Monday, July 21, 2008

PENULISAN SEPUTAR DUNIA PENDIDIKAN

Salam juang mustamir,

LITERALNYA bukan baru saya mengenali dunia blog. Sejak Jun 2002 saya telah terjebak menulis secara online di internet. Pada masa itu saya masih lagi belajar di Universiti Al-Azhar As-Syarif Cawangan Tanta, Mesir pada tahun ke-3.

Tetapi penulisan yang mengaitkan saya dengan dunia pendidikan hanya bermula sejak saya pulang ke Malaysia. Itu pun setelah terjun ke dunia pendidikan. Pada peringkat awal penglibatan saya dalam dunia pendidikan saya mempunyai persepsi yang agak nadir. Apa tidaknya, semasa kecil sehingga zaman menengah dan di universiti pun tidak pernah saya impikan untuk mengajar di sekolah rendah. Lebih-lebih lagi mengajar sebagai seorang guru sandaran yang tidak pernah menerima latihan perguruan.

Saya telah menulis tentang ini di laman blog penulisan saya berjudul MASRAWI Online di http://akhimasrawi.blogdrive.com/. Selain itu saya juga pernah menulis di Jurnal Jalan Hidup di PUJANGGA Online di http://akhimasrawi.cjb.net/. Macam-macam pandangan daripada para pembaca yang saya dapati. Rata-rata memberikan saya kekuatan untuk terus menjadi guru.

Kemudian saya memohon KPLI. Alhamdulillah, Tuhan mentakdirkan saya memang untuk menjadi seorang guru. Saya pun mulai melalui dunia belajar di Maktab Perguruan (pada masa itu masih maktab) pada awal 2005 sehingga Jun 2006. Persepsi saya terhadap alam pendidikan mulai berubah. Sokongan keluarga amat kuat.

Saya masih ingat pada kata-kata emak. Saya juga masih ingat pada nasihat ayah. Akhirnya saya menolak tawaran-tawaran kerja lain dan terus thabat dengan dunia pendidikan. Sehinggalah saya menulis catatan ini.

Tetapi persoalannya mengapa masih membuka BLOG AKHIMIZI ini? Bukankah saya boleh sahaja menulis di mana-mana blog lain? Atau terus saja fokus kepada kerja mengajar di kelas. Tidak perlu sibuk-sibuk untuk berkongsi pengalaman dan pandangan di dunia BLOG. Saya memilih untuk menulis.

Ini persoalan identiti. Identiti saya adalah seorang penulis.

Jika saya mahu saya boleh teruskan. Tetapi saya memilih untuk membuka BLOG AKHIMIZI di http://akhimizi.blogspot.com/ sebagai sokongan kepada kawan-kawan lain yang juga guru. Guru yang kadang kala mengalami hal yang sama dalam dunia yang sama. Guru yang mengharungi jalan yang sama ini akan terasa lega kerana ada orang lain juga yang sama sepertinya.

Kini saya berbangga dengan kerjaya saya ini. Kesyukuran kepada Allah SWT kerana saya dipilih untuk meneruskan jalan-jalan para Nabi, Sahabat, Tabiein dan Para Imam Mujtahidin yang menyebarkan ilmu. Jalan ke syurga.

Setiap cita-cita yang murni mestilah dikaitkan dengan niat yang ikhlas. Saya berharap saya beroleh apa yang saya cita-citakan itu. Sehingga menanti saat itu saya berdoa Tuhan akan menguatkan hati saya, menjernihkan akal saya dan memberikan tenaga kudrat kepada saya untuk terus berkhidmat tentunya sebagai seorang guru. Jika boleh lebih dari itu, barangkali sebagai seorang penulis.

Salam juang,

AKHI MIZI
Baitul Izzah

No comments: