Monday, July 28, 2008

ADA APA DENGAN ILMU PENDIDIKAN?

Oleh Akhi Mizi
SAYA merumuskan begini: “Ilmu pendidikan adalah ilmu untuk menjadi guru.”- Akhi Mizi.

Barangkali rumusan saya ini betul. Barangkali juga salah jika menurut pandangan orang lain walaupun saya merasakan ianya betul. Namun, perdebatan bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Saya tidak mahu berdebat tentang apa itu ilmu pendidikan.

Empat tahun belajar dalam Fakulti Syariah wal-Qanun di Al-Azhar, Mesir saya sedikit pun tidak pernah tertarik untuk menjejaki buku tentang ilmu pendidikan apatah lagi hendak membaca dan mengkajinya sebagaimana yang saya lakukan pada kebanyakan kitab-kitab Usul Fiqh, Fiqh Muqarin, Fiqh Mazhab dan Qadhaya Fiqhiyah Muasarah serta Majmu’ah Fatawa yang tentunya lebih mesra kepada pelajar syariah. Kadang-kadang teruja juga menelaah Tafsir wal Mufassirun, Akidah, Lughah dan Hadis. Ironisnya, buku tentang ilmu tarbiyah tidak pernah saya teliti pun sepanjang empat tahun lebih di sana.

Seingat saya, cuma sebuah buku tentang ilmu psikologi berbahasa Arab yang saya beli di salah sebuah maktabah yang sangat banyak di Bumi Kinanah. Itu pun saya tidak menghabiskan bacaan cuma menyelak beberapa halaman sebelum ia terus saja terisi di rak kitab. Lihatlah, betapa saya malas hendak keluar bidang pada masa itu. Bahkan semasa saya menjadi GSTT pun saya masih dibayangi persoalan kenapa seseorang yang hendak menjadi guru mesti menerima latihan perguruan sedangkan mereka telah pun mempunyai ijazah?

Persepsi saya itu salah. Mengapa pada waktu itu saya berpendirian tidak penting latihan perguruan lebih-lebih lagi ilmu berkaitan pendidikan? Saya sendiri tidak mempunyai jawapan.

Setelah itu, apabila saya menerima tawaran untuk mengikuti KPLI beberapa tahun dahulu saya amat teruja dengan Ilmu Pendidikan.

Ilmu Pendidikan literalnya adalah satu ilmu baru kepada saya. Saya mula mengenali istilah Psikologi Pendidikan, Pedagogi Profesionalisme Keguruan hanya setelah berada di maktab yang pasti sekiranya saya tidak memilih untuk menjadi guru saya tidak akan mengetahuinya. Bahkah samalah halnya seperti empat tahun saya berada di Mesir, untuk bertahun-tahun berada di Malaysia pun saya tidak akan menjejaki buku-buku tentang ilmu pendidikan ini jika Tuhan tidak mentakdirkan saya terjun ke dunia pendidikan.

Ilmu pendidikan di maktab (sekarang dipanggil Institut Pendidikan Guru atau IPG) dijadikan sebagai subjek wajib. Maka, guru-guru yang sudah lepas maktab atau IPG ini jangan berkata bahawa mereka tidak tahu apa-apa tentang ilmu pendidikan ini sedangkan mereka telah mengikuti kelas pengajian dan menyediakan tugasan dalam tempoh berkursus.

Saya melahirkan rasa bertuah kerana mendapat bimbingan daripada pensyarah yang menjadi sebab kepada saya untuk meminati ilmu ini, maka saya berusaha untuk menjadi sebab kepada murid-murid saya meminati pelajaran yang saya ajarkan kepada mereka.

Biarpun saya tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir subjek Ilmu Pendidikan, tapi saya yakin saya boleh menjadikan ilmu ini sebagai panduan dan seni untuk menjadi guru yang cemerlang. Dalam kata lain, saya ada sedikit bekal untuk berjuang di lapangan pendidikan.

Benar. Ilmu Pendidikan itu, sama ada diajarkan atau dipelajari di maktab hanya sekadar teori semata-mata. Hakikat sebenar adalah apabila kita telah berada di lapangan pendidikan. Sebab itu setiap calon guru didedahkan tentang psikologi pendidikan supaya mereka tahu setiap murid tidak mempunyai perkembangan yang sama. Justeru, murid mempunyai personaliti yang berbeza, tahap kecerdasan akal dan sikap yang tidak sama kerana mereka datang daripadang pelbagai latar belakang keluarga.

Guru pula perlu mempunyai kemahiran mengurus bilik darjah supaya ia kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan wujudnya suasana kondusif barulah suasana belajar dapat dicetuskan lantas memungkinkan interaksi dan komunikasi yang berkesan sepanjang tenpoh pengajaran dan pembelajaran. Biarpun ini semua hanyalah aspek teknikal yang dilihat berada diluar P&P sebenar namun, jika diabaikan akan menurunkan potensi murid untuk belajar sekaligus P&P menjadi tidak cemerlang.

Padahal ”guru sebenar” selalunya memikirkan bagaimana untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang dan berkesan. Mereka selalu menyandarkan kepada strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang diguna pakai sedangkan mereka mengajar dalam kelas yang tidak kondusif kepada murid yang tidak bersedia untuk belajar. Guru cemerlang tidak lahir dalam sehari.
Bagaimana hendak cemerlang dan berkesan jika bilik darjah dalam keadaan tunggang langgang, sampah sarap berselerak, dan fizikal kelas yang sememangnya tidak ceria, murid-murid pula tidak ada mood belajar? Jauh untuk kondusif bukan.

Inilah yang selalunya saya alami. Saya akui saya masih lemah untuk menjadi seperti guru-guru yang telah berjaya. Justeru, perkara pertama yang saya lakukan bila masuk ke kelas adalah sekurang-kurangnya memastikan kelas bersih daripada sampah. Itupun kadang kala terlupa. Dan akhirnya saya memohon daripadaNya supaya Dia menguatkan saya, memantapkan niat saya dan menjadikan saya seorang guru yang baik sebagaimana guru-guru lain yang telah menjadi baik.

Seterusnya bila diteliti lagi, Ilmu Pendidikan bukan sahaja mengajar guru bagaimana untuk mengajar tetapi juga bagaimana untuk belajar. Maksudnya guru belajar apabila guru mendapat maklumbalas daripada murid-muridnya tentang apa yang diajarnya. Justeru, perlunya ada bimbingan, pemulihan dan pengayaan di samping penyediaan rekod dan analisa terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan mereka seperti rekod prestasi dan ujian secara berkala.

Bila sebut tentang ujian saya teringat tentang Jadual Penentuan Ujian (JPU) yang dibina berasaskan kepada kemahiran pengukuran penilaian seperti mana yang diajarkan di maktab supaya sesuatu set soalan ujian itu adalah diiktiraf sah. Jika soalan itu terlalu susah atau terlalu senang ia mungkin tidak sah untuk pengukuran dan penilaian kerana tidak dapat dinilai dengan secara tepat. Oleh itu, saya patut jadikan ini sebagai panduan menyediakan soalan.

Dan hal paling utama setelah memahami tentang psikologi pendidikan dan pedagogi adalah hal yang berkaitan dengan profesionalisme keguruan.

Seseorang guru yang tidak memahami (bukan menghafal) tuntutan pendidikan sebagaimana termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam pastinya akan melalui jalan yang sukar biarpun dia mengimpikan untuk menjadi guru yang cemerlang. Lantaran kita tidak boleh memimpin orang ke arah cahaya jika kita pun berada dalam kegelapan.
Justeru, melalui profesionalisme keguruan akan terbuktilah ciri guru yang sebenar. Guru yang bukan sahaja memiliki ilmu, tetapi juga memiliki kompetensi sebagai seorang murabbi. Murabbi yang mempunyai akhlak dan disiplin yang baik ini hanya akan beroleh keberkatan bila ia mengikatnya dengan niat yang soheh.
Banyak sebenarnya jika kita sama-sama nak bermuhasabah tentang hal ini. Saya sendiri memilih untuk memperingatkan diri dengan menulis hal ini. Bukan dengan niat hendak mengajar orang lain yang jauh lebih baik berbanding saya.
Apapun, seorang pegawai di JPN pernah menyatakan bahawa peluang untuk menjadi guru cemerlang terbuka luas. Justeru, apakah tidak wajar jika saya menjadi salah seorang yang berusaha untuk cemerlang jika pun tidak berjaya ditabal sebagai guru cemerlang.
Impian yang menggunung ini, bukan usaha hari ini. Bukan usaha esok. Tetapi usaha yang sudah bermula dan akan terus berkesinambungan. Siapa mahu bimbing saya menjadi cemerlang?
Angkat tangan! Dan berikan tunjuk ajar. Saya guru baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.

Sekian, ma'as salamah.

*** Murid-murid sedang menjalani ujian minggu ini. Saya pun mulalah duk berangan. Haha

BAITUL IZZAH.

No comments: