Monday, February 23, 2009

TERINGAT "UMMU DUNYA" MESIR 1

Oleh Akhi Mizi

NOSTALGIA safar ilmu selama empat tahun lebih di Ardil Kinanah "ummu dunya" Mesir tetap segar di saku ingatan. Tidak mungkin dapat saya lupakan. Memori indah terutamanya. Memori zaman belajar. Zaman bergelar mahasiswa. Terasa cepat sungguh masa itu berlalu.

Langkah pertama di Mator Jadid Cairo pada jam 6.40 a.m waktu Mesir pada 11.10.1999 itu adalah permulaan yang menjadi langkah perjuangan untuk mencicip ilmu di Universiti Al-Azhar. Ditakdirkan permohonan saya untuk menyambung dalam Fakulti Syariah Islamiah di Al-Azhar Tanta makbul. Sebelum ditauzi’kan ke Furu’ el-Gharbiyah sempat juga bertalaqqi al-Quran di Masjid Raba’ah el-Adawiyah, menghadiri Muhadharah Ulum Hadis Dr. Ahmad Umar Hasyim yang ketika itu merupakan Rektor Al-Azhar.

Melengkapi diri dengan kitab-kitab kecil silsilah Abdullah Nasih Ulwan, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, dan Al-Ustaz Said Hawa yang diratah isinya. Berjemaah di masjid-masjid sejurus mendengar azan tidak kira di mana berada. Bermuzakarah isi-isi kitab kuliah dan kitab-kitab rujukan dalam liqa' bersama teman seperjuangan. Jaulah dan rehlah pada masa cuti. Bertalaqqi al-Quran. Mentasmik hafazan. Talaqqi kitab dan Daurah Hadis. Bersembang sampai larut malam. Ke mana-mana memanjat bas awam, kereta api, metro atau el-tramco. Semuanya sirna kini. Rindu sangat rasanya.

Empat tahun lebih di Mesir bukanlah lama sangat. Sepanjang tempoh itu sekali pun saya tidak pulang bercuti di tanahair. Bila dikenangkan, masa-masa yang dihabiskan di Mesir adalah masa-masa yang amat bermakna dalam hidup. Biarpun tidak semuanya manis. Biarpun tidak semuanya suka. Tetapi pahit dan duka itu adalah pelengkap kepada suka dan manis kehidupan yang realitinya memang begitu.

Mesir membayangkan saya kenangan-kenangan itu semua. Andai saya boleh ke sana lagi... saya pasti rindu akan terubat meskipun cuma sedikit. Lantaran segalanya tidak akan berulang kembali. Mereka yang berdampingan dengan saya dan perjuangan menuntut ilmu adalah insan-insan yang mengetahui sebahagian daripada kisah-kisah saya.

Cukup cepat masa berlalu.

Pulang kembali ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 18 Disember 2003. Disambut keluarga dan sanak saudara. Ceria walaupun air mata tertumpah lagi sekali. Saya ingat masa saya nampak wajah emak saya cuma menuturkan "cukuplah, tak mau teriak lagi dah..." tapi hakikatnya... emak mengesat air matanya dan saya pun turut sama.

Kini segalanya telah pergi. Segalanya tinggal memori.

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Sunday, February 22, 2009

TERKENANG YANG BAIK-BAIK

Oleh Akhi Mizi

SAYA sendiri sedar perubahan berlaku pada otot-otot wajah saya ketika membaca semula catatan-catatan saya yang lepas-lepas, terutamanya catatan-catatan selepas bergelar guru j-QAF. Dahi saya mengerut, muka mencuka, mata mengecil dan dada resah. Ironisnya saya sendiri tidak faham mengapa kebanyakan catatan saya itu menatijahkan hal demikian. Justeru, saya hendak berhenti menulis.

Berhenti menulis yang saya maksudkan adalah menulis realiti yang kebanyakannya adalah umpama bara yang membakar. Ia bukan sahaja membakar sesuatu tetapi membakar diri juga. Realiti yang saya tulis kebanyakannya sukar diterima dan ditelan. Ini kerana memang kita sukar untuk hidup mendepani realiti yang sukar-sukar ini. Realiti yang tidak enak ini kita semua memang tidak mahu, tetapi hakikatnya bukan semuanya indah seperti yang diaspirasikan.

Dunia pendidikan pada saya patut diterjemahkan dengan merakamkan perkara-perkara yang enak dan lazat. Lantas saya terkenangkan catatan-catatan saya semasa zaman belajar dahulu. Entah mengapa, saya sendiri tidak jemu membaca cerita sendiri. Mungkin kerana kebanyakan catatan itu adalah catatan yang menyenangkan dan baik-baik sifatnya.

Saya mempunyai pilihan. Sama ada hendak terus membongkar realiti yang pahit-pahit atau menulis yang molek-molek dan indah-indah. Semuanya terpulang kepada diri. Kerana wacana bukan sempit.

Rehat. Masa akan tamat. 10 minit lagi kembali ke kelas. Formaliti bukan cara saya. Saya suka cara santai. Saya hendak berhenti menulis.

Tetapi bukan bermakna saya hendak berhenti menulis semuanya. Kerana menulis itu adalah minat dan perjuangan saya.


Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Tuesday, February 17, 2009

BERHENTI MENULIS

Oleh Akhi Mizi

SAYA mahu berhenti menulis. Benarkah? Ya benar. Memang benar. Tapi sekarang ini pun bukankah saya masih menulis?

Sebenarnya saya menipu diri sendiri jika saya nyatakan saya mahu berhenti menulis kerana menulis kepada saya adalah sesuatu yang tidak mungkin saya tinggalkan. Jika begitu kenapa tidak menulis? Menulislah dan teruskan menulis.

Biarkanlah apa pun tanggapan orang. Menulislah terus. Itulah desakan yang saya dapat sebagai motivasi sedangkan mereka sedikit pun tidak fikir, akibat yang terpaksa ditanggung penulis. Bukti-bukti yang ada di sekeliling sudah jelas, jadi benarlah saya memang mahu berhenti menulis.

Penulisan realiti, adalah genre yang berbahaya kepada penulis. Apa gunanya menulis jika sudah tahu bahaya di hadapan. Lebih baik saya tumpukan kepada kerjaya saya sebagai seorang guru. Kerja-kerja pun banyak dan ada yang terbengkalai.

Penulisan adalah bidang sampingan. Saya akan terus menulis dalam genre yang kurang berisiko. Pastinya genre kreatif dan genre ilmiah.

Justeru, sekarang ini saya nekad.

Blog ini akan berubah lagi sekali pengisiannya. Maaf, jika ia tidak memenuhi citarasa anda.


Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

Monday, February 2, 2009

ASPIRASI DAN REALITI: ANTARA KEMAHUAN DAN KEMAMPUAN

Oleh Akhi Mizi

TIDAK semua orang suka situasi serius ketika berbincang. Ada orang yang lebih suka cara santai dan kelihatan tidak formal. Bahkan itulah yang majoritinya. Meskipun sebenarnya masih ada yang suka cara serius kerana pada mereka cara serius itulah cara terbaik.

Masing-masing kita mempunyai persepsi yang berbeza. Jangan salahkan perbezaan itu, kerana ia memang diciptakan Tuhan untuk kita berfikir.

Bagaimanapun saya sukakan cara santai kelihatan tidak formal dan mesra ketika berbincang. Ini bukanlah bermaksud dalam semua situasi lantaran pada situasi tertentu kita memangnya perlu serius.

Saya cuma boleh meneka, tidak semua guru j-QAF baik GDL mahupun guru yang telah berstatus GST atau PPPS memahami 100% pelaksanaan program j-QAF. Barangkali buku panduan dan model-model P&P Kurikulum dan Ko-Kurikulum j-QAF pun tidak dihadap dengan berkesan. Setelah itu, muncullah masalah dari sudut pelaksanaan.

Sebenarnya siapa-siapa pun sama. Buku panduan yang tebal itu mustahil dibaca dari kulit depan ke kulit belakang. Jika ada pun mungkin 1 dalam seratus. Siapa minat hendak baca semuanya? Belum lagi ditambah dengan masalah buku tersebut tidak sampai ke sekolah. Walhal, ia sepatutnya sampai.

Mustahil setahap manapun, tugas tetap tugas. Pelaksanaan tetap perlu dilakukan. Biar apa rintangan dan halangan.

Atas alasan itu saya sering mengaitkan dalam penulisan saya, persepsi mahupun aspirasi kadangkala tidak dapat menjadi realiti kerana kadang kala realitinya berbeza. Namun, ia bertitik tolak atas dua alasan iaitu kemahuan dan kemampuan.

Saya yakin, majoriti guru j-QAF mempunyai kemahuan yang positif. Tetapi persoalannya apakah mereka mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya?

Jika sekolah yang kecil saiz kelas serta murid tentu tidak jadi masalah. Tetapi jika sekolah yang besar jumlah kelas dan murid, jawablah sendiri adakah guru-guru mempunyai kemampuan untuk melaksanakan model-model j-QAF. Sebenarnya mereka ada kemahuan untuk buat, tetapi kemampuan tidak sampai.

Bak kata pepatah, "orang rajin mencari jalan, orang malas mencari alasan."

Benarkah?


Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/