Monday, October 20, 2008

APAKAH MAKSUD MENDIDIK MENURUT FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM?

Teks Falsafah Pendidikan Islam di Malaysia:

"Pendidikan Islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat."



Oleh Akhi Mizi

1. SERINGKALI kita cepat jemu apabila kita melakukan sesuatu yang kita tidak faham. Atau dalam lain perkataan hilang kualitinya. Jika dalam ibadat Solat, khusyuk adalah martabat yang paling utama. Tetapi tanpa khusyuk pun seseorang yang melakukan Solat tetap tidak akan dinilai sebagai tidak melakukannya kerana dia masih juga melaksanakan kewajipan tersebut walaupun dengan tanpa kualiti.

2. Saya agak berbeza. Saya lebih suka jika saya faham sesuatu sebelum melakukannya. Jika tidak mungkin saya melakukannya dengan terpaksa. Kesannya nanti tiada kualiti perkerjaan saya itu. Mungkin ada orang yang berbeza. Biarlah. Perbezaan memang akan selamanya wujud. Apa yang penting bukan bagaimana kita menghapuskan perbezaan tetapi bagaimana kita mengurus perbezaan tersebut.

3. Dalam dunia pendidikan pun begitu. Sekiranya seseorang guru tidak memahami apakah maksud mendidik atau fungsinya sebagai pendidik tentulah guru itu juga bakal gagal. Gagal memahami akan menjadi punca gagal dalam melaksana. Namun, kadang-kadang kita akan berjumpa dengan orang yang mengakui dia faham dan laksana dengan betul sesuatu pekerjaan, tetapi malangnya penilaian orang lain terhadap dirinya menemui jawapan bahawa dia sebenarnya tidak faham dan tidak melaksanakannya dengan betul.

4. Menurut Falsafah Pendidikan Islam, aspek mendidik mencakupi tugas menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam. Tentulah bukan semata-mata untuk mencipta pelajar yang bijak dan pandai menjawab peperiksaan semata-mata, tetapi juga berkemahiran dalam melaksanakan perintah Allah SWT yang diajarkan dalam bentuk amali dan dalam masa yang sama meninggalkan larangan Allah SWT. Pelajar juga dibentuk untuk menghayati Islam sebagai agama yang memelihara dirinya daripada terjerumus kepada perkara yang tidak baik.

5. Rujukan utama Pendidik Islam adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), Buku Teks, Modul, Bahan Bantu, RPH dll adalah sampingan sahaja. Sebabnya guru perlu mendidik murid untuk mencapai kesan langsung pendidikan. Bukannya untuk tujuan pandai semata-mata.

6. Kesan langsung Pendidikan Islam sedia tertulis dalam Falsafah Pendidikan Islam iaitu, "...bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat." Cumanya sebagai guru apakah kita faham maksud mendidik di sini?

7. Maksud mendidik yang mesti difahami menurut Falsafah Pendidikan Islam adalah guru bukan hanya seorang muallim (pengajar) yang cuma menyampaikan ilmu dari buku, tetapi bertindak sebagai murabbi dan muaddib yang akan bertindak untuk mendidik para pelajar memahami dirinya sebagai seorang hamba Allah dan dalam masa yang sama membentuk sikap dan tingkah lakunya supaya beradab dan berakhlak.

8. Lantaran pendidikan itu adalah asalnya daripada Allah SWT yang diperintahkan kepada kita menerusi lidah NabiNya. Jika guru gagal memahami maksud mendidik ini, maka bagaimana untuk melahirkan insan yang sejahtera di dunia dan di akhirat?

9. Jawapannya mudah. Katakan ya... dan terus belajar lagi.

10. Kecuali kalau guru berkata "saya sudah malas" maka masa depan akan hancur.

Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.
Akhi Mizi

1 comment:

arepRuz said...

assalamualaikum?tq utk mklumat ini...n minta share