Tuesday, October 7, 2008

CERPEN KOLEKSI SYAWAL

Dapat YM daripada Zaid Akhtar ucap tahniah sebab cerpen saya terbit dalam Mingguan Malaysia, dua minit kemudian Ummu Hani Abu Hassan (Lara Rindu Mahsuri) pula YM ucap tahniah juga. Saya sendiri tak tahu, semak online Utusan tapi belum dipublishkan. Apapun terima Kasih kepada editor yang menerbitkannya. Ia adalah percubaan sulung dan cerpen sulung saya di akhbar perdana. Sebelum ini cuma majalah sahaja.

Disebabkan belum tersiar di online, saya siarkan di sini untuk khalayak pembaca.


CERPEN: KEPULANGAN SYAWAL

Oleh Akhi Masrawi


SATU

“SYAWAL pasti pulang mak. Syawal rindu mak. Syawal Rindu ayah. Syawal rindu Along, Angah dan Ucu. Syawal rindu ketupat, lemang dan rendang. Sudah lama Syawal teringin nak makan. Teringin sangat yang mak buat.”

DUA

Dalam hatiku hanya diisi harapan mahu menyambut Aidilfitri pada tahun ini di Malaysia. Aku mahu beraya di kampungku. Bergabung gembira bersama emak, ayah, Along, Angah dan Ucu. Kalian tunggulah. Aku pasti. Kalian pun pasti akan teruja dengan kepulanganku pada malam raya. Namun, risauku masih bersisa. Resah kalau-kalau salah dan silapku itu masih belum terampun.

Aku mengalah kepada desakan diri. Ramadan ini bakal menjadi Ramadan terakhirku berada di Kota Cairo. Aku pasti rindu Cairo lepas ini. Aku harus meninggalkan bumi Kinanah dan kembali ke Malaysia meskipun hati telah tertambat padanya. Namun, aku gagal menemukan sebarang alasan lagi mengapa aku harus tetap berada jauh dari bumi tumpah darah sedangkan aku punya alasan yang kukuh untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Sudah empat tahun lamanya aku membawa diri jauh daripada keluarga. Aku terbang ke Cairo ketika hati berbalut kecewa. Ayah, emak, along, angah dan ucu, mereka adalah keluargaku. Namun, aku kecewa dengan mereka. Lebih-lebih lagi dengan ayah dan emak.

Sedangkan bila diingatkan semula ternyata aku bodoh. Bodoh kerana aku lari daripada kenyataan. Lari meninggalkan ayah dan emak sedangkan ayah dan emak itulah yang melahirkan dan membela aku sejak kecil, menyekolah dan memberikan aku pendidikan sampai berjaya lulus Pengajian Bahasa Arab di peringkat sarjana muda.

Ketika aku meninggalkan Malaysia dahulu hatiku tegar. Aku langsung tidak fikir tentang ayah dan emak. Aku cuma mahu lari jauh-jauh masa itu. Aku pilih untuk ke Cairo sehari sebelum Ramadan. Keluarga langsung tidak tahu. Derhakakah aku?

Aku berharap kita akan berjemaah solat Aidilfitri bersama-sama. Kemudian mendengar khutbah. Aku mahu berada paling hampir dengan mimbar. Aku mahu melihat ayah dari dekat. Kalau ayah sebak ketika khutbah, aku akan menangis. Kalau ayah tidak sebak pun aku akan terus melihat matanya. Aku tidak akan malu lagi andai nanti aku teresak-esak. Dosaku dengan ayah dan emak mesti terampun.

Mengenangkan dosaku pada ayah dan ibu, aku bagai tidak mampu lagi menanti hujung Ramadan. Lebih cepat aku mahu pulang. Aku mahu segera kembali kepada fitrah. Biarlah kita sama-sama dapat menjalani ibadah puasa dan berterawih dengan tenang. Hatiku tidak akan tenang andai aku tidak mengakhirkan dilema ini.

Aku bakal meninggalkan Cairo kala bayu syita’ masih setia membalutinya. Aku pasti akan merindui Ramadan di Cairo. Bukan kerana dingin syita’ tetapi kerana hari-hari yang kulalui berselirat dalam ingatan. Tidak mungkin nostalgia itu sirna. Apa lagi Ramadannya yang amat lain dengan Ramadan di Malaysia. Puasa yang sama tetapi rasanya tidak sama. Bahkan bukan sekadar Ramadan, sebelas bulan lainnya pun tidak sama. Aku akan meninggalkan fanus yang bergantungan antara imarah, qutayyaf dan kunafah serta maidah Rahman saban iftor yang mengakrabi Ramadan di Bumi Mesir. Seterusnya aku akan mengabadikan pengalaman safar selama ini dalam kotak memori biar ia berjabalan dalam diri.

Akhirnya aku mempercepatkan tiket penerbangan pulang ke Malaysia. Aku sudah tidak boleh lagi menanti sehingga malam raya. Seminggu lebih awal itu pun sudah terlalu lewat bagi seorang yang bersalah seperti aku. Sepatutnya lebih awal lagi kerana aku membawa diri ke bumi yang pernah menyimpan hamasah perjuangan Musa a.s. Apa gunanya aku memanjat Jabal Musa di Tur Sinai kalau munajatku adalah munajat seorang hamba yang derhaka kepada kedua ibu bapanya? Barangkali masa itu, hatiku benar-benar keras persis kerikil yang menemani Wadi Arbain sedangkan batu-batu itupun tunduk kepada keikhlasan seorang nabi ketika Musa memukul dengan tongkatnya, maka terpancarlah dua belas mata air. Atau kerana aku tamak umpama Qarun yang tenggelam dalam tasik maddiyah diazab Allah sedangkan dunia ini hanya persinggahan.

Rupanya, selama belajar Bahasa Arab dan dikurnia segulung ijazah aku belum belajar erti kehidupan. Mujurlah semua pelajaran hidup itu tidak terhijab terus. Bukankah Mesir juga bumi Firaun? Mujur safar ini menginsafkan diri. Itupun setelah empat tahun bertamu di Cairo, barulah hidayah memujuk kalbu.

TIGA

”Alang telefon Ucu mak. Dia beritahu dia akan pulang beraya bersama-sama kita tahun ini. Dia mahu menebus salahnya. Dia beritahu lagi dia sudah sedar. Dia sudah insaf. Dia tidak mahu terus menderhaka. Kenapa mak? Ucu langsung tak faham.”

”Alang? Dia di mana?” Tanya emak dengan wajah sugul.

”Katanya, dia di Cairo.”

”Cairo? Ya Allah. Jauhnya. Sejak bila?”

”Sejak dia lari dari rumah dia terus ke Cairo. Masa itu Ucu baru tahun pertama di universiti. Sekarang sudah nak habis.”

“Lamanya. Cepat betul masa berlalu. Makan minum dia macam mana agaknya? Siapa yang menyara dia?”

“Entahlah mak, dia tak beritahu pun.”

”Emak tahu, lambat laun dia mesti balik.”

“Alang kata dia derhaka pada mak dan ayah. Alang kata dia buat salah pada Along dan Angah. Pada Ucu pun dia minta maaf berkali-kali. Dia takut dia tak sempat mengucup tangan emak. Dia risau kalau-kalau ayah pun masih marah padanya.”

”Ucu, emak dan ayah tak pernah marahkan Alang pun. Kalau dia rasa dia salah dan silap sekalipun emak dan ayah tak pernah simpan dalam hati. Cuma tindakan dia tu, seperti orang kecewa.”

”Kecewa? Kenapa pula alang kecewa mak?”

”Alang kecewalah agaknya sebab dia rasa emak dan ayah melebihkan along dan angah dalam semua perkara. Ungkitnya along dan angah dihantar belajar ke luar negara sedangkan dia cuma belajar di dalam negara. Dia kata emak dan ayah memanjakan kau, tetapi terhadap dia semua perkara emak dan ayah suruh dia berdikari.”

”Betulkah mak?”

Emak hanya tunduk. Air matanya mengalir. Ucu tetap menanti jawapan.

EMPAT

”Ya Allah, ya Tuhanku... ampunilah aku. Dosa-dosaku terlalu banyak. Aku tahu, aku tidak layak ke syurgaMu. Namum aku tidak sanggup diazab. Oleh itu, selamatkanlah aku dari api nerakaMu. Selamatkanlah aku dalam kepulangan ini. Izinkanlah aku dapat bertemu emak dan ayahku. Aku mahu meminta ampun daripada mereka. Aku mahu mengucup tangan mereka. Aku mahu mendakap dan memeluk mereka. Aku tahu, selama ini aku terlalu angkuh dan sombong. Aku tidak mahu terus menjadi anak derhaka. Wahai Tuhanku, izinkanlah aku bertemu saudara-saudaraku. Sesungguhnya aku telah buruk sangka terhadap mereka. Aku hendak meminta maaf daripada mereka. Andai aku mampu, aku mahu untuk terus membahagiakan mereka. Tapi aku tidak tahu, umurku apakah masih bersisa untuk terus hidup. Wahai ar-Rahman, Limpahilah aku dengan rahmat dan maghfirahMu, Baikilah diriku agar aku kembali diterima oleh keluargaku. Terimalah taubatku dan ampunkan dosa-dosaku. Amin.”

Penerbanganku akhirnya tiba dengan selamat di KLIA pada jam 9.30 pagi. Karibku, Azlan telah menanti di terminal ketibaan. Penerbanganku ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Alor Setar dijadualkan pada 1.30 petang. Aku mengambil peluang untuk menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Ucu menerusi telefon bimbit Azlan. Aku tidak mahu menelefon. Aku tidak mahu sebak terus menguasai diri.

”Syawal Fitri, akhirnya pulang juga kau. Aku ingatkan kau bawa isteri Arab bersama. Rupanya masih solo.” Luah Azlan mengusik selepas melerai pelukan ukhuwah.

”Kau apa khabar? Empat tahun tak jumpa makin berisi nampaknya.”

”Alhamdulillah, aku sihat. Aku berisi?”

”Ya, mustahil kau tak sedar.”

”Memanglah. Aku dah menikah. Anak pun dah dua.”

”Dengan siapa Lan?”

”Siapa lagi?”

”Jadi juga ya? Gaduh-gaduh pun jadi. Hairan aku.”

Azlan tertawa.

”Kau balik berapa lama?”

“Kenapa kau tanya macam itu? Ini kan Malaysia. Negara aku juga.”

“Mana lah aku tahu, entah-entah dah jatuh cinta dengan Cairo.”

Giliran aku pula tertawa.

Doa yang sama aku terus panjatkan dalam pesawat ke Alor Star. Aku tidak henti-henti bersoa. Doa ketika safar mustajab. Aku hamparkan sejuta pengharapan.

Sampai di Kepala Batas aku sengaja tidak meminta keluarga menjemputku di lapangan terbang. Aku mengambil teksi. Hari masih awal. Jika tiba awal pun di rumah tentu tidak meriah. Along dan Angah barangkali belum berkumpul. Mereka tentu masih di pejabat. Sejak mereka usai pengajian terus berkerja di syarikat ayah. Kebetulan along mengambil jurusan pentadbiran perniagaan dan angah pula undang-undang. Ayah mungkin sudah pulang tetapi mungkin kepenatan dan sedang berehat. Lebih baik aku ke Masjid Zahir dahulu. Beriktikaf sementara menanti petang. Aku mahu pulang saat hampir berbuka. Tentulah masa itu semua sedang berkumpul.

Jika ikutkan hati aku mahu terus sahaja pulang ke rumah. Aku sudah tidak sabar-sabar lagi hendak berjumpa keluarga yang amat aku rindui selama ini. Tetapi kenapa aku tidak mampu bersabar untuk empat jam lagi sedangkan aku telah terpisah dengan mereka selama empat tahun.

LIMA

Teksi yang membawaku dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ke Masjid Zahir sudah menantiku di luar masjid usai berjemaah Asar. Aku tidak berlengah lagi. Perjalanan pulang ke rumahku tidak akan mengambil masa yang lama.

Teksi bergerak menuju destinasi. Aku tersandar di kusyen belakang. Meladeni perasaan yang mengusik nubari. Menjelma memori-memori lama. Dalam gembira terasa duka. Namun, kugagahi juga agar mata tidak menumpahkan airnya.

Terlalu asyik melayan perasaan, tanpa kusedari air mata telah mengalir. Aku berlindung di sebalik surat khabar. Terasa malu kalau-kalau pemandu teksi perasan. Aku menyeka manik-manik jernih yang sedang mengalir dari tubir mata.

Aku lihat ke hadapan. Menerusi cermin teksi. Aku lihat dengan pandangan yang kabur. Kemudian aku tidak ingat apa-apa lagi.

ENAM

Ketika aku sampai di rumah ramai orang kampung sedang berada di rumahku. Seakan-akan ada kenduri. Aku cuba menegur mereka tetapi tidak seorang pun menyedari kepulanganku. Aku terus masuk ke rumah. Ya Allah, dugaan apakah ini.

Aku lihat sekujur tubuh kaku sedang dibacakan surah Yasin. Aku lihat Angah dan Ucu menangis teresak-esak. Along pula memakai kaca mata hitam. Tentu matanya juga bengkak sedang diselindungkan. Ayah pula sedang berbicara dengan Tuan Imam. Emak mana?

Jenazah itu adakah....? Tidak. Aku lekas-lekas mencari emak. Lepas puas mencari tetapi tidak ketemu aku menghampiri jenazah itu. Aku mahu melihat wajahnya. Aku mahu kepastian. Namun aku tidak dapat melihat wajahnya kerana sudah tertutup. Aku berusaha hendak menyelak tetapi tidak boleh. Puas kucuba.

TUJUH

Ketika aku sedar dan membuka mata Ucu berada di sampingku. Wajahnya jernih dan tersenyum tetapi matanya berair. Dia nampak letai. Tentu dia kepenatan menemaniku. Aku ingin bercakap tetapi tuturku tiada bersuara. Ucu senyum lebih manis dan ayu walaupun matanya bengkak. Aku lihat sekeliling. Rupa bilik macam sebuah wad. Di mana aku?

”Mana mak?” itu saja yang mampu kututurkan dengan suara antara dengar dan tidak. Khali.

Ucu menangis semula. Teresak-esak. Sunyi ruang bilik terusik. Aku terus takut kalau-kalau aku memang sudah terlambat.

”Alang, esok hari raya. Kita raya sama-sama.” Luah Ucu masih bernada sayu. Air matanya mengalir deras.

Aku kuatkan hati. Aku cuba menguatkan suara dengan amat payah.

”Dik, mak mana?”

”Alang, janji dengan dengan adik jangan tinggalkan kami lagi. Alang terjebak kemalangan. Pemandu teksi meninggal dunia. Alang koma sudah enam hari. Meracau. Soalan mak mana tu alang sebut sudah lebih 40 kali. Pihak Hospital telefon maklumkan kepada Ucu. Mujur mereka jumpa nombor telefon Ucu dalam dompet alang. Ucu beritahu Along, Angah pula cadangkan Alang dimasukkan ke sini. Pakar yang merawat alang bukan calang-calang doktor.”

”Sini? Dik, mana mak?”

”Mak...” Ucu menangis lagi. Aku kaget. Ucu mendail telefon bimbitnya.

”Along... Alang dah sedar.”

Belum pun sempat Ucu meneruskan kata-katanya muncul kelibat Along menguak daun pintu. Kemudian Angah pula diikuti seorang lelaki yang barangkali suaminya dan dua orang anak kecil yang mungkin juga anak-anak mereka.

Selepas menyalami mereka aku bertanya lagi soalan yang sama. ”Mak mana? Ayah mana?”

Mataku sudah berair semula. Aku rasa pipiku suam kemudian sejuk. Pandanganku kabur semula.

Daun pintu bilik wad terkuak sekali lagi. Penantian akhirnya terjawab. Aku hendak melompat dari katil tetapi tenagaku tiada. Aku seperti terlekat pada tilam. Hanya yang boleh kulakukan cuma satu. Menanti.

Emak menyerbu ke arahku. Emak sudah pun menangis. Dia memelukku amat erat. Aku mahu bersuara. Emak menguatkan pelukannya. Aku hanya boleh terus menangis. Aku tahu, dosaku sedang gugur. Hatiku lega dan tenang.

Tidak pernah kurasa setenang itu. Hanya Tuhan yang tahu.


TAMAT
Akhi Masrawi
Langkawi
Ramadan 1429H


GLOSARI (*sekadar memberi makna kepada maksud ayat).

Kinanah – gelaran kepada Mesir
syita’ – musim dingin
fanus – lampu istimewa yang dinyalakan ketika Ramadan di Mesir
imarah – bangunan
qutayyaf – sejenis juadah tradisional Mesir
kunafah – Sejenis juada tradisional Mesir
maidah Rahman – hidangan berbuka puasa yang berupa kenduri
iftor – berbuka puasa
maddiyah – kebendaan




AKHI MASRAWI

Akhi Masrawi adalah penulis bebas. Kini beliau berkhidmat sebagai seorang guru. Merentasi asuhan akademik di SKUM (1987-1992), ALMAAD (1993-1999), Al-Azhar, Mesir (1999-2003), IP Perlis (2005-2006). Menulis secara online sejak Jun 2002. Turut menulis dalam genre kreatif dan ilmiah secara sambilan. Hasil penulisan antaranya:(BUKU): Insurans Menurut Perspektif Islam (Pustaka Darus Salam, Alor Star 2004),(CERPEN): Cerpen Warkah Terakhir Dari Ramallah (Dewan Siswa April 2004), Cerpen Cinta Sufiah (Majalah i Julai 2004), Cerpen Cinta dan Rona Kinanah (Majalah i Disember 2004), Cerpen Warkah Mujahid (Dewan Siswa Januari 2005), Cerpen Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah (Dewan Agama dan Falsafah Januari 2005), Cerpen Resah Menyusur Kinanah (Dewan Agama & Falsafah Januari 2006), (ARTIKEL): Imam Al-Ghazali: Perintis Falsafah Islam (Majalah i April 2004), Rencana Ibnu Thufail: Karya Kreatif Jadi Medan Falsafahnya (Dewan Agama & Falsafah (Julai 2005), (ANTOLOGI): Antologi Cerpen Sebuah Pondok di Kampung SENA (AKAR, Mansurah), Antologi Cinta dan Rona Kinanah (Cairo), (JURNAL AKADEMIK): Monograf Andalus II (DPM Tanta, 2003) dan kini sedang menulis blog dan novel.



Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/

2 comments:

Ibnu Ahmad al-Kurauwi said...

Assalamualaikum, tahniah atas terbit cerpen ini di MM. Bijak memilih masa. Berapa lama hantar? Boleh ana pautkan blog anta k blog ana? Nak pakai blog yang mana satu?

tice said...

salams...

Terharu sungguh dengan jalan cerita ini..Syabas!!! ustaz di atas 'kebijaksanaan' ustaz mengolah cerita berdasarkan pengalaman real 'seseorang pelajar'/'anak'...

Mesej yang amat baik untuk dijadikan pedoman kepada remajas dan juga ibubapa..