Sunday, October 5, 2008

KEMBALI BERBLOG CARA AKHI MASRAWI

Oleh Akhi Mizi

SUATU ketika dahulu, gaya penulisan saya adalah tentang kisah kehidupan. Anda boleh meninjau ke PUJANGGA Online jika berkesempatan atau ke MASRAWI Online untuk membacanya jika sudi dan berkelapangan masa.

1. Literal yang sedang saya fikirkan penulisan gaya lama kadangkala adalah lebih baik daripada perubahan yang sedang saya lakukan sekarang. Pada masa kini saya sedang menulis dengan gaya analogi komentar sosial yang akan banyak menyentuh tentang profesion yang saya ceburi, namun barangkali ia juga akan turut menyentuh orang lain yang mungkin orang itu tidak senang dengan penulisan saya. Justeru saya pohon maaf andai ada tulisan saya yang menyinggung perasaan.

2. Gaya penulisan lama saya banyak menceritakan tentang perjalanan hidup dalam safar ilmu di Ardil Kinanah Mesir. Justeru kebanyakannya menceritakan hal-hal peribadi sahaja. Namun, tidak semuanya adalah hal-hal yang sulit. Hal-hal yang dikongsikan adalah hal-hal yang dirasakan wajar sahaja. Tetapi tidak semua orang suka membaca hal-hal peribadi kerana selera kita tidak sama. Bahkan tidak akan sama.

3. Selalunya orang beranggapan penulis mempunyai memori yang kuat. Barangkali betul. Tetapi saya sebenarnya tidak mempunyai memori yang kuat, justeru saya menulis. Mujurlah saya menulis kerana sekurang-kurangnya memori saya semasa belajar di Mesir dahulu dapat diselak baca semula di laman tulisan saya yang lama-lama.

4. Tetapi sekarang ini, saya menulis untuk memberikan pandangan iaitu persepsi dan menulis untuk menggambarkan realiti iaitu dari apa dapatan yang saya perolehi. Mungkin ianya tidak bersifat menyeluruh kerana selalunya saya akan membandingkan dengan apa yang saya tahu dan boleh jadi sebahagian lain yang saya tidak tahu tidak pula saya terjemahkan dalam penulisan saya.

5. Justeru, saya bukanlah siapa-siapa. Jika sebelum ini saya pernah menulis tentang isu PKSR sehingga menimbulkan polemik sekali lagi secara terbuka saya memohon maaf kepada semua. Jika perlu selepas ini saya akan berhenti memberikan pandangan dan persepsi peribadi jika sebenarnya ianya tidak wajar untuk dilakukan. Saya sendiri berniat baik sebenarnya.

6. Niat saya menulis tentang isu PKSR bukanlah untuk mengatakan yang tidak baik atau mempersoalkan siapa-siapa. Itu hanyalah cetusan persepsi saya sahaja. Dan, paling penting saya bukanlah siapa-siapa. Saya cuma guru biasa. Lebih molek saya diam sahaja selepas ini atau kembali menulis dan berblog cara Akhi Masrawi.
7. Cara Akhi Masrawi itu, barangkali lebih dekat dengan hati pembaca. Tidak mungkin untuk mempersoalkan tentang apa-apa atau siapa-siapa.

8. Kehidupan adalah untuk mencari bahagia. Siapa tidak mahukan kebahagian bahkan dalam doa kita sering meminta kebahagian di dunia dan akhirat. Justeru, untuk bahagia kita mestilah berkerjasama mencetuskan kesempurnaan yang barangkali kesempurnaan itu subjektif sifatnya.

9. Untuk mencapai kesempurnaan, penggabungan adalah penting. Lantaran dalam sebuah kehidupan sentiasa Tuhan kaitkan dengan perkongsian. Baik dari apa sudut sekalipun.

10. Jika saya salah. Izinkan saya berhenti dan maafkanlah saya.

Komentar peribadi sila salurkan ke emel: myakhimizi@yahoo.com atau sms ke nombor telefon: 0195785596


Akhi Mizi myakhimizi@yahoo.com http://akhimizi.blogspot.com/

3 comments:

rudy bluehikari said...

mesej sy amat mudah; tulislah dari hati. akrab nubari. biarpun apa yg kita tulis menegakkan yg Haq itu ada menghiris jiwa-jiwa yang sakit.

Nazri Samsudin said...

akhimizi,
teruskan menulis, kalau terlalu fikirkan hati org lain, maka tiada siapa akan menulis di dunia ini..

fajar said...

salam aidilfitri buat akhimizi,

semoga Allah sentiasa melimpahi rahmat-Nya ke atas dirimu sekeluarga. seakan begitu lama tidak bertemu. terima kasih kerana masih mengingati.

salam ikhlas,
fajar