Wednesday, July 23, 2008

P&P BERKESAN? Antara Idealisme Maktab dan Realiti Sekolah

Oleh Akhi Mizi

SAYA tertarik dengan tulisan/catatan Ustaz Musa Jayyid di dalam blognya http://musajayyid.blogspot.com/ tentang Proses P&P Cemerlang (klik untuk baca). Daripada apa yang dicatatkan beliau, saya mengakui hakikat bahawa guru mampu melaksanakan P&P cemerlang itu jika guru itu hakikatnya mahukan P&P yang dilaksanakannya cemerlang.

P&P yang cemerlang bermula dari bagaimana seseorang itu merancang. Perancangan yang baik dan teliti adalah mahar yang amat berharga untuk sesuatu tindakan.

Saya ingin menitipkan satu analogi di sini supaya kita sama-sama dapat berfikir.

Analoginya begini: Seorang lelaki yang mengimpikan untuk memiliki seorang isteri idaman tentulah tidak hanya boleh buat sambil lewa dalam setiap tindakan pemilihannya. Dia mestilah merancang untuk mencari calon dengan teliti. Calon pula mestilah ditapis berkali-kali. Contohnya, jika dia mahukan isteri yang cantik menawan maka kecantikan yang bagaimana dikehendakinya mestilah dijadikan panduan pemilihan. Jika dia mahukan isteri yang kaya raya, kaya yang setahap mana dimahukan? Jika mahukan yang berketurunan pula keturunan yang berpangkat apa pula? atau jika dia mahu isteri yang solehah beriman, diperhatikan pula dari aspek itu pada tahap yang mana satu. Pada aspek berpakaiankah? aspek penampilankah? Aspek kelakuankah? Ilmukah? atau apa lagi? Begitu juga halnya dengan orang perempuan. Mereka pun mahukan suami idaman? Jika lelaki mahukan perempuan terbaik. Perempuan pun mahu lelaki terbaik juga.

Analogi ini mengaitkan betapa pentingnya perancangan. Langkah pertama untuk sesuatu tindakan. Langkah ini jika diabaikan akan mengakibatkan tidak mungkin apa yang diharapkan dapat dicapai. Bahkan Nabi Muhammad SAW memesan hal ini dalam hadis baginda supaya setiap lelaki yang hendak menikah memilih dengan pilihan yang tepat. Dan Nabi menyatakan pilih agama adalah yang paling tepat.

Dalam hal P&P pula, sedikit berbeza. Saya bersetuju bahawa perancangan adalah hal paling muhim. Tetapi hal yang lebih aham adalah apa yang ada dalam diri guru itu sendiri. Persepsinya terhadap kerjayanya. Sikapnya terhadap anak didiknya. Jika guru itu yang ada dalam hatinya adalah sifat ala-kadar maka hasilnya nanti pun ala-kadar sahajalah. Hasil yang ala-kadar ini selalunya dikenali sebagai "situasi selamat" dan berada dalam "zon selesa". Apa tidaknya, tidak cemerlang dan tidak pula gagal. Hanya di tengah-tengah dan mungkin maqbul sahaja bukan jayyid atau mumtaz dan tidak juga rosib. Maka, tidak akan berlakulah pemantauan daripada PPD atau JPN di sekolah tersebut. Ini kerana guru-guru sedia maklum, JPN atau PPD selalunya akan melakukan pemantauan di sekolah yang gagal sangat atau amat cemerlang. Di sekolah-sekolah sederhana selalunya "zon selesa".

Situasi selamat dalam zon selesa ini sebenarnya hanya selamat untuk jangka masa terdekat. Ia tidak selamat untuk jangka masa panjang. Saya amat percaya bahawa pegawai-pegawai di PPD dan JPN amat maklum akan hal ini. Cuba kita fikirkan sendiri, kita adalah guru yang mampu untuk "terbang" semasa mengajar, mengapa kita cuma memilih untuk "merangkak" sahaja? Jika kita sendiri yang membuat pilihan itu, maka jangan nanti salahkan orang lain jika anak murid kita tidak setanding anak murid orang lain. Maksud saya guru lain.

Tetapi, kadang kala idealisme saja tidak cukup. Misalnya semasa di maktab perguruan guru-guru didedahkan dengan pelbagai kaedah pengajaran, pedagogi itu dan ini, teori itu dan teori ini, pendekatan itu pendekatan ini sebaliknya bila guru-guru itu kembali ke medan sebenar mereka tidak dapat melaksanakan sebagaimana mereka belajar dahulu. Saya sendiri mengakuinya tidak dapat melaksanakan di kelas.

Barangkali... apa yang dipelajari di maktab perguruan itu perlu diteliti semula. Banyak yang sudah kabur. Lupa.

Bagaimana kita merancang untuk melaksanakan P&P. Dari sudut pemilihan kandungan pelajaran yang hendak diajarkan kepada murid sehinggalah kepada aspek teknikal seperti penyediaan bahan bantu mengajar, membuat rujukan, membuat andaian pelaksanaan, kesediaan mental, cara penyediaan rancangan harian sehinggalah pelaksanaannya di kelas dan membuat refleksi. Tentulah ia memerlukan perancangan yang teliti. Jika berlaku kekurangan, eloklah dikaji mana yang kurang. Aspek mana. Aspek objektifkah? Langkah dalam aktiviti kah? Masa kah? Atau Bahan Bantu Mengajar kah? Atau mungkin juga set induksinya yang tidak menyediakan murid untuk belajar.

Banyak aspek perlu diperhatikan semula selepas mengadakan P&P. Mungkin kadang-kala guru yang hebat, P&P yang hebat tetapi murid langsung tak faham. Contohnya guru Bahasa Arab lah. P&P seratus peratus diarahkan Berbahasa Arab, bukankah ini hebat? Tetapi persoalannya berapa peratus pula murid faham? Saya sendiri tidak dapat melaksanakan P&P yang hebat itu. Maksud saya 100% berbahasa Arab. Belum lagi pengurusan kelas dan kawalan murid.

Apapun saya sangat bersetuju dengan tips yang diberikan oleh Ustaz Musa Jayyid Mohamad, Pegawai j-QAF JPN Kedah. Cuma persoalannya, adakah P&P yang seperti itu dapat dilaksanakan oleh guru-guru? Terutama guru j-QAF. Dan jika dilaksanakan pun adakah dilaksanakan hari-hari? Atau cuma bila Pegawai di JPN atau PPD hendak pergi memantau atau semasa GB hendak membuat pencerapan.

Kita kan guru! Sama-sama kita bermuhasabah. Sendiri mau jawab.

Baitul Izzah.

No comments: