Thursday, October 9, 2008

ARTIKEL BAHASA: NADA DALAM WACANA

Oleh Akhi Masrawi

NADA selalunya dikaitkan dengan suara iaitu bagaimana suara dilantunkan mengikut nada yang pelbagai. Dalam bahasa, nada sering berkait rapat dengan intonasi. Nada dan intonasi menjadikan pertuturan terdengar tepat.

Dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Arab, aspek nada dan intonasi turut diajarkan. Para pelajar akan dapat menyebut sesuatu kalimah dengan nada yang betul seterusnya membaca ibarat atau teks dengan intonasi yang betul. Guru tentunya perlu menguasai aspek ini terlebih dahulu sebelum dapat diajarkan kepada para pelajar.

Nada dan Intonasi bukan sekadar untuk diajarkan menerusi P&P sahaja di kelas untuk tujuan penguasaan bahasa tertentu. Nada dan intonasi perlu diajarkan untuk membentuk potensi nilai diri iaitu akhlak. Ia akan membina sikap untuk berkomunikasi dan penyampaikan wacana baik dalam bentuk pengucapan mahupun penulisan. Justeru, nada dan intonasi juga perlu difahami dalam konteks komunikasi dan wacana supaya seni kehidupan akan membentuk kehidupan yang berkualiti.

Bagaimana kalimah, ayat atau wacana (sama ada pengucapan atau penulisan) disampaikan adalah tetap berhubung dengan cara dan pemilihan nada penyampaian. Namun, saya lebih akrab untuk mengungguli nada yang dicontohkan oleh Al-Quran. Nada yang didapati daripada anjuran Islam adalah nada baik, sopan dan lemah lembut. Bahkan beberapa contoh tentang bagaimana Al-Quran mengajarkan kita untuk berkomunikasi adalah jelas bernada baik, sopan dan lemah lembut. Antaranya:

Pertama: Mafhum Firman Allah dalam surah Ali Imran: 159 “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah Lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu (urusan peperangan dan duniawi). Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

Allah mengingatkan Nabi Muhammad SAW supaya berlaku lemah lembut dan tidak berkeras agar dakwah berkesan. Sebenarnya Allah hendak kita selaku umat Nabi Muhammad SAW melihat contoh bagaimana sesuatu teguran dan nasihat disampaikan. Jika diikutkan logik, Allah Maha Berkuasa, Maha Mulia, Maha Tinggi dan boleh menegur dengan apa cara sekalipun terhadap Nabi Muhammad SAW tetapi Dia tetap memilih nada dan gaya bahasa yang sopan, lemah lembut dan baik. Berbeza dengan manusia, biasa semakin tinggi semakin sombong bila menegur.

Kedua: Mafhum Firman Allah dalam Surah Taha: 44 “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut".

Allah mengingatkan Musa A.S dan Harun A.S agar berbicara dengan lemah lembut terhadap Firaun. Ini kerana kekerasan tidak akan dapat melembutkan kekerasan.

Ketiga: Mafhum Firman Allah dalam Surah Al-Isra’: “Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, Maka Katakanlah kepada mereka Ucapan yang makruf (baik).”

Pemilihan kata yang baik dan menyenangkan adalah sebahagian daripada perintah Allah dalam komunikasi. Oleh itu, adalah menjadi satu tanggungjawab kita agar mematuhi perintah Allah SWT

Dalam kehidupan manusia jarang berlaku sebagaimana yang diajarkan. Meskipun Allah SWT mengajarkan kepada kekasihnya agar berlembut walaupun terhadap musuh namun dalam kehidupan realiti kita lebih suka menggunakan kuasa untuk menegur sewenang-wenangnya. Maka, terjadi orang berilmu menggunakan kuasa ilmu mengherdik orang yang tidak berilmu sedangkan ilmunya itupun daripada Allah SWT. Apatah lagi perkara lain yang lebih rendah martabatnya daripada Ilmu, seperti harta, keturunan dan pangkat pengaruh.

Contoh-contoh daripada dalil Al-Quran yang dibawa biarpun lebih mirip kepada cara berkomunikasi adalah juga boleh diterima sebagai peraturan atau cara dalam penulisan. Lantaran wacana itu sifatnya pelbagai. Justeru, seseorang penulis sekiranya dia benar-benar faham apa yang dikehendaki oleh ajaran Islam yang mementingkan keharmonian, pasti penulisannya akan menjadi senjata yang bermakna. Penulisan terbaik adalah yang disampaikan dengan cara yang paling lembut tetapi tetap tegas dan tajam pada isi kandungannya. Ironisnya, ketegasan bukanlah pada pemilihan kata atau kalimah yang keras dan kasar dalam menyampaikan sesuatu wacana.

Pemilihan kalimah dan kata yang terbaik, sopan dan lemah lembut menggambarkan nada yang hendak disampaikan. Jika ditinjau dalam Al-Quran kita tidak akan menemui caci maki. Jika adapun cuma beberapa herdikan yang masih dalam bentuk yang sopan meskipun herdikan itu kepada orang-orang yang memusuhi Islam. Kita akan menemui lebih banyak nasihat dan teguran yang baik. Contoh dan gambaran terdahulu sebagai penanda ukur. Bentuk ayat pula lebih kepada memujuk, mendidik dan mengajar. Namun, walaupun cara ini adalah cara terbaik tidak ramai daripada kita yang memahaminya. Jika faham pun tidak cuba untuk mengamalkannya.

Nada akan berubah mengikut kalimah yang diucapkan atau dituliskan. Misalnya kita memilih untuk menggunakan perkataan “bengap” sedangkan kita boleh menggunakan perkataan “lambat” yang mirip maknanya. Kita lebih gemar mengatakan “bodoh” sedangkan kita boleh menggunakan perkataan “kurang pandai”. Banyak lagi contoh-contoh lain yang tidak perlulah dinyatakan.

Selain itu, nada wacana turut dipengaruhi oleh perasaan penyampai. Jika penyampai pada ketika itu dibelenggu rasa muak, bosan dan tidak suka tentulah pemilihan nada penyampaiannya juga akan terpengaruh dengan mood tersebut.

Sebagai penulis, kita harus sentiasa cuba sedaya upaya mampu untuk menjaga perasaan diri supaya wacana penulisan yang dihasilkan tidak dipengaruhi mood diri. Jika tidak ia barangkali tidak akan menjadi wacana yang terasuh sebagaimana ajaran Islam. Wacana terasuh sekali lagi ditekankan ialah wacana yang menggunakan nada yang lemah lembut dan sopan. Pemilihan kata adalah dari kata yang baik dan tidak dipengaruhi unsur-unsur selain yang baik-baik.

Justeru, penulis tidak boleh menulis kerana terpaksa. Penulis mesti menulis kerana amanah dakwah. Penulis yang menulis kerana terpaksa akan dipengaruhi emosi yang tidak stabil. Hasilnya nanti penulisannya dipengaruhi elemen kurang baik. Penulis yang baik akan menghasilkan penulisan yang baik. Penulisan yang baik tidak akan lahir tanpa latihan berterusan. Penulis yang baik adalah penyampai wacana yang berkesan. Terdapat pada hasil tulisannya nilai ketelusan, kejujuran dan keikhlasan. Ini kerana apa yang disampaikan itu baik si pengucap atau penulis tetap ia wacana yang lahirnya dari hati dan akan melekat dalam hati.

Ada orang boleh menulis tetapi tidak pandai berucap. Ada orang pandai berucap tetapi tidak pandai menulis. Ada orang pandai menulis dan pandai berucap sekaligus dan ada pula orang yang tidak pandai kedua-duanya. Justeru, mengapa kita menyempitkan ruang yang luas. Kalaulah benar kita tidak pandai menulis, bukankah lebih elok kalau kita belajar untuk menulis dengan baik dan lebih baik?

Fikir-fikirkanlah, ajaran Islam tidak pernah meletakkan had tertentu dalam menuntut Ilmu. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab diri untuk memperbaiki diri dan menambah ilmu. Ilmu adalah kemuliaan yang tidak akan memuliakan manusia yang menganggap dirinya mulia kerana ilmu. Ilmu akan memuliakan manusia yang belajar dan menyampaikannya kerana Allah SWT. Justeru, nada dalam wacana adalah sesuatu yang penting untuk difahami agar penyampaian ilmu dan wacana akan lebih berkesan. Bukankah kalimah yang baik itu adalah sedekah (ibadah) yang dijanjikan ganjaran?


Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.

Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
SMS - 0195785596

No comments: