadi kenangan pahit. Tetapi semuanya bermakna buat saya.

Saya masih bertuah kerana biarpun segalanya terpaksa saya telah, saya bersyukur kerana Rokhaimi dan Bashir Auni masih ada di Padang Matsirat. Selain itu Johari, Zul dan Dhiyauddin pun masih ada di Kuah. Maknanya masih di Langkawi. Bila ingatkan semua kawan-kawan saya ini saya rasa macam baru semalam mengenali mereka tetapi persahabatan yang terbina amat bermakna. Banyak yang sudah berubah seperti yang Rokhaimi tulis dalam blognya. Bertakung air mata saya baca blog Rokhaimi kerana apa yang ditulisnya itu adalah hakikat yang pahit perlu ditelan. Antara pertemuan dan perpisahan.

Dulu saya cukup takut dengan pegawai-pegawai dari PPD dan JPN. Apatah lagi kalau masuk bab pemantauan. Tetapi yang nyata ketakutan itu kadang-kadang hilang begitu sahaja dengan keramahan mereka. Saya cukup kagum dengan pegawai-pegawai ini bila mereka bersikap mesra dan ramah dengan guru biasa seperti saya. Bahkan ada antara mereka ini yang murah hati belanja makan guru biasa seperti saya. Saya rasa syukur dan bertuah. Biarpun Hj. Rushdan meninggalkan kerusi pegawai j-QAF dan berganti dengan Ustaz Musa dan kemudian sekarang ini Ustaz Somad, saya tetap juga beranggapan ketiga-tiga mereka tetap ada hubungan dengan j-QAF. Bukan itu saja, Ustaz Ismail Yahya, Ustaz Khairul Anuar dan Ustaz Mahir pun sama juga. Dalam MTQ Warga Pendidikan di Langkawi baru-baru ini saya berasa wujudnya saya di kalangan mereka. Satu perasaan yang sukar digambarkan.

Kalau ikutkan hati memang rasa lemah semangat sebab Hj. Rushdan akan meninggalkan kerja-kerja j-QAF dengan kami yang masih berjuang. Masih belum tahu kalah menang. Saya sematkan di hati, jangan kita pedulikan desakan diri, jadi guru memang tak boleh jadi kaya. Nak berumah besar, kereta mewah belum tentu. Jangan terkalah dengan desakan luar, jadi guru dan berkerja bukan semata-mata untuk habuan dunia. Jangan harap sangat pada kenaikan pangkat. Jangan harap sangat pada kenaikan itu ini, lulus PTK atau tak lulus itu bukan alasan untuk patah semangat dan putus asa. Lantaran sebenarnya jadi guru kita akan menjadi mulia.

Baru lima tahun, ada berpuluh-puluh tahun lagi di hadapan. Benarlah, perjalanan masih jauh dan berliku.




Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

1 comment:

miorjqaf said...

Setuju 100%
Semoga matlamat makin jelas..
Sasaran makin tepat..
Kerja makin bersemangat..
Usaha menjadi berkat..
:)
hmm.. betul.. baru 5 tahun.. apalah sangat...